Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Hargai 
 SM Salim

Seramai 18 artis tanah air menjayakan Konsert Tribute To Living Legend - Tan Sri SM Salim

D.J DAVE selaku  presiden YA1M menganjurkan konsert Tribute to 7
D.J DAVE selaku presiden YA1M menganjurkan konsert Tribute to Living Legend - Tan Sri SM Salim sebagai menghargai jasa penyanyi tersebut selain membantu artis-artis tanah air.

Selepas beberapa hari menonton Konsert Tribute To Living Legend - Tan Sri SM Salim pada 12 Mac lalu, masih terdengar sayup-sayup suara 18 orang penggiat seni muzik tanah air berpadu suara mengangkat irama dan melodi indah lagu-lagu nyanyian seniman terulung negara itu.

Membuka tirai konsert dengan alunan lagu, Bergending Dang Gong, Cik Siti Leila Mayang dan Satu, Syafinaz Selamat, nama yang tidak asing lagi dalam lembaran seni tanah air itu berjaya membawa penonton mengimbas kenangan manis lagu-lagu tradisional.

Sudah lama kita tidak mendengar alunan suara penyanyi yang popular dengan lagu Ingin Bersamamu, namun persembahan bersahaja penuh tenaga itu membuatkan kita tidak perlu mempertikai keupayaan guru vokal tersebut.

Kemunculan Raihan mendendangkan lagu Assalamualaikum juga mengubat rindu mereka yang menanti-nantikan kemunculan semula kumpulan nasyid yang suatu ketika dulu, lagu-lagu mereka diputarkan di corong-corong radio.

Kehangatan konsert ini diteruskan dengan kehadiran Bob Yusof yang mendendangkan lagu Pantun Budi yang merupakan antara lagu terbaik pernah dinyanyikan oleh legenda seni muzik tanah air itu.

Seakan tidak puas mendengar kelunakan suara Bob, tampil dengan busana indah, Asmidar pula mengambil alih pentas dengan lagu Pasir Roboh yang pada firasat penonton, merupakan lagu yang benar-benar sinonim dengan legenda seni itu.

Secara jujur, lagu itu tidak mudah untuk dibawakan, namun kehebatan Asmidar yang kita sedia maklum bukan calang-calang penyanyi mampu mendendangkan lagu itu dengan cukup indah dan bersahaja.

Ketika ditanya adakah sukar untuk membawa lagu itu, penyanyi yang popular dengan lagu Biar Mimpi Sampai Ke Bulan mengakui, tidak mudah sebenarnya untuk mendendangkan lagu yang menjadi identiti seseorang namun padanya, dia sudah melakukan yang terbaik.

Konsert diteruskan dengan penyanyi 80-an, Zur Eda yang mendendangkan lagu Bunga Ros, suara gemersik penyanyi itu nyata memenuhi ruang auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kemunculan Datuk Andre Goh dengan lagu Tidak Seindah Wajah disusuli dengan Ezad Lazim mendendangkan lagu Kenang Daku Dalam Doamu, suara dua generasi ini ternyata indah dan membawa penonton berlayar jauh dalam kenangan lagu-lagu tradisional Tan Sri SM Salim.

Membawakan lagu Ku Bermohon Kasih, Alyah mengambil alih pentas dan konsert diteruskan dengan penampilan Zahid yang menyanyikan lagu Apa Dah Jadi dengan gaya dan aksi tersendiri.

Meneruskan kehebatan konsert, Syafinaz sekali lagi tampil menghiburkan penonton dengan dendangan lagu Angan-Angan Kosong Be bersama Haziq yang menggamatkan pentas auditorium itu.

Kemunculan Datuk A. Rahman Hassan dengan lagu Selamat Tinggal Bungaku, persembahan bertenaga seniman legenda itu ternyata mengubat rindu peminat-peminat yang sudah lama tidak mendengar suara klasik beliau.

Tidak berakhir di situ, Noraniza Idris tampil memanaskan lagi pentas dengan mengalunkan lagu Bunga Tanjung dan disusuli dengan kemunculan Datuk Yusni Hamid membawakan lagu Sri Siantan.

Meneruskan konsert, gandingan mantap antara Yusni dan Datuk D.J Dave membawakan lagu Jeling-Jeling Pandang-Pandang dan Datuk Khadijah Ibrahim serta Datuk Ramli Sarip dengan lagu Selasih Ku Sayang menghiburkan segenap ruang auditorium itu.

Mengakhiri konsert, penganjur, Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M)menyampaikan anugerah khas kepada seniman negara, SM Salim yang telah banyak berbakti mendaulatkan lagu-lagu irama tradisional yang tidak lapuk dek zaman.

Sebenarnya, sudah jarang untuk kita khususnya generasi muda mendengar melodi-melodi indah cerminan seni dan budaya turun temurun kita kerana mungkin di zaman ini, banyak pihak yang menanggap lagu-lagu tradisional tidak lagi relevan.

Namun, perlu pahat di minda pada mereka yang tidak mahu berpijak di bumi nyata, adat serta seni budaya kita bukan sekadar untuk dilipat sejarah namun merupakan mercu jati diri yang perlu dipahat kukuh dalam hati setiap daripada kita.

Tahniah kepada kru produksi yang bertungkus lumus menganjurkan konsert yang julung-julung kali diadakan.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan