Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Hyper Act bahaya?

KUALA LUMPUR , 30 SEPTEMBER 2015 - Fotografi Kumpulan HyperAct 2
Kumpulan HyperAct

SELEPAS Ronnie membuat keputusan untuk meninggalkan band, Hyper Act berdepan dengan masalah untuk meluputkan pandangan dan kepercayaan peminat terhadap kehadiran vokalis baharu, walau siapapun yang dilantik untuk menggalas tanggungjawab itu.

Persepsi pertama yang mungkin mereka akan berdepan ialah perbandingan antara vokalis lama dan baharu seperti semua sedia maklum - rata-rata peminat band ini lebih menyokong Ronnie sebagai vokalis Hyper Act biarpun kurang berpuas hati dengan tindakan Ronnie untuk bergerak solo.

Selepas menjalankan pencarian menerusi sebuah pertandingan, semua ahli sepakat untuk memilih Kecik, seorang pemuda berusia 21 tahun dan berasal dari Kedah. Namun seperti dijangka, Hyper Act menerima tempias pandangan skeptikal daripada peminat mengenai kredibiliti vokalis baharu tersebut.

Menganggap setiap penyanyi mempunyai cara nyanyian tersendiri, Akir (pemain keyboard) melahirkan rasa kurang senang mengenai pandangan segelintir pihak yang enggan memberi peluang kepada Kecik untuk membuktikan kebolehannya sebagai peneraju utama band tersebut.

Sedar bahawa wujudnya perbandingan dan mereka juga menghadapi cabaran itu, kata Akir, mereka meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Kecik untuk mengalas tugas besar itu meski tahu Kecik tidak punya banyak pengalaman dalam dunia muzik arus perdana.

“Orang cuma tahu, Hyper Act sudah sinonim dengan Ronnie dan selepas dia bergerak solo, kami sudah menjangkakan Kecik akan menerima pandangan seperti ini, mengenai perbandingan dan sebagainya.

“Cabaran kami ialah bagaimana mahu mengubah pandangan orang mengenai Hyper Act menerusi penjenamaan vokalis baharu. Ini tidak boleh berlaku dengan drastik kerana peminat masih lagi ada yang ambil masa menyesuaikan keserasian untuk menerima situasi Hyper Act dengan Kecik.

“Sebab itulah kami tak mahu jadikan isu vokalis sebagai fokus. Harus difahami, Hyper Act akan tetap menjadi Hyper Act walau siapa pun vokalisnya kerana kami meletakkan produk dan material lagu sebagai keutamaan.

“Bukanlah kami kata vokalis tak penting, ini membabitkan kerjasama satu pasukan untuk menaikkan band ini. Cuma kami mahu peminat lebih menghayati karya kami,” katanya.

Perkara yang sama turut ditegaskan oleh Beby (pemain gitar) yang berpendapat, peminat wajar memberi peluang buat Kecik untuk menerajui kumpulan ini dan percubaan itu dimulakan menerusi single baharu mereka yang berjudul Takkan Pergi sebagai pengenalan buat Kecik kepada ruang muzik arus perdana.

“Kami akui Kecik kurang pendedahan dengan muzik arus perdana dan kerana itulah kami jalankan tanggungjawab untuk membantunya. Satu yang agak 'bahaya’ buat kami ialah Kecik dikatakan memiliki suara yang mirip dengan Ronnie.

“Pada awalnya kami pilih Kecik kerana kami lihat dia memiliki keserasian vokal dengan band ini namun kami tidak menggalakkan dia untuk meniru cara nyanyian Ronnie walaupun dia menjadikan Ronnie sebagai idola.

“Sedikit sebanyak kami perlu berikan garis panduan dan tunjuk ajar kepada Kecik supaya mencari identitinya sendiri sebagai vokalis kumpulan ini,” katanya.

Kecik tumpang populariti

Dalam pada itu, Kecik ketika ditanya mengenai keselesaannya berkongsi perjuangan dengan Hyper Act mengaku bahawa dia tidak lepas daripada pandangan mengenai dirinya yang mahu menumpang populariti band berkenaan yang telah mencipta kedudukan tersendiri dalam industri muzik tanah air.

Melihat hal itu sebagai satu bahan usikan semata-mata, kata Kecik, dia tidak pernah berniat untuk menumpang populariti band itu bahkan menganggap satu tuah untuknya bersama-sama Hyper Act sebagai vokalisnya.

“Saya tak pernah terfikir mengenai hal ini. Ya, tentulah saya risau apabila orang kaitkan hal begini sebab saya pun orang baharu dan mereka tertanya-tanya, apa vokalis baharu Hyper Act ni boleh buat untuk menaikkan band ini.

“Pada masa yang sama saya cuba positifkan diri dan buktikan kemampuan saya dalam meneruskan perjuangan Hyper Act di bawah penjenamaan ini menerusi pengenalan single baharu kami.

“Saya harap, dengan cara itu dapat meluputkan pandangan orang mengenai isu tumpang populariti ini,” katanya.

Selain itu menjawab isu meniru nyanyian Ronnie, kata Kecik, dia tidak menafikan bahawa mungkin ada ciri persamaan dari sudut itu namun sedang berusaha memperbaiki cara nyanyian agar tidak terbawa-bawa dengan cara bekas vokalis Hyper Act tersebut.

“Dalam hal ini, saya berterima kasih dengan anggota band yang lain kerana banyak memberikan tunjuk ajar.

"InsyaAllah, dengan kepercayaan yang diberikan saya akan memberikan yang terbaik untuk band ini,” katanya.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan