Tidak mahu mendedahkan secara terperinci gerangan individu yang cuba menghampirinya, Fasha bagaimanapun memberitahu, lelaki tersebut hanya orang biasa, bukan daripada kalangan selebriti mahupun kenamaan (VIP).

Bertemu pelakon siri Lara Aishah itu pada majlis pelancaran Rumah Kebaya Bangsar yang menyaksikannya dilantik sebagai duta label pakaian berkenaan, jelitawan itu mengakui sedang meniti fasa bahagia meskipun sekadar berstatus kawan rapat.

“Kami hanya berkawan rapat, tidak lebih daripada itu. Bukan kekasih tetapi dialah satu-satunya rakan lelaki yang boleh dijadikan tempat mengadu, bermesej di WhatsApp dari pagi sampai ke malam.

“Tempoh perkenalan kami tidak sampai pun enam bulan, masih baru. Sebab itu agak terlalu awal untuk bercerita lanjut mengenai hubungan ini. Yang pasti, pada tahap sekarang kami tidak bercinta,” tegasnya memberi penjelasan.

Ditanya sama ada Fasha sudah bersedia untuk kembali berumah tangga, wanita itu tidak melihat dia akan berkahwin pada masa terdekat memandangkan mahu memberi tumpuan terhadap jadual seninya yang padat.

Pun begitu katanya, tidak mustahil dia akan mula mempertimbangkan keputusan untuk membina semula mahligai perkahwinan dengan insan tersayang.

“Ada banyak perkara perlu saya uruskan terlebih dahulu sebelum berkahwin semula. Selain bidang lakonan, saya ada perniagaan yang perlu diuruskan di samping terikat menjadi duta untuk beberapa produk.

“Jadi lebih baik saya selesaikan satu persatu supaya tidak menyusahkan saya kelak. Saya beri tempoh dalam setahun setengah lagi sebelum melangkah ke fasa lebih serius.

“Saya cuba pastikan untuk berkahwin ketika anak-anak masih kecil. Kalau mereka sudah besar, takut Rayfal dan Jemaima susah untuk menerima bakal suami saya,” jelasnya berterus terang.

Gambar ABDUL RAZAK LATIF

Dalam pada itu, mengulas lanjut pembabitannya sebagai duta Rumah Kebaya Bangsar, Fasha menganggap kontrak selama setahun yang dimeterai bermula Oktober tahun lalu adalah rezeki buat anak-anaknya.

“Alhamdulillah, ini adalah produk kelima yang menggunakan khidmat saya sebagai duta. Sepanjang 2016, ini adalah kemuncak karier saya apabila mendapat jumlah pendapatan tertinggi sejak saya bergelar artis.

“Pada tahap ini, walaupun populariti itu jauh lebih besar dinikmati ketika zaman anak dara namun kepuasan dalam memperoleh penghargaan daripada pihak lain mula dirasakan waktu ini,” beritahu Fasha tentang pencapaian peribadinya.

Sementelah dirinya diberi peluang menjadi duta produk-produk tempatan yang begitu gah di pasaran, pelakon yang mula mengasah bakat lakonannya menerusi filem Black Maria pada 2003 itu bagaimanapun belum bersedia melancarkan jenama miliknya sendiri.

Katanya, biarlah dia fokus menguruskan perniagaan salun Chinta yang sudah beroperasi sejak enam tahun lalu. Fasha menyifatkan, berniaga perlukan daya tumpu yang tinggi bagi memastikan pelanggan mempercayai produk atau servis yang ditawarkan.

“Jika ada dua atau tiga bisnes sekalipun namun kita sendiri sukar memberi komitmen untuk turun padang, tak guna juga. Sebagai artis yang berniaga, bakal pelanggan terdiri daripada peminat yang setia dan mereka meletak harapan untuk berjumpa artis kesayangan.

“Sebab itulah saya beri perhatian sepenuhnya terhadap Chinta. Saya akan luangkan masa berada di salun paling kurang tiga hari seminggu untuk bertemu pelanggan. Bayangkan kalau ada bisnes lain, susah untuk saya bahagikan masa,” tuturnya menyatakan pendirian.

Selaku duta, Fasha juga menegaskan dia hanya akan berkolaborasi dengan produk atau perkhidmatan yang digunakan dalam kehidupan seharian.

“Sebelum ini memang banyak tawaran untuk menjadi duta beberapa produk yang tidak pernah saya gunakan. Jadi saya terpaksa tolak kerana tidak mahu menipu peminat,” tambahnya.

Selain Rumah Kebaya Bangsar, Fasha turut menjadi duta produk kesihatan SoliFit, wangian Fasha Sandha by D’Haja, gincu Lerve dan tudung Milyunir.