Rentetan daripada kenyataan itu, dia sering diusik dan menariknya, Elfira juga tidak ketinggalan mahu mengusik penyanyi lagu Terakhir itu sewaktu Sufian menjadi tetamu program Johara Pagi Era.

Melihatkan kepada kata-kata maklum balas mereka di Twitter serta foto-foto yang dimuat naik di laman sosial Instagram, rata-rata netizen yakin antara Sufian dan Elfira mempunyai hubungan yang istimewa.

Malah sewaktu Elfira menyambut hari lahir yang ke-23 tahun pada 8 Mac lalu, Sufian sanggup pergi ke rumahnya untuk menghadiahkan sejambak bunga mawar dan dia merupakan orang pertama yang memberi hadiah kepada pelakon tersebut.

Bagi membalas kejutan yang dibuat oleh Sufian kepadanya, pada 3 Mei lalu, Elfira meraikan pula sambutan kelahiran penyanyi itu yang ke-25 dengan membawanya menaiki helikopter dan menjemput rakan-rakan karib Sufian ke majlis yang diadakan di The Shorea, Seremban, Negeri Sembilan.

Berdasarkan kepada acara yang diatur, pasti ramai yang meneka bahawa mereka bukan sekadar teman biasa tetapi lebih daripada itu.

Cuma mereka sahaja yang tidak mahu mengesahkan yang hubungan mereka sampai ke peringkat bercinta dan berkasih.

“Tidak perlulah kami memberitahu orang ramai status hubungan ini. Kami bukan lagi remaja yang kalau bercinta nak beritahu kepada semua orang bahawa dia ini teman lelaki atau teman wanita masing-masing.

“Cukuplah jika antara kami menyenangi antara satu sama lain dan yang boleh saya katakan, kami memang serius berkawan. Sepanjang tempoh mengenali Elfira, saya senang berkawan dengan dia.

“Semakin lama saya mengenali Elfira semakin mendalam rasa kasih kepadanya kerana dia memahami saya,” kata Sufian kepada Mega HITS sewaktu sesi foto dengan Elfira di Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelas Sufian, dia mula meminati Elfira sewaktu pelakon itu muncul dalam drama Tentang Bulan The Series pada 2008. Bagaimanapun dia bukanlah peminat yang fanatik dan sering mengikuti perkembangan aktres itu.

Katanya, kali pertama dia bercakap dengan Elfira adalah sewaktu pelakon itu membuat panggilan usikan ke program Johara dan keluar bersama-sama ketika melakukan rawatan wajah di Kota Damansara, Kuala Lumpur dengan ditemani adik Elfira.

“Saya sebenarnya tak sangka dengan apa yang telah saya lakukan, seperti membuat kejutan memberi bunga sempena hari lahirnya. Sebelum ini saya tak pernah buat kejutan begitu terhadap kawan-kawan lain, Elfira merupakan orang pertama.

“Entahlah, mungkin kerana saya ikhlas nak berkawan dengan dia jadi semua yang saya lakukan datang dengan sendiri tanpa dipaksa.

“Begitu juga semasa nak memberi bunga, saya tanya mama dia dulu. Apabila sudah dapat lampu hijau barulah saya berani untuk memberi bunga itu,” cerita Sufian tentang keberaniannya yang tak diduga itu.

Sufian juga menafikan yang dia putus cinta dengan bekas teman wanitanya gara-gara Elfira kerana kisah cintanya dengan wanita yang dikenali sebagai Izyan itu telah lama berakhir.

“Memang sebelum ini saya bercinta tetapi tidak secara terbuka kerana sebelum itu saya tidak dikenali pun.

“Apabila sudah dikenali dan mula rapat dengan Elfira, ada yang mula ambil tahu dan itu yang menjadi perhatian sehingga dikaitkan dengan kisah cinta lama saya,” jelasnya.

Kongsinya, ketika ini hatinya memang sedang berbunga bahagia kerana adanya seorang teman yang sering mengambil berat tentang dirinya.

Selesa berkawan dengan Elifra, jelas Sufian, banyak perkara yang membuat dia senang berkawan dengan gadis itu.

“Saya tidak ramai rakan di sini dan apabila ada Elfira, saya tidak rasa keseorangan apatah lagi dia adalah seorang pendengar yang baik.

“Tambahan hubungan saya dan keluarganya juga rapat sehinggakan saya rasa seperti mempunyai keluarga kedua di Kuala Lumpur,” jelasnya.

 

Kebanyakan artis sebaik sahaja menjelang Ramadan akan mengambil keputusan untuk berehat daripada sebarang kegiatan seni.

Begitu juga dengan Sufian dan Elfira. Mereka memilih untuk meluangkan masa dengan keluarga masing-masing pada Ramadan.

“Bulan puasa kali ini saya mahu meluangkan lebih masa di rumah keluarga di Muar, Johor.

“Banyak aktiviti yang boleh saya lakukan pada Ramadan dengan ahli keluarga yang lain. Jadi kesempatan yang ada ini saya gunakan sebaik-baiknya,” jelas Sufian.

Bagi Elfira pula, berbanding Ramadan sebelum ini yang sentiasa sibuk dengan jadual kerja, dia memilih untuk berehat seketika.

“Saya memperlahan kerjaya saya dan beri fokus kepada bidang lain seperti perniagaan.

“Dalam bidang seni saya masih ada. Biarpun perlahan bukan bermakna saya mahu berhenti terus daripada dunia seni.

“Masih banyak yang saya boleh lakukan dalam bidang seni dan mahu saya capai,” jelasnya yang belum merancang untuk berbuka puasa dengan peminat.

Sementara itu, sempena Ramadan ini, Sufian buat pertama kali akan tampil 
dengan lagu raya berjudul Kasih Lebaran.

Sufian buat hati Elfira ceria

SEJAK Sufian muncul dalam industri seni dengan single Terakhir dan Harus Aku, ramai yang melihat pemuda itu sebagai penyanyi nerd kerana kebetulan ketika itu dia bertugas sebagai guru sandaran Bahasa Inggeris.

Bukan itu saja, Sufian juga dikategorikan sebagai penyanyi ‘bersih’ daripada kontroversi dan berita tentangnya sering berkisar tentang kerjaya sahaja.

Bagaimanapun semua itu berubah apabila namanya mula dikaitkan dengan Elfira Loy.

Begitu juga dengan Elfira yang sudah 10 tahun membabitkan diri dalam bidang seni. Dia merupakan antara artis yang bersih daripada kontroversi kecuali pernah terpalit gosip cinta dengan pasangan lakonnya, Randy Pagalila dan Baim Wong.

Kali ini Elfira seolah-olah tidak menolak apabila namanya dikaitkan dengan Sufian dan sepanjang sesi foto Mega HITS dapat melihat kemesraan antara mereka seperti orang bercinta.

“Ya, saya selesa berkawan dengan Sufian kerana dia bukanlah seperti yang orang lain kata. Dia bukan budak nerd tapi kelakar dan suka buat lawak.

“Perkara utama yang buat saya senang dengannya kerana apabila saya kata, kalau betul nak berkawan dengan saya, jumpalah mama dan memang dia buat.

“Sikap bertanggungjawab dia buatkan saya terbuka hati nak berkawan dan mengenalinya dengan lebih dekat.

“Dari hari ke hari saya mengenalinya, saya boleh kategorikan Sufian sebagai seorang yang menghiburkan dan ditambah pula kami mempunyai minat yang sama,” jelasnya.

Kata Elfira, mungkin orang tak tahu yang Sufian ini selain kelakar juga meminati aktiviti lasak sepertinya. Paling utama Sufian mempunyai sifat-sifat sebagai pelindung dan sentiasa mengambil berat tentangnya.

“Saya tidak mahu melabelkan hubungan kami sebagai pasangan yang sedang bercinta kerana masing-masing sudah matang.

“Yang penting saya tahu perangai dia dan dia tahu sikap saya. Bagi saya itu sudah cukup untuk kata yang kami saling melengkapi antara satu sama lain.

“Lagipun kita tak tahu siapa jodoh kita kerana itu semua urusan Allah. Memanglah apabila kita berkawan dengan seseorang itu, mesti ada matlamatnya.

“Samalah seperti kami tapi saya dan Sufian lebih senang untuk memberitahu yang kami memahami antara satu sama lain dan keluarga juga tidak menghalang,” jelasnya.