Percubaan dalam bidang ini membuatkan dirinya semakin berhati-hati dan apa yang dilakukan bukan sekadar eksperimen.

Meskipun masih terlalu hijau dalam industri seni, lelaki kacak lagi bergaya ini sudah faham kerja seni dan mahu serius sebagai pelakon.

“Saya pernah dengar orang kata kalau kita berlakon, kita perlu tunggu di lokasi penggambaran dalam masa yang lama.

“Sebab itu, saya tidak memilih untuk berlakon selepas keluar daripada pertandingan Hero Remaja 2008. Saya hanya fokus kepada pentas peragaan dan menghabiskan pengajian dalam bidang Perniagaan Antarabangsa di Universiti Help.

“Hadirnya saya sekarang bukanlah untuk mengejar glamor semata-mata tetapi mahu buktikan bakat yang ada. Apabila sudah ada peluang, saya perlu mengambilnya dan habiskan satu persatu.

“Kalau saya hendak popular dan mahu dikenali, sebelum ini lagi saya sudah ceburi bidang ini,” tegas Idris yang namanya semakin meniti di bibir ramai.

Sedar akan hakikat jika menjadi pelakon, kontroversi perlu ada untuk meraih perhatian khalayak, Idris menolak untuk bikin kontroversi.

Jelasnya, dia tidak kisah sangat dengan kontroversi kerana apa yang lebih penting adalah memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya dan tidak terbabit dengan sebarang kontroversi negatif.

“Saya faham kontroversi itu penting untuk menaikkan seseorang artis tetapi kita perlu ingat bahawa kontroversi itu juga ada yang menjahanamkan kerjaya artis sampai hilang segala-galanya.

“Selain itu, saya juga tahu ada yang sengaja mencipta kontroversi tetapi pada saya itu bukan caranya untuk terus kekal popular dan bertahan lama memandangkan masih banyak cara lain yang boleh dilakukan untuk terus berjaya dalam industri ini.

“Jika betul mahu popular, biarlah kerjaya dan populariti itu bergerak seiring. Matlamat saya sekarang ini adalah mahu laksanakan tanggungjawab sebagai seorang pelakon dengan sebaik mungkin kepada setiap watak yang diberikan,” ujarnya.

Apa yang paling penting, Idris hanya mahu menjadi dirinya. Tidak mahu terpalit dengan apa-apa kontroversi buruk yang mampu membuat orang mengingatinya sampai bila-bila, dia yakin mampu melakukannya.

Bukan jual rupa

Dalam pertemuan petang itu, Idris juga menyangkal dakwaan dia menggunakan rupa tampannya semata-mata untuk memikat hati pengarah dan penerbit.

Dengan kebanjiran ramai muka-muka baru yang tak kurang hebat, itu bukan masalah besar buat dirinya memandangkan kehadirannya dalam industri ini bukan untuk mencabar sesiapa.

“Saya tidak pernah anggap kehadiran saya sebagai pelakon untuk mencabar atau tercabar dengan sesiapa. Apapun yang terjadi pokok pangkalnya saya kena balik kepada niat asal untuk berkarya.

“Saya sentiasa berdoa agar hati saya disucikan tanpa perlu meninggalkan rasa kurang senang terhadap sesiapa,” katanya.

Memegang prinsip tidak harap muka, kata Idris, semua itu bukan kunci untuknya berjaya dalam bidang ini.

“Saya masih lagi belajar untuk jadi pelakon yang baik. Walau hanya dapat watak kecil atau bayaran kecil saya tetap terima kerana inilah masanya untuk saya belajar berlakon dengan orang lain.

“Kalau nak ikut memang ramai pelakon baru yang hadir macam cendawan tumbuh. Semuanya kacak-kacak dan berbakat besar jika nak banding dengan saya.

“Yang membezakan kita adalah rezeki. Muka bukan sandaran kerana akhirnya orang tetap akan memandang pada produk yang kita hasilkan.

“Prinsip saya, setiap pekerjaan yang dibuat perlulah ada matlamat dan dilakukan dengan sebaik yang mungkin. Hasilnya pasti terbaik,” kata Idris yang mahu berusaha lebih sehingga memberi senyuman manis buat dirinya jika berjaya.