Mula menjejakkan kaki dalam bidang seni sekitar tahun 1980-an, sehingga kini dia masih lagi aktif berlakon, selain menulis skrip.

Mengenang kisah hidupnya, sebelum menjejakkan kaki dalam dunia lakonan, lelaki kelahiran Taiping, Perak ini pernah merempat di Kuala Lumpur.

“Selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1971, saya mula memberanikan diri berhijrah untuk mencari pekerjaan. Masa tu saya fikir di Kuala Lumpur lebih banyak peluang pekerjaan berbanding di Taiping. Ketika pertama kali menjejakkan kaki di sini saya cuma sehelai sepinggang.

“Nak minta duit dari keluarga tak sampai hati sebab saya tahu mereka pun tiada duit. Dengan duit yang ada cukup-cukup tambang dan makan itulah saya bawa ke sini,” ujar anak sulung daripada sembilan orang adik-beradik.

Tiba sahaja di Kuala Lumpur, dia terpaksa tidur di stesen bas, masjid dan di mana sahaja untuk berteduh. Dalam masa yang sama, dia merayau-rayau mencari pekerjaan.

Pernah satu ketika sedang mencari kerja di sebuah hotel, dia terlihat sebuah bilik yang tidak digunakan, dek kerana terlalu letih dia mencuri masuk dan tidur di situ.

“Masa tu rasa penat sangat. Lagi pula, sudah lama tidur beralaskan lantai, nampak sahaja katil terus masuk dan tidur di situ.

“Sempatlah tidur satu malam. Keesokan pagi nya bila terdengar suara bising-bising baru tersedar. Saya pun cepat-cepat keluar. Mujur tak ada yang perasan,” ujarnya sambil tergelak mengenang kisah lampau.

Setelah ekonominya agak stabil, dia mengambil keputusan untuk kembali dalam bidang seni pada 2011, setelah 13 tahun menyepi.

Namun dia tidak menyangka yang dirinya masih diterima dan mendapat tawaran sehingga ke hari ini. Peluang tersebut ternyata tidak disia-siakan kerana baginya seni adalah cinta hati yang tidak dapat dilupakan sehingga ke nafas akhir.

“Saya memang merancang untuk muncul semula dalam dunia lakonan selepas beralih bidang kepada perniagaan pada 1997. Ternyata sepanjang tempoh itu keinginan untuk berlakon tidak pernah padam dan sentiasa membuak-buak.

“Pada awalnya, saya ingat dapat watak picisan sahaja tetapi tidak sangka pula diberikan peranan-peranan penting. Itu antara sebab saya masih bertahan sehingga hari ini,” ujar aktor berbakat ini lagi.

Setelah membawa watak bapa yang memperkosa anak sendiri dalam drama Soffiya, ramai yang memberi maklum balas terhadap lakonannya.

“Dalam drama tersebut saya membawa watak ayah yang merogol anak sendiri. Watak yang cukup bermain dengan emosi dan agresif. Ternyata saya mendapat maklum balas yang mana ramai yang benci dengan watak tersebut.

“Kini saya sering diberi watak bapa dan saya percaya kemunculan saya kembali lebih mudah kerana industri seni kekurangan pelakon berusia untuk menggalas watak bapa,” ujarnya yang muncul semula menerusi penghasilan skrip tele filem Kabus lakonan Eman Manan dan Alex Komang pada 2011.

Selain daripada itu kini dia juga sibuk menguruskan perniagaan makanan yang terkenal di Taiping iaitu “The Train By Hilla Azman" serta sedang merencana untuk mengeluarkan minyak wangi berasaskan alam semula jadi bersama rakan kongsinya yang bernama Datuk Saiful Bahari.

Dari pelukis grafik ke pelakon

Hampir setahun bekerja sebagai pencuci pinggan mangkuk di gerai sekitar Kuala Lumpur, dia mendapat tawaran menyambung pelajaran di Institut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam dalam bidang grafik.

“SHasil cuci pinggan mangkuk, sempatlah juga kumpul sedikit duit untuk sambung belajar. Hampir tiga tahun belajar kemudian tamat sahaja pengajian saya terus mencari pekerjaan dalam bidang grafik.

