Pun begitu, bertarung dengan kesakitan tidak pernah sesekali membuatkan mereka patah semangat. Semangat juang yang ditunjukkan Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Hans Isaac dan Datuk Mahadzhir Lokman tentu sekali memberikan pengajaran kepada orang lain untuk menghargai nikmat kesihatan yang tidak ternilai.

Pancaindera berkesempatan bertanya khabar mereka. Pesan mereka, usahlah terlalu terkejar-kejar akan kerjaya, sehingga mengabaikan kesihatan diri sendiri. Jaga kesihatan, jaga makan dan jaga waktu tidur. Itu petua kekal cergas!

Kesihatan terjejas  selepas tiada  isteri

Nampaknya lepas ni kena cari orang untuk jaga makan,” ujar Datuk Jalaluddin Hassan berseloroh ketika ditemui di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini.

Dia kini hidup bersama anak-anak setelah pemergian isteri tercinta Datin Hashimah Mad Ehsan pada November tahun lalu akibat komplikasi pembedahan saluran jantung.

Diserang sakit secara tiba-tiba pada 2 Oktober lalu di ruang parkir Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur, pelakon berusia 63 tahun ini tiba-tiba rebah keseorangan. Dia kemudian sempat menelefon salah seorang anaknya, Nurul Aini yang kemudian menghubungi pihak hospital lalu dibawa ke unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur .

Mengakui yang dia baru tersedar untuk lebih peka terhadap tahap kesihatannya kerana bimbang kejadian yang sama berulang kembali, Jalal mengadu bahawa kehilangan isteri menyebabkan dia kurang memberi perhatian kepada keadaan kesihatan.

“Dulu masa ada isteri hidup memang teratur. Mana taknya dah tentu dia jaga makan minum. Sibuk macam mana pun saya, ada orang ingatkan untuk makan ubat dan sebagainya tapi sekarang ni pandai-pandai sendirilah.

“Kadang-kadang sarapan pagi pun ambil waktu tengah hari, perut pun dah masuk angin. Tambah pula badan dah tak kuat dan cergas seperti dahulu lagi jadi macam-macam sakit senang hinggap. Mungkin inilah salah satu faktor utama yang membuatkan saya tumbang tempoh hari,” tuturnya perlahan.

Tentang perkembangan kesihatannya, dia bersyukur kerana semakin stabil namun masih di bawah pemantauan setelah dikejarkan ke hospital akibat sesak nafas sejurus selesai menjadi tetamu jemputan program bual bicara sebuah stesen televisyen tempatan Isnin lalu.

“Alhamdulillah, setakat ini semuanya baik-baik sahaja. Saya sudah pun menjalani beberapa pemeriksaan antaranya imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan MRI untuk jantung. Mula-mula doktor suspek jantung sebab saya memang ada masalah jantung dan sedang makan ubat tapi mujurlah jantung tiada masalah.

“Cuma menurut doktor saya ada masalah vertigo iaitu gangguan pada sistem keseimbangan. Bila sistem terganggu, akan cepat pening dan berpusing selain masalah tulang leher yang disebabkan faktor usia,” ujarnya yang akan menjalani rawatan susulan enam minggu lagi.

Dalam pertemuan pada hari tersebut, turut kelihatan bapanya Tan Sri Haji Hassan Azhari, 89, yang merupakan seorang tokoh agama terkenal.

“Jaga makan betul-betul,” pesan Hassan Azhari kepada anak kesayangannya, bersungguh-sungguh. Kelihatan raut wajahnya yang cukup risau melihatkan keadaan anaknya. Biarpun dirinya juga tidak berapa sihat namun demi anak, digagahi jua.

“Insya-Allah kalau jaga makan, sakit pun lambat singgah. Semuanya berpunca daripada makanan. Dia mungkin selalu makan lambat, bila angin dah masuk dalam badan, kepala pun boleh jadi pening. Tu nasib baik doktor ada bagi ubat gastrik kepada dia.

“Selain itu kita juga perlu banyak berdoa supaya dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat terus berbakti dan yang paling penting sekali dapat kecergasan badan untuk terus beribadat kepada Allah,” ujarnya yang terkenal dengan rancangan Muqaddam pada awal 1970-an di saluran RTM.

Bercerita lanjut tentang perkembangan seninya, aktor ini tidak sabar untuk menyambung semula penggambaran drama yang banyak tertangguh sejak dia dimasukkan ke wad.

“Banyak kerja yang perlu diselesaikan. Setiap hari dalam wad saya minta doktor benarkan saya keluar awal sebab risau dengan kerja. Saya baru sahaja selesai penggambaran filem XX-Ray 3.

“Selain drama saya juga terlibat dengan pementasan teater Bahara Emas sempena sambutan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) ke-50 selama empat hari bermula 19 hingga 22 Oktober 2017. Teater tu yang paling saya risau sebab tak lama sahaja lagi. Jika tak ada apa-apa aral keluar sahaja hospital saya akan terus bekerja,” tutur nya lagi.