‘Kehilangan’ Falisha mencetuskan persoalan apakah dia sudah tidak lagi menerima tawaran berlakon setelah bergelar isteri kepada juruterbang, Mohamad Rafiq Mohd Arif?

Menjawab soalan itu, Falisha yang ditemui baru-baru ini berkongsi rutin harian setelah bergelar isteri dan pengalaman pertama menyambut Ramadan dengan suami.

Sebetulnya, dia bukanlah tidak menerima tawaran berlakon atau sengaja menyepikan diri sebaliknya pelakon yang terkenal dengan keramahannya itu sedang hamil enam bulan.

“Hamil 24 minggu buatkan saya nak lebih banyak berada di rumah. Alhamdulillah, kandungan pun sihat dan Insya-Allah saya dijangka bersalin awal Oktober depan. Sebenarnya, saya memang tak ambil tawaran berlakon sejak Disember tahun lalu sampai sekarang.

“Saya masih menerima tawaran seperti pengacaraan dan lakonan tapi mungkin belum masanya untuk saya terima, jadi terpaksalah saya tolak dulu.

“Buat masa ini saya nak fokus pada fasa kehamilan dan tak mahu fikirkan tentang kerja dulu. Lagipun ini juga permintaan suami jadi saya hormat keputusannya,” ujarnya.

Malah Falisha mengakui bukanlah satu kebimbangan bagi dirinya seandainya satu hari nanti tiada undangan daripada produksi apabila dia sudah kembali bersedia berlakon kerana baginya soal rezeki adalah ketentuan Allah.

“Buat masa ini saya memperlahan karier. Dugaan memang ada kerana banyak pula tawaran hadir apabila saya buat keputusan untuk berehat seketika. Saya anggap bukan rezeki tapi Alhamdulillah rezeki nak jadi ibu pula lepas ini.

“Apabila saya rindu nak mengacara atau berlakon kembali, saya bersikap terbuka dan sentiasa positif tentang rezeki dan jika dapat keizinan suami, saya okey saja,” tegasnya.

Suami tak cerewet

Bertuahnya Falisha kerana dikurniakan suami, Mohamad Rafiq yang tidak begitu cerewet dalam soal pemakanan lebih-lebih pada bulan puasa. Selera suami yang sangat sederhana menyebabkan Falisha tidak begitu kalut untuk menyediakan juadah yang luar biasa.

“Suami tak suka makan nasi jadi menu untuk bersahur dan berbuka sangat mudah disediakan.

“Dia suka makanan berasaskan roti dan makan dengan lauk-pauk serta buah-buahan. Kalau datang mood dia nak makan nasi, dia akan makan tapi jaranglah nak nampak.

“Macam saya, memang tak boleh kalau tak ada nasi. Alhamdulillah, suami pun tak terlalu memilih dan tak susah pun nak siapkan makanan kegemarannya,” ulasnya.

Selepas bergelar isteri, Falisha dapat merasakan dia mengalami perbezaan yang amat ketara dalam kehidupannya kerana sewaktu masih bujang, dia merupakan seorang yang lasak dan aktif.

“Waktu belum kahwin saya seorang yang ringkas dan banyak fikirkan tentang diri sendiri berbanding orang lain tapi selepas ada tanggungjawab, perasaan itu jadi lain sedikit dan lebih bermakna. Sekarang kena lebihkan kelengkapan suami dan sediakan keperluan dia.

“Nak buat apa pun kena dahulukan suami dan perlu tanya pendapat dia.

“Alhamdulillah, saya bahagia dengan mahligai yang dibina walaupun suami sibuk dengan jadual penerbangan tapi kami tetap luangkan masa bersama,” jelasnya teruja.

Ramadan pertama sebagai isteri

Pertama kali menyambut bulan Ramadan dengan suami dan keluarga mentua, pelakon filem Mat Moto itu mengakui, dia cukup teruja kerana dapat menyambut bulan penuh kemuliaan itu bersama-sama keluarga baharu.

Walaupun tidak pulang ke kampung halamannya di Kuching, Sarawak, wanita berusia 32 tahun itu merasakan keluarga mentuanya saling tidak ubah seperti keluarga sendiri.

“Saya tak pulang ke kampung tahun ini tapi ibu yang terbang ke Kuala Lumpur untuk bersama-sama sambut puasa di sini.

“Seronok sangat sebab keluarga semakin bertambah dan bila tiba waktu berbuka kami ramai-ramai berbuka bersama,” katanya.

Dalam pada itu, jelas Falisha, dia juga mengambil kesempatan pada Ramadan dengan mengerjakan solat sunat tarawih bersama suami.