Helah hidung belang

Salwa Razak kecewa dengan nafsu manusia yang serakah

KUALA LUMPUR, 19 NOVEMBER 2014 - Sesi fotografi penyanyi, Salwa 2
Salwa Razak

DAHULUNYA, gadis tinggi lampai berusia 29 tahun ini dikenali dengan nama Arrora Salwa dan pernah muncul dengan sebuah single berjudul Ahmad. Ketika itu juga, dia dihimpit kontroversi apabila lagu tersebut dikatakan kedengaran agak lucah dek gaya nyanyiannya.

Pada masa yang sama, bekas anggota polis itu juga pernah dilanda kisah-kisah panas yang menghangatkan namanya termasuklah khabar angin yang mengatakan dia ditaja oleh seorang kenamaan.

Lebih ‘menggelegak’ industri, ada yang melabelkannya sebagai perempuan simpanan!

Sekejap sahaja, nama Arora Salwa mula disebut-sebut, tetapi bukan atas kejayaan, namun disebabkan cerita tidak baik yang tersebar luas. Sedar akan situasi itu, gadis itu mengundur diri seketika dan membisu tanpa khabar.

Pun begitu, tindakannya berdiam diri disifatkan berjaya kerana selepas itu, tiada lagi desas-desus negatif diperkatakan. Menggunakan kesempatan yang ada, anak kelahiran Kota Tinggi, Johor itu kembali aktif di pentas hiburan tanah air, tetapi dengan imej dan identiti berbeza.

Menyuntik semangat baru dengan matlamat mahu melupakan keperitan lalu, nama Salwa Razak diperkenalkan kepada umum. Alhamdulillah, menurutnya yang hadir ke Studio Utusan bagi menjayakan sesi fotografi bersama Hits minggu lalu, jenama baharu itu membawa aura positif dalam dirinya.

“Saya bersyukur, tindakan saya menukar nama akhirnya memberi kesan baik terhadap kerjaya seni yang diceburi sebelum ini. Bagaimanapun, saya akui masih ramai yang memanggil saya dengan nama Arora. Tetapi saya tidak kisah kerana itu tidak boleh dipaksa.

“Sekurang-kurangnya, jika peminat mencari nama Salwa Razak di internet, ia tidak dicemari dengan taburan fitnah yang lalu tatkala menggunakan nama Arora Salwa. Ia ibarat mencuci kekotoran yang pernah dilakukan orang lain di masa lalu,” katanya ringkas menjelaskan pertukaran imej baharu yang diperkenalkan.

Lima tahun bergelar anak seni, Salwa mengakui laluan dirinya bukan mudah. Terlalu banyak pahit berbanding manisnya. Namun, disebabkan niatnya yang mahu mencari rezeki halal, dia tetap bertahan mengharungi onak dan duri.

Akuinya, sejak menjadi penyanyi, undangan yang diterima dibalas dengan tadahan kedua-dua telapak tangan tanda bersyukur. Pendapatan yang diperoleh cukup serba serbi untuk menampung kehidupannya.

“Walaupun nama saya tidak segah penyanyi-penyanyi lain yang mampu menjana pendapatan puluhan ribu ringgi untuk satu persembahan, saya tetap ada peluang untuk menjayakan beberapa undangan.

“Bayaran yang diterima memuaskan berdasarkan jenis perkhidmatan yang telah dipersembahkan kepada pelanggan. Lagipun, selain menyanyi, saya turut berlakon dalam beberapa drama,” katanya kepada Hits.

Bagaimanapun, tambah Salwa, untuk mendapatkan peluang dalam menjayakan sesebuah persembahan, terlalu banyak birokrasi yang perlu dihadapinya. Lebih teruk, apabila ada pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atasnya.

Terdapat segelintir individu dalam industri yang cuba mengeksploitasi dirinya sebagai kaum Hawa tatkala berurusan dengannya. Ada yang cuba untuk mendekati dirinya secara intim serta meminta perkara yang melampaui batas.

“Sejujurnya, saya bukanlah wanita yang baik sangat. Tetapi ada masih sedar diri dan ada maruah yang perlu dijaga demi nama baik keluarga. Maaflah saya bukan wanita murahan yang sewenang-wenangnya boleh diajak menjadi teman sekatil!” tegasnya dengan emosi yang agak marah.

Lebih mengejutkan, menurut Salwa yang juga pergawati pentas peragaan ini, ada dalam kalangan individu yang dimaksudkan merupakan tokoh terkenal di persada industri muzik tanah air.

“Saya sendiri terkejut apabila seseorang yang disegani berperangai seperti binatang. Muka nampak baik, tetapi hanya Allah yang tahu perangai sebenar dia. Terus saya hilang respek terhadapnya.

“Apapun, apabila berhadapan masalah sebegini, saya cuba atasi dengan cara berhemah agar tawaran yang diberi tidak terlepas begitu sahaja. Perlukan strategi bijak untuk mengendalikan orang-orang hidung belang macam ni. Kita buat sampai dia hormat dan malu dengan kita,” katanya menceritakan pahit getir yang ditempuhinya.

Berbicara mengenai produk terbaharunya dalam bidang seni suara, Salwa baru mengeluarkan sebuah single berjudul Begitu Aku ciptaan sepenuhnya Zimi Sofazr.

Kekal dengan genre moderate dan pop, finalis dalam pertandingan World Championship of Performing Arts 2010 (WCOPA2010) bagi kategori peragaan itu berkata, lagu tersebut agak catchy dan sesuai dengan trend muzik semasa.

“Sama seperti lagu Ahmad yang menjadi single pertama dulu, muzik Begitu Aku dicipta dengan lebih santai dan mesra pendengar bersesuaian dengan vokal saya. Ia adalah buah tangan terkini saya bersempena lembaran baharu hidup saya sebagai anak seni.

“Diharap ia mampu diketengahkan menerusi medium radio agar dapat mempromosikan lagi produk tersebut termasuk diri saya sendiri di arena muzik tempatan,” katanya yang menggunakan modal sendiri untuk menghasilkan single berkenaan.

Namun, di sebalik mengakui peranan penting radio dalam menaikkan nama seseorang penyanyi, Salwa sebenarnya amat kecewa apabila sesetengah stesen mengamalkan sikap pilih bulu.

Kebanyakan stesen radio swasta ada artis kegemaran sendiri termasuklah terikat dengan bakat-bakat yang dilahirkan syarikat mereka.

“Sekarang ini, boleh dikatakan hampir kebanyakan stesen radio lebih mengutamakan artis program realiti yang lahir daripada stesen TV di bawah organisasi yang sama.

“Jadi, penyanyi yang bukan lahir daripada mana-mana program realiti rasa seperti ditindas. Tidak mempunyai orang dalam untuk mengetengahkan produk kami. Sedangkan agak lama single saya dihantar kepada mereka untuk dimainkan tetapi hingga kini belum lagi diputarkan.

“Dahulu, ketika keluar dengan single kedua, Hidup Baru, ia langsung tidak kedengaran di mana-mana radio. Tetapi saya reda kerana rezeki ada di mana-mana. Saya berharap, lagu ketiga saya ini mendapat peluang yang adil untuk diperdengarkan kepada peminat muzik tanah air,” rayunya.

Justeru, Salwa juga menyimpan hasrat agar dia dapat mengumpul beberapa lagi buah lagu untuk merealisasikan impiannya melancarkan album. Cuma katanya, biarlah dia bertatih untuk ke arah itu dengan harapan lagunya diterima baik oleh pendengar.

 

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati