Ya, itu hanya fragmen yang menampilkan beberapa sedutan babak-babak penting dalam persembahan teater itu, namun jika dari situ sudah jelas terlihat kelompongan, bagaimana pula keseluruhan persembahan yang bakal membuka tirainya kurang dua hari dari sekarang?

Mungkin agak kejam untuk terus menerus menilai teater yang diarahkan sutradara muda, A. Ariz ini kerana Ombak Rindu merupakan percubaan keduanya selepas Zombie La La La yang pada Hits, biasa-biasa sahaja.

Melihatkan magis dua hari yang dipersembahkan menerusi teater Zombie La La La tersebut, tidak mustahil pengarah ini akan melimpahkan sentuhan-sentuhan ajaib yang mungkin mengubah keseluruhan persepsi.

Penampilan Nad Zainal yang bermonolog di permulaan persembahan harus dipuji. Lakonan yang ditampilkan perlu diberi pujian.

Persepsi awal, teater ini bakal mematahkan setiap kritikan awal peminat yang tidak berapa menggemari pilihan pelakon-pelakon utama teater ini yang pada mereka ‘kayu’ untuk ditonton.

Ternyata, ada benarnya tanggapan mereka. Keith Foo yang membawakan watak Hariz tidak berjaya menyampaikan emosinya sementelah, keserasian dan padanan lakonan dengan Uqasha Senrose yang menjayakan watak Izzah juga tidak begitu menjadi.

Difahamkan, pelakon lelaki yang popular dengan drama Ariana Rose itu demam panas sehingga menrencatkan persembahannya, namun itu sebenarnya bukan alasan kerana Keith terlalu kaku sehingga penonton mula membandingkan lakonannya dengan pelakon-pelakon lain.

Ya, masih terlalu awal untuk meletakkan kesalahan ke atas bahu pelakon itu namun, jikalau tiada yang menegur, mungkin Keith akan terlalu selesa dengan persembahannya yang mendapat kritikan daripada rata-rata penonton yang hadir.

Mungkin penekanan harus diberikan kepada Keith supaya dia mampu menjayakan watak ikonik tersebut dan saya percaya, pelakon itu bukanlah jenis yang akan melenting tetapi mencuba sedaya upayanya untuk memperbaiki lakonannya.

Penampilan Uqasha yang membawakan dua watak, Izzah dan juga Suri memerlukan komitmen yang cukup tinggi kerana kedua-dua watak ini bagaikan langit dan bumi perbezaan peribadi dan perwatakan.

Namun, pujian harus diberikan kepada Uqasha yang pada pendapat saya, menjayakan watak Suri yang agak kasar dengan berkesan sekali. Biarpun pelakon ini pada awalnya gusar dengan watak tersebut, tetapi ternyata ia bagaikan dekat dengannya.

Cuma, mungkin Uqasha perlu menajamkan lagi pemahamannya terhadap watak Izzah yang bukan sahaja menampilkan kelembutan sebagai seorang wanita tetapi dia juga harus menyelitkan elemen ketabahan dan kekuatan.

Melihatkan persembahan pelakon-pelakon lain, ada kekurangan yang perlu diberi perhatian namun.

Malah, kejam jikalau menilai keseluruhan teater ini hanya dengan menonton fragmen semata-mata. Apa yang diharapkan, peluang dan ruang yang diberi harus digunakan sebaik mungkin bagi menepis pelbagai persepsi awal penonton.

Apatah lagi, teater yang diadaptasi daripada novel karya Fauziah Ashari ini mempunyai ratusan ribu peminat yang meletakkan harapan setinggi gunung terhadap persembahan yang akan meruntun jiwa mereka.- Gambar FARIZ RUSADIO