Semakin Benci Semakin Rindu cukup istimewa

 2

KEMUNCULAN ramai penyanyi baharu bagaikan satu gelombang hebat yang melanda industri seni tanah air. Kehadiran mereka pastinya seiring dengan satu tujuan utama iaitu memeriahkan lagi lapangan seni suara tempatan.

Begitu juga dengan Mohd. Sufian Ali, 20, yang baharu sahaja muncul dengan single pertama berjudul Semakin Benci Semakin Rindu. Penglibatan bukan sekadar suka-suka, anak muda ini menaruh harapan tinggi untuk berjaya dengan cemerlang dalam industri yang semakin berkembang.

Ditemui pada Majlis Pelancaran Wangian Dmel di ibu kota baru-baru ini, Sufian berkongsi cerita tentang kerjaya dan kehidupan.

Katanya, dia gembira kerana single pertama diterima baik pendengar tempatan walaupun namanya masih baharu dalam industri.

“Penerimaan pendengar cukup positif. Semakin Benci Semakin Rindu menerima 300, 000 tontonan di YouTube. Ini adalah satu pencapaian membanggakan buat saya yang masih setahun jagung bergelar penyanyi.

“Ramai memberitahu suka pada lagu itu. Tidak kurang juga yang menyanyikan semula dengan cara mereka dan memuat naik di laman sosial. Secara tidak langsung, tindakan mereka itu telah memperkenalkan saya kepada peminat muzik tempatan,” katanya.

Sufian berkata, single pertama adalah produk yang cukup istimewa buat dirinya. Dia akui amat terpaut dengan melodi dan bait-bait lagu tersebut sebelum merakamkannya lagi.

“Lagu yang ditulis dan dihasilkan Denis Chairis itu tepat dengan jiwa saya. Ketika merakamkannya, saya tidak berdepan masalah untuk memberi sepenuh emosi yang dikehendaki ekoran mengalami pengalaman sama seperti dalam lagu.

“Semakin Benci Semakin Rindu digubah dengan melodi yang menyenangkan halwa telinga. Ini adalah lagu yang sesuai untuk memperkenalkan saya kepada khalayak,” ujarnya.

Ramai tidak tahu, Sufian merupakan abang kepada penyanyi popular, Wanna Ali. Namun katanya, dia enggan dibayangi, apatah lagi dibandingkan dengan adiknya yang lebih awal berada dalam industri secara profesional. “Tidak dinafikan, ada pihak yang mempersoal dan tidak kurang juga yang membuat andaian kononnya saya cemburu dengan pencapaian Wanna yang lebih dahulu diberi peluang menempah nama sebagai penyanyi.

“Saya tidak ambil pusing cakap-cakap orang. Saya dan dia (Wanna) saling menyokong antara satu dengan lain dan gembira dengan kejayaan masing-masing. Soal cemburu atau iri hati tidak timbul. Malahan kami ada perancangan untuk merakam lagu bersama tetapi masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, tidak hanya berbakat sebagai penyanyi, Sufian juga ingin mengukuhkan kedudukan sebagai pelakon. Dia yang pernah berlakon dalam Aku Ada Kau Ada dan Tokan muncul dalam telemovie D’Kayangan yang akan menemui peminat tidak lama lagi.

“Dalam telemovie tersebut, saya berpeluang berlakon di samping nama-nama besar seperti Adi Putra, Ellie Suriati, Anis Al Idrus dan ramai lagi. Pada masa sama, saya turut berpeluang berlakon dengan Wanna yang juga membintangi telemovie tersebut.

“Saya amat mengagumi Adi Putra dan peluang berlakon bersama beliau tidak saya sia-siakan. Seperti pelakon lain yang terlibat dalam telemovie tersebut, Adi banyak memberi tunjuk ajar.

“Antara paling saya ingat adalah bagaimana dia berkongsi ilmu tentang cara mendalami skrip lakonan. Ternyata Adi tidak lokek ilmu dan sentiasa memberi tunjuk ajar kepada pelakon baharu,” tambahnya.

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati