Sama ada Azhan Rani mahupun Izara Aishah, mereka menyifatkan penglibatan di samping aktor dan aktres senior berpengalaman dan berbakat besar seperti Zaidi Omar serta Ogy Ahmad Daud dalam produksi yang sama membantu melonjakkan lagi kredibiliti masing-masing.

Sikap tidak lokek oleh kedua-dua dramatis hebat itu dalam mencurahkan serta berkongsi pengalaman serta pengetahuan masing-masing yang ditunjukkan oleh Zaidi dan Ogy benar-benar memberi impak kepada pelakon generasi baharu dalam memberikan gaya persembahan terbaik.

Azhan ketika ditemui sejurus memenangi trofi berkenaan berkata, dia yang berlakon dalam drama Menunggu Hujan Teduh di sisi dua pelakon senior iaitu Zaidi dan juga Fatimah Abu Bakar menyifatkan ia satu peluang besar yang tidak boleh dilepaskan.

“Kebetulan, ketika tawaran diberikan kepada saya oleh pengarah Azma Aizal Yusoof, saya memang tidak sibuk dan bersedia memberikan komitmen terhadap drama ini. Apatah lagi selepas melihat senarai nama pelakon yang hebat seperti Abang Zaidi dan Ibu Fatimah.

“Terdetik di hati, inilah masanya untuk saya “berguru” dengan mereka. Dua orang pelakon yang amat saya puja dan segani dek kehebatan masing-masing terutama dalam penghayatan sesuatu watak.

“Membesar dengan drama-drama lakonan mereka, pastinya ada cita-cita untuk berlakon di sisi mereka. Maka sebab itu, saya tidak lepaskan untuk menerima tawaran tersebut,” jelas Azhan sambil memberitahu ini merupakan pengiktirafan pertama yang diterima setelah sekian lama aktif dalam dunia lakonan bermula di pentas teater.

Tambah Azhan, Azma pula dilihat sebagai seorang pengarah muda yang sangat komited terhadap tanggungjawabnya.

Tanpa memaksa para pelakon, Azma mengembangkan setiap watak dalam drama berkenaan berdasarkan kemampuan pelakon terbabit, tidak berlebih-lebih lantas menampakkan keseimbangan yang mencantikkan keseluruhan cerita.

“Jadi, tidak hairanlah drama ini dipilih sebagai yang terbaik dan Azma sendiri diberi pengiktirafan sebagai Pengarah Terbaik. Kesemua krew bekerja keras untuk menjayakannya dan berbaloi dengan kemenangan enam trofi keseluruhannya,” kata Azhan.

Selain Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Telefilem Terbaik dan Pengarah Terbaik, Menunggu Hujan Teduh turut memenangi kategori Skrip Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik yang dimenangi Zaidi.

Sementara itu, bekas finalis Dewi Remaja, Izara pula berkata, lakonannya sebagai anak Ogy dalam telefilem arahan Osman Ali, Seteguh Kasih Ibunda dilihat berjaya atas bantuan primadona tersebut.

“Ini adalah pertama kali saya berpeluang berlakon bersama Kak Ogy. Penghayatannya sangat mengagumkan dan benar-benar membuatkan saya serta pelakon lain terpegun melihatnya.

“Tatkala diminta oleh pengarah untuk bersedih, dibuatnya dalam seketika tanpa mengambil masa yang lama untuk menjayakannya. Jiwanya ada roh seni yang dahsyat. Mampu berubah sekelip mata mengikut situasi yang diperlukan.

“Pun begitu, diakui kehebatan Kak Ogy sedikit memberi tekanan kepada saya. Maklumlah, sebagai pelakon yang masih baharu, banyak lagi kemahiran yang perlu ditambah baik. Akan tetapi, pada masa yang sama ia mengingatkan saya agar lebih fokus dan mempersembahkan yang terbaik, seiring dengan persembahan Kak Ogy yang telah lakukan yang terbaik. Saya tidak mahu mengecewakannya dan seluruh produksi,” jelas Izara.

Dalam pada itu, Ogy turut meraih kejayaan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi drama tersebut yang juga dibintangi Balkisyh Semundur Khan, Ku Hariz dan Hafreez Adam.

Tanggungjawab lebih besar

Mengulas lanjut mengenai kejayaan yang diraih, Azhan dan Izara sependapat bahawa ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan andai tidak mampu menggalas mandat yang telah diberikan dengan lebih baik pada masa akan datang.

Diangkat dalam sesebuah majlis pengiktirafan seni, bermakna tanggungjawab juga semakin bertambah dan jangan sesekali dipandang enteng kemenangan yang telah dikecapi.

Azhan berkata, apabila ada pihak yang menghargai seseorang pelakon itu menerusi majlis seumpama itu, secara automatik, mereka mengharapkan sesuatu yang lebih bagus dalam kerjayanya sebagai pelakon.

“Jadi, ini bukan sesuatu yang boleh dibuat sambil lewa, perlu membuktikan bahawa diri kita sememangnya layak membawa balik trofi ini. Insya-Allah saya akan kemaskan lagi persembahan untuk mengekal atau meningkatkan momentum saya,” katanya.

Izara pula mencelah, dia takut dengan kemenangan itu kerana bukan mudah sebagai seorang pelakon melaksanakan peranan mereka sejurus memenangi anugerah.

“Mungkin ramai orang anggap, lepas menang anugerah, artis itu hanya duduk goyang kaki dan tawaran berlakon masuk menderu-deru. Ia sebenarnya masih lagi kerja Allah dalam memberi rezeki kepada hamba-Nya.

“Saya sama seperti pelakon lain yang belum memenangi apa-apa, perlu bekerja keras, malah lebih lagi disebabkan status terbaik yang telah dicop. Secara logik, yang lebih baik perlu menunjukkan yang lebih bagus, bukannya gaya setara yang kemudian akan membinasakan karier sendiri,” jelas Izara yang anggun dalam dress biru gelap.

SENARAI PEMENANG ANUGERAH TRIBUTE 
P. RAMLEE 2014:

  • Telefilem Terbaik 
Menunggu Hujan Teduh
  • Pengarah Terbaik
Azma Aizal Yusoof
 (Menunggu Hujan Teduh)
  • Pelakon Lelaki Terbaik 
Zaidi Omar 
(Menunggu Hujan Teduh)
  • Pelakon Wanita Terbaik
Fauziah Ahmad Daud 
(Seteguh Kasih Ibunda)
  • Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik 
Azhan Rani 
(Menunggu Hujan Teduh)
  • Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Izara Aishah
 (Seteguh Kasih Ibunda)
  • Sinematografi Terbaik
 Azeli Mohammad (Menunggu Hujan Teduh)
  • Skrip Terbaik
Mazelan Manan (Menunggu Hujan Teduh)
  • Penampilan Khas Terbaik 
Zakaria Yusof 
(Mengapaku Diseksa)
  • Anugerah Tokoh Lakon Filem Melayu 
(Seniwati Mariani Ismail)
  • Anugerah Khas Juri 
(Jiwa P. Ramlee) 
Zul Huzaimy
 (Mengapaku Diseksa)
  • Anugerah Khas Juri (Pemikiran P. Ramlee) 
Fahmi Sarindi 
(Demi Waktu Mahani)