Ini kerana penerimaan pihak industri terutama terhadap artis wanita berkulit gelap semakin positif. Malah masyarakat juga sudah mula mengubah mentaliti bahawa berkulit putih itu cantik, sementara hitam pula hodoh.

“Tempoh dua tahun pertama saya aktif dalam bidang modeling dan lakonan merupakan tahun sukar buat saya kerana ketika itu masyarakat masih dibelenggu dengan mentaliti bahawa berkulit gelap itu hodoh.

“Namun sekarang keadaan sudah berubah apabila pelakon hebat seperti Nabila Huda berjaya membuktikan bahawa bukan warna kulit menjadi ukuran, tetapi bakat yang perlu dinilai terhadap hebatnya sesebuah drama atau filem,” katanya kepada S2.

Oleh kerana itu, dia menyimpan hasrat untuk berlakon dengan Nabila Huda suatu hari nanti.

Bercerita mengenai perit jerihnya dalam mengharung dunia lakonan, Haneesya berkongsi cerita. Katanya, sejak berusia sembilan tahun, dia yang lebih popular sebagai Haneesya Hanee sering ‘makan hati’ apabila dipandang rendah kerana berkulit gelap.

“Sampai satu tahap, saya rasa kecewa dan mahu sahaja putus asa dengan bidang ini. Tetapi ibu memberi kekuatan kepada saya untuk melawan rasa kecewa itu.

“Walaupun perjalanan seni saya masih jauh, tetapi saya bersyukur kerana keadaan semakin baik buat anak seni seperti saya,” katanya.

Memiliki wajah dan warna kulit eksotik kini menjadi dambaan ramai wanita dan itu sebenarnya memberikan satu kelebihan kepada Haneesya.

Katanya yang sering ditemani ibunya, Hasnida Hassan ke mana-mana sahaja dia pergi, dia juga aktif membuat ‘review’ produk di Instagram.

Tambahnya, dia pernah ditawarkan untuk membuat ulasan menge­nai produk pemu­tih kulit, namun dia menolak kerana tidak mahu menipu pengguna.

“Saya tidak mahu terlibat menipu pengguna dengan membuat ulasan yang baik-baik mengenai produk pemutih yang kita ketahui akan mem­beri kesan buruk kepada kesi­hatan manusia.

“Jadi, saya menolak. Faktor terbesar adalah kerana saya bangga dengan warna kulit saya dan ia tidak perlu diputihkan dengan apa-apa produk pemutih sekalipun,” katanya.

Sejak berusia sembilan tahun juga, Haneesya meraih peluang berlakon teater berjudul Siti Di Alam Fantasi dan Lat Kampung Boy di Istana Budaya dan selepas itu, dia tidak pernah berhenti daripada dunia seni.

Disahkan menghidap disleksia sejak kecil, seni menjadi jiwa Haneesya memandangkan golongan sepertinya mempunyai kelebihan ke arah itu.

“Saya begitu meminati seni. Berlakon dan modeling menjadi sebati dengan jiwa saya. Ibu saya juga memahami bahawa golongan disleksia seperti saya mempunyai kelebihan dalam bidang ini. Jadi, dia memberi sepenuh harapan dan sokongan untuk saya terus berada di sini,” katanya.

Haneesya yang baru sahaja selesai penggambaran drama bersiri 20 episod bertajuk Cik Reen dan Mr. Ngok Ngek di Astro, berkata, dia kini mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap peluang dalam bidang lakonan dan modeling.

Dia juga akan terus berada dalam radar anak seni berbekalkan semangat dan sokongan ibu dan keluarganya, di samping mahu mengikis pandangan bahawa berkulit gelap itu tiada masa depan.