“Saya agak bernasib baik diterima bekerja sebagai pembantu grafik di Instad Advertising D’ Abad Century Hotel. Masa tu mereka tawarkan saya gaji RM150 sebulan.

“Teruja sangat sebab nilai tersebut dah cukup besar dan jujur nya saya tak pernah pegang duit sebanyak itu,” ujar bekas pelajar Sekolah Menengah Doktor Burhanuddin, Taiping, Perak ini lagi.

Bertahun bekerja dalam bidang tersebut dia pernah memegang jawatan tertinggi sebagai Pengarah Kreatif di Syarikat Kobena Communication sebelum memutuskan untuk berlakon sepenuh masa.

Bercerita lanjut tentang penglibatannya dalam bidang seni, aktor ini mula menanam minat berlakon ketika berada di bangku sekolah lagi.

“Ketika berada di tingkatan empat, saya terlibat dalam teater. Masa tu pihak sekolah menjemput pelakon teater berpengalaman iaitu Megat Shaiful Bahari untuk mengajar kami.

“Saya antara pelajar yang terpilih ketika itu memasuki pertandingan teater sekolah-sekolah di seluruh Malaysia.

“Tak sangka pula, saya dipilih sebagai pelakon lelaki terbaik untuk teater tersebut. Seingat saya teater itu bertajuk Di Kiri Jalan Di Kanan Pun Jalan.

“Bermula dari situlah saya diperkenalkan pada pengarah drama yang agak terkenal zaman itu iaitu Tuan Syed Alwi,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia sudah mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan ketika bekerja sebagai Pembantu Grafik lagi. Namun ia hanya dilakukan ketika dia mempunyai masa terluang.

“Mula-mula sekadar cuba-cuba sahaja tapi bila semakin banyak dapat tawaran saya akan ambil cuti tanpa gaji selama sebulan sehingga akhirnya saya putuskan untuk meletakkan jawatan.

“Drama pertama lakonan saya bertajuk Tok Perak pada 1985. Kemudian bermacam-macam lagi tawaran sehingga kalau dikira saya pernah menjayakan 290 buah drama, enam buah filem, enam teater dan 89 buah drama radio sepanjang lebih 30 tahun dalam bidang ini,” ceritanya.

Ditanya kenangan manis ketika bergelar pelakon, dia tidak dapat melupakan ketika menjayakan watak Tok Perak pada tahun 90-an dalam drama Kota Setia. Ini kerana watak tersebut cukup memberikan semangat patriotik dalam dirinya.

“Drama enam episod itu merupakan salah sebuah drama yang agak popular ketika itu. Ia mengisahkan tentang perjuangan orang Melayu pimpinan Datuk Maharaja Lela menentang sistem Residen British di Perak pada 1875.

“Melibatkan lebih 2,000 pelakon tambahan dan menelan belanja 1.5 juta ia merupakan satu pengalaman yang cukup menyeronokkan bagi saya,” ujarnya yang sinonim dalam drama-drama berunsur pahlawan ketika itu.

Selain daripada itu, pelakon yang mengagumi lakonan Tan Sri P.Ramlee ini mengakui terlalu meminati seni lakonan dan sering mendapatkan tunjuk ajar daripada pelakon-pelakon berpengalaman saat itu.

“Dulu masa mula-mula terlibat dalam bidang seni, saya suka menghabiskan masa dengan pelakon lama seperti Kuswadinata, Hussein Abu Hassan, Ahmad B dan Aziz Sattar. Saya jarang duduk dengan pelakon sebaya waktu tu.

“Bagi saya inilah satu-satunya cara untuk menuntut ilmu kerana mereka cukup berpengalaman dan tidak kedekut ilmu. Mereka suka berkongsi dan menasihati saya,” tutur nya lagi.

Pun begitu, kemuncak perjalanan seninya terpaksa dihentikan seketika pada 1997 ketika zaman kegawatan ekonomi melanda negara.

“Masa tu kebanyakan artis susah nak cari makan. Ramai yang mula berniaga dan sebagainya. Jadi saya ambil keputusan untuk balik ke Taiping dan menceburkan diri dalam bidang perniagaan,” katanya.