Hala tuju Bella Nazari

BELLA NAZARI

SEDEKAD lalu dia pernah hadir dalam industri melalui pertandingan seni. Ketika itu, penyanyi dan pelakon yang mahu dikenali dengan nama Bella Nazari ini masih belum menetapkan hala tujunya dalam seni.

Tambahan pula dengan usia yang baru mencecah 18 tahun ketika itu, dia akhirnya memutuskan untuk menyambung pengajian dan bekerja sebelum kembali meneruskan cita-cita dalam bidang nyanyian.

“Tak mudah bergelar penyanyi apatah lagi mahu mengembangkan bakat seperti yang dilakukan oleh kebanyakan orang baharu ketika itu.

“Lantas membuatkan saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian dan meneruskan pekerjaan di sebuah syarikat swasta.

"Tapi hati saya tetap minat terhadap bidang seni dan mahu meneruskan impian itu. Sekarang saya nekad untuk meneruskan cita-cita ini.

"Tak kisahlah orang nak kata terlambat atau apa, yang penting saya tahu yang perlu dilakukan,” kata Bella.

Ketika awal penglibatan gadis yang berasal dari Perlis ini, Bella memberanikan diri menyertai pertandingan Mentor. Dia yang menjadi protege kepada Noraniza Idris bagaimanapun tidak berjaya menempatkan diri ke peringkat akhir program berkenaan.

Dengan kekangan ibu yang mahu dia menyambung pelajaran terlebih dahulu, Bella akhirnya menyambung pengajian dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor dan bekerja selepas itu.

“Ibu kurang berkenan dengan cita-cita saya dalam bidang nyanyian.

“Tapi sekarang situasinya sudah berbeza. Saya ada meminta restunya untuk kembali aktif dalam bidang ini dan Alhamdulillah dia memberikan lampu hijau.

"Itu yang membuatkan saya nekad meninggalkan pekerjaan tetap untuk memberikan tumpuan kepada bidang seni kembali.

“Bagi saya setiap yang dilakukan, restu ibu perlu ada. Saya sendiri tidak mengharapkan lebih, cukuplah sekadar restu daripadanya. Selebihnya saya berusaha sendiri,” kata Bella.

Mengimbas kembali yang pernah terjadi, cerita Bella, dia pernah mengadakan beberapa perbincangan dengan syarikat rakaman untuk proses rakaman single pertama selepas tamat Mentor.

Namun dek kerana tidak mendapat restu ibu, semuanya tidak berjaya dilaksanakan.

Ada sahaja perkara yang menghalangnya daripada terus merakamkan lagu.

​TERUJA

Gembira apabila berjaya melunaskan niat yang sudah sedekad disimpan di lubuk jiwanya, Bella kini tampil dengan lagu Infiniti sandaran untuk kembali bergiat dalam nyanyian.

Bagi Bella atau nama sebenarnya Mas Nabiella Nazari, lagu ciptaan Omar K dan Ezra Kong itu kena dengan jiwanya dan mengikut peredaran semasa.

“Bukan mudah mahu mencari lagu sesuai dengan kehendak saya namun saya menemuinya. Saya anggap ini merupakan petanda positif untuk saya.

“Buat masa ini saya sudah menghantar lagu tersebut ke kebanyakan stesen radio dan masih menunggu untuk diputarkan,” kata Bella teruja.

Tidak betah duduk diam, Bella juga berjinak-jinak dalam bidang lakonan. Meskipun masih terlalu baru, dia menganggap pengalaman berada di set pengga,baran begitu mengujakan.

Ketika ini wajah Bella boleh dilihat menerusi drama bersiri Duda Terlajak Laris membawakan watak Idayu.

“Dalam bidang lakonan saya perlu cepat belajar agar tidak ketinggalan jauh di belakang.

"Sebab itu saya cuba sedaya upaya untuk melihat dan memerhati yang terjadi di set lakonan sebagai rujukan.

“Jika tidak, kebiasaannya saya akan mencari teknik lakonan yang betul melalui YouTube sebagai rujukan.

"Kalau orang lain mengikuti kelas lakonan dan sebagainya, saya pula hanya berbekalkan minat. Mahu tidak