Hani & Zue

Sampaikan mesej 
menerusi Mulut Tempayan

 Hani dan Zue distudio 3
Hani (kiri) dan Zue mengakui pihak pengurusan banyak membantu penjadualan karier mereka agar tidak memberi kesan terhadap pelajaran. Hani kini sedang menuntut di UiTM manakala Zue di Kolej Taylor’s.

PERGI datang buat cerita, Bawa mulut sana sini engkau memang mulut tempayan...’, Itu merupakan bait-bait rangkap lagu Mulut Tempayan yang semakin hangat dimainkan di corong-corong radio tempatan ketika ini.

Karya yang ditulis dan disusun sepenuhnya pasangan duo yang menggelarkan diri mereka sebagai Hani dan Zue ini kedengaran rancak dan cukup sesuai dengan jiwa peminat muzik moden.

Hani dan Zue, dianggotai dua remaja iaitu Nor Hanisah Hasan dan Zuliana Mohd. Eusoff, masing-masing berumur 22 tahun kini semakin menonjol setelah hampir dua tahun bergiat aktif dalam dunia hiburan.

Menerusi lagu terbaharu itu, gadis-gadis comel yang cukup berbakat dalam nyanyian dan bermain muzik ini cuba menyampaikan pesanan berguna untuk dijadikan pengajaran kepada semua. Jelas Nor Hanisah atau lebih mesra disapa Hani, budaya mulut tempayan seperti menjadi satu kebiasaan yang sukar dikikis dalam masyarakat hari ini.

“Mulut Tempayan ditulis berdasarkan keadaan semasa, memperlihatkan budaya bergosip yang seakan menjadi trend dalam kalangan masyarakat khususnya pengguna laman sosial.

“Di Facebook, Twitter dan Instagram, banyak terselit komen-komen bersifat kebencian yang akhirnya membawa kepada persengketaan. Oleh itu, kami kupas isu tersebut menerusi lagu,” katanya kepada .com.

Mengenai latar belakang Hani dan Zue, masing-masing mempunyai cerita sendiri di sebalik penglibatan awal dalam bidang nyanyian dan bermain muzik. Hani yang dibesarkan dalam keluarga seni menyedari memiliki bakat menyanyi sejak berumur empat tahun.

Sementara itu, Zuliana (Zue) memberitahu, dia mula bermain instrumen muzik ketika berumur tiga tahun. Katanya, perkenalan dengan Hani di sekolah menengah telah menimbulkan keserasian antara mereka yang mempunyai minat sama iaitu muzik.

“Saya masih ingat sewaktu menonton paparan video di YouTube yang memperlihatkan penyanyi kelahiran Filipina mendendangkan lagu secara harmoni. Kemudian terdetik dalam hati saya untuk mengajak Hani cuba menyanyi secara harmoni. Saya tidak menyangka teknik itu cukup serasi buat kami,” ujarnya.

Peminat yang mengikuti karier dua penyanyi ini pastinya mengetahui bahawa kedua-duanya cukup aktif dalam berkongsi bakat masing-masing menerusi laman YouTube. Ramai juga sedia maklum bahawa mereka adalah pemenang Project EP Hot FM beberapa tahun lalu.

Sehingga kini, Hani dan Zue sudah menulis dan menerbitkan 12 buah lagu termasuk lagu-lagu dalam album sulung mereka berjudul Coretan Cinta yang dilancarkan pada tahun lalu.

Disoal mengenai cabaran bergelar artis baharu, Hani mengakui bukan mudah untuk bersaing dalam industri kecil yang semakin padat dengan kehadiran ramai penyanyi baharu.

Katanya, adalah menjadi cabaran untuk tampil membawakan sesuatu kelainan tatkala trend penguasaan satu-satu jenis muzik seakan menapak dalam industri tempatan.

“Contohnya, ramai penyanyi wanita khususnya yang berhijab tampil dengan jenis muzik yang sama. Keadaan ini menimbulkan pandangan stereotaip, mengaitkan pemuzik berhijab dengan genre muzik serupa.

“Jadi, kami ingin tampilkan sesuatu yang lain. Oleh itu, kami membawakan setiap lagu secara berharmoni agar tidak disamakan dengan penyanyi lain,” jelasnya.

Hani dan Zue akan tampil membuat persembahan sempena Festival Foodmania yang berlangsung pada 23 dan 24 April di Evolve Concept Mall, Ara Damansara. Kepada semua peminat pasangan duo ini, bolehlah datang beramai-ramai untuk menyaksikan persembahan mereka di sana.-AL FAIZAL/ NOOR AZLINA JAAFAR

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati