RJ 

Biarpun cintanya terhadap kerjaya seni tidak pernah padam, penyanyi rap ini enggan berserah sahaja pada nasib tanpa adanya usaha.

Tahu bahawa percubaannya dalam dunia seni sebelum ini bagai tidak menjadi, RJ tidak mahu menjadikannya satu alasan sementelah saban hari ada sahaja pelapis baharu yang berebut mahukan kedudukan dalam lapangan industri.

Berkongsi mengenai ‘kehilangannya’, penyanyi berusia 34 tahun ini memberitahu banyak perkara mengecewakan berlaku dalam hidupnya.

Malah, tekanan hidup yang dialami juga membuatkan RJ mengalami perubahan berat badan yang menyusut mendadak daripada 80 kilogram kepada 60 kilogram kini.

“Bukan mahu minta simpati, tapi saya akui akibat tertekan, berat badan susut banyak. Ada yang menuduh saya terjebak dengan gejala tidak sihat dan pengambilan barang terlarang sedangkan ia tak berlaku pun.

“Jangan pula hanya kerana melihat dengan mata kasar, maka orang boleh tuduh saya macam tu sekali. Saya tertekan kerana hilang pekerjaan dan dalam masa yang sama, diuji dengan kegagalan dalam percintaan,”katanya.

Tidak mahu terlalu membuka cerita soal cinta, kata RJ, dia yang sebelum ini bekerja tetap sebagai pegawai perhubungan awam dengan syarikat pengurusan artis, Monkey Bone selama setahun mengaku hilang arah selepas dinasihatkan berhenti daripada pihak majikan.

“Bayangkan apa perasaan saya ketika itu? Mana nak cari kerja baharu dengan tuntutan komitmen harian yang perlu ditanggung setiap hari? Itu semua dah tentulah beri tekanan pada saya.

“Tentunya saya rasa seperti orang yang hilang arah. Tapi saya anggap itu semua ujian kerana sedar dalam hidup ni ada pasang surutnya,”katanya.

Tahu bahawa setiap ujian ada hikmah yang tersirat, RJ cuba mencari nilai positif dalam setiap apa yang berlaku dan dia akui, sedaya upaya mencari jalan keluar untuk kembali bangkit dari kejatuhan.

“Saya akui, banyak bermuhasabah diri dan sudah tentulah tidak cuma berpeluk tubuh. Saya cari potensi lain dalam diri dan cuba-cuba menceburi bidang lakonan, sesuatu yang asing bagi diri ini.

“Namun dalam tempoh setahun ini saya lihat bidang lakonan sedikit sebanyak membuka jalan untuk saya bangkit semula. Saya tak memilih, watak kecil pun diterima dan secara tak langsung ia memberikan satu pengalaman baharu buat saya,”katanya yang sentiasa percaya pada rezeki Tuhan.

Kata pelakon drama bersiri Papa Ricky ini lagi, kerinduan terhadap dunia muzik juga membuatkan dia berusaha menghasilkan single baharu berjudul Dunia Fantasi yang kini telah pun dimainkan di radio dan pelbagai medium lain.

Tidak menolak bahawa single itu sebenarnya berkaitan dengan diri sendiri, RJ mengaku mengambil pengalaman putus cinta dengan seorang wanita yang dirahsiakan identitinya dan dizahirkan dalam naskhah itu.

“Bukan nak jual cerita sendiri, tapi saya rasa mungkin ada pendengar di luar sana yang turut sama merasai pengalaman seperti ini.

“Wanita hadir dalam hidup kita, meyakinkan cintanya tetapi kemudian dia sendiri yang mengkhianati hubungan itu,”katanya ringkas tanpa mahu mengulas lanjut mengenai pengalaman putus cintanya.

Pun begitu, merasakan dirinya sudah kembali untuk berjuang dalam kerjaya, RJ mengaku kini selesa hidup tanpa terburu-buru mengejar cinta.

Menyifatkan dirinya yang suka menyendiri, RJ juga menganggap ramai wanita sukar untuk mendekati dan memahami dirinya dek kerana rupa paras yang kelihatan agak garang.

“Muka macam orang jahat, agak itulah yang menyebabkan wanita takut nak dekati saya,”katanya sebelum mengakhiri perbualan.