Hannah Delisha

Masakan tidak, dalam tubuhnya mengalir darah kacukan Melayu-Inggeris dan tentunya Hannah bertuah kerana ia dilihat sebagai satu kelebihan buatnya saat menginjak masuk ke dalam dunia hiburan serba glamor ini.

Mungkin ada di pihak di luar sana yang membayangkan, dia mudah dipelawa menjadi pelakon kerana bonus kecantikan paras rupanya. Maaf, tanggapan itu salah.

Punya sasaran untuk menjadi penghibur serba boleh, si manis berusia 21 tahun ini meski masih muda, enggan memperjudikan bakat dan darah seni yang dimiliki dan diwarisi daripada ibunya, Noor Ashikin Ahmad, seorang penyanyi era 80-an di Singapura.

Cukup pantang andai ada yang mengatakan dia cuma pandai menjual rupa, Hannah lebih selesa menganggap semua peluang seni yang datang itu sebagai satu rezeki. Dan tentu sekali apabila bercakap mengenai rezeki, dia tidak bermain-main dengan soal itu.

“Orang kata kalau nak cepat berjaya dan mahu dikenali ramai, bidang hiburan adalah laluan paling mudah untuk buat duit. Namun saya percaya, saya diterima masuk kerana bakat yang ada. Siapalah saya untuk menolak rezeki yang Allah SWT mahu beri.

“Kalau ini jalan yang boleh memberi manfaat buat masa depan, saya tak nampak ia sebagai satu kesalahan. Ia bukan cuma kerana andaian bahawa saya masuk ke dunia ini untuk lekas jadi orang popular,”katanya penuh makna.

Berpegang pada prinsip, populariti dan kemasyhuran akan datang dengan sendirinya, sebagai seorang anak seni Hannah tidak mahu ramai yang tersalah anggap bahawa populariti itu yang mengukur sejauh mana kejayaan seseorang artis itu.

“Mentaliti begini harus diubah kerana kita semua tahu, populariti satu masa akan mati, namun tidak bakat. Sebab itulah saya mahu tonjolkan apa yang saya ada dan mahu semua orang dapat lihat.

“Zaman sekarang, cantik cuma di media sosial, ia memang boleh mengundang banyak tawaran untuk jadi artis. Tetapi belum tentu yang cantik itu benar-benar berbakat. Tak perlu fikir soal nak cepat popular, itu semua rezeki masing-masing,” katanya yang baru-baru ini merangkul anugerah Personaliti Wanita Paling Popular di Pesta Perdana, Singapura.

Tak berangan

Tidak gemar melihatnya sebagai persaingan, bagi Hannah, seni tidak sepatutnya dihadkan atas faktor-faktor tertentu apalagi membawa soal kenegaraan.

“Memang benar, tak ramai artis wanita dari Singapura yang berjaya melakar nama di sini dan saya tak nafikan, mahu merebut peluang itu andai rezeki ada.

“Sebagai artis, tak kisahlah dari mana datangnya sekali pun, biarlah kerjaya ini dilakukan dengan baik tak kira siapa pun. Saya sendiri tak pernah berangan nak jadi paling bagus atau apa kerana yang penting, semua orang memainkan peranan untuk memajukan industri seni tempatan,”katanya.

Sebelum mengakhiri bicaranya pada petang pertemuan kami, Hannah yang turut berlakon dalam drama berjudul Spaghetti Kuah Kacang tidak menolak akan kembali menyambung karier seni nyanyiannya selepas tertangguh untuk beberapa lama.

Dia yang asalnya penyanyi sebelum melompat masuk ke dunia lakonan tidak pernah menganggap kerjaya seni suara sudah terkubur selepas single Retak dan Anugerah dipandang sepi, tidak begitu menjadi.

“Semua itu ada hikmah, barangkali juga kerana ketika itu orang masih belum kenal saya. Tak mengapalah, saya percaya peluang untuk saya masih ada, tahun ini semoga dipermudahkan Allah, saya akan keluarkan single terbaru,”katanya.

Biar dia seorang

Mengaku bahawa dia juga lebih selesa ibunya menemani ke mana sahaja, sejak dari kecil Hannah tidak terbiasa duduk berjauhan dengan ibunya.

Malah, intimnya hubungan antara ibu dan anak itu, ketika ibunya komited menyanyi secara profesional di hotel lima bintang, Hannah sering menemani saban hari. Itu rutin biasa waktu kecilnya.

“Dulu masa kecil, saya selalu temankan dia. Sekarang jadi terbalik apabila bekerja di dunia seni, ibu pula yang menjadi peneman saya. Bagi saya, lebih baik ditemani ibu daripada orang lain yang saya belum tentu benar-benar kenal.

“Memang kadangkala ada saja pertelagahan antara kami tetapi di akhirnya kami akan cari satu kata sepakat supaya kedua-duanya puas hati, itu normal.

“Kalau ada orang yang mengata ibu sering ikut saya ke mana-mana, itu bermakna orang itu ada agenda dengan saya. Kalau mereka benar-benar ikhlas, ada ibu atau tidak, ia tidak sepatutnya menjadi masalah,”katanya.

Dalam pada itu, melihat kepada persaingan, Hannah sedar ramai artis dari Singapura mengorak langkah yang besar di negara ini dan semua itu memberi inspirasi buatnya untuk berusaha mengembangkan bakatnya.

Sumber kewangan ibu?

Bergelar anak tunggal, barangkali Hannah tiada pilihan lain, perlu lebih peka dan ringan tulang untuk membantu keluarga.

Dek kerana itu ada yang berpendapat, dia menerobos masuk ke dalam dunia hiburan di usia yang muda kerana tujuan itu. Sementelah ada pula yang berpandangan, ibunya yang beriya-iya mahu anaknya menjadi artis, jalan paling mudah untuk menjana sumber pendapatan keluarga.

Ada pula yang hadir dengan gosip, Hannah terpaksa bekerja lebih sebagai artis sejak ibu bapanya bercerai, benarkah begitu?

“Tak betul tu. Ibu bapa saya berpisah ketika saya berusia setahun. Bapa kandung saya Peter Blackburne Birch yang kini berusia 51 tahun menetap di England bersama keluarganya yang lain.

“Ibu juga telah berkahwin lain semasa saya berusia 13 tahun. Ayah tiri, Tirmidzi Zahir, seorang chef dan tinggal bersama kami di Singapura. Cuma sekarang saya dan ibu banyak berada di Malaysia, jadi dia lah yang menjaga rumah kami di sana,”katanya yang mengaku hubungan kekeluargaannya baik antara satu sama lain.

Menolak tanggapan tidak adil terhadap ibunya itu, bagi Hannah, membantu keluarga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sebagai anak. Apa yang penting, dia tidak pernah merasa tertekan kerana tahu setiap ibu mahukan yang terbaik untuk anak mereka.

“Selagi mampu bantu keluarga, saya akan buat. Ibu adalah tulang belakang saya dan dia tahu apa kelemahan dan kekuatan anaknya. Dia tidak menyuruh, tetapi saya sendiri yang mahu jadi anak seni, barangkali kerana darah yang diwarisi.

“Ibu saya berpengalaman dalam dunia hiburan, jadi tak salah kalau dia memberi tunjuk ajar dan mengendalikan saya, dia lebih tahu. Ada satu kata-katanya yang saya tak suka sampai bila-bila pun. Dia cukup gemar ungkap dialog 'Ibu buat semua ini sebelum ibu ‘pergi’. Itu ayat yang mampu buat saya rasa sebak dan tidak boleh terima walaupun saya faham maksud kata-katanya itu ialah dia nak tengok saya berjaya.

“Ya, saya faham sebagai ibu, dia tak mahu saya tertinggal dan mampu punya kerjaya stabil dan jaga diri sendiri. Lelaki baginya, bila-bila masa sahaja boleh kahwin lain, dan wanita kena pandai jaga diri dan hidup berdikari.

“Dia nak pastikan saya sukses dalam bidang yang saya ceburi, kalau pun orang nampak seakan dia mendesak, itu kerana dia mahu yang terbaik buat saya. Lagipun, mana ada ibu yang mahu merosakkan anaknya,”katanya.