Aida cuba mencari Sam untuk menjawab dakwaan dia mahu berkahwin ini, tetapi menurut ibunya, Khaty Fauziah, Sam sedang sibuk menjalani penggambaran.

Memandangkan Sam tidak akan menyorokkan apa-apa daripada ibunya, jadi memang tidak salah juga Aida tanya kebenaran kisah ini daripada Khaty sendiri.

Kata Khaty, dia tidak terkejut dengan gosip yang mengatakan anaknya kini sedang sibuk membuat persiapan kahwin. Katanya ini bukan kali pertama mereka anak-beranak menghadapi keadaan ini, tetapi sudah banyak kali.

“Sebab itulah saya suruh Sam kahwin cepat-cepat. Bukan sekali dua kisah ini dibangkitkan, tetapi sudah banyak kali sebenarnya.

“Kisah Sam sedang buat persiapan perkahwinan juga memang tidak benar. Dia sedang sibuk dengan kerjaya kini. Bila dia ada masa buat persiapan pula? Jangan risau, jika benar ada perkara baik, saya janji tidak akan menyorokkan perkara ini dari pengetahuan sesiapa,” itu janji Khaty kepada semua peminat anaknya itu.

Sementara itu untuk memuaskan hati peminat Sam, Aida turut menghubungi wanita yang sering kali dikaitkan mempunyai hubungan dengan pelakon ini.

Walaupun sebelum ini Syatilla Melvin dan Sam tidak pernah mengaku mereka bercinta, namun melalui kata-kata orang luar, memang ada cinta yang wujud.

Entahlah, lihat sahaja jawapan Syatilla ketika ditanya mengenai kononnya Sam sedang ligat membuat persiapan kahwin.

“Saya tidak tahu dia buat persiapan kahwin. Kenalah tanya dia sendiri. Kalau tanya saya, memang tiada apa-apa yang berlaku. Malah sehingga saat ini juga saya masih sibuk dengan penggambaran drama terbaharu saya,” katanya.

Aida harap, semua jelas dengan keadaan ini. Mungkin ramai sebenarnya mahu melihat Sam berkahwin dalam tempoh terdekat. Namun perlu kita tahu jodoh itu bukan ketentuan kita. Aida harap peminat terus mendoakan Sam, termasuk supaya segera bertemu jodoh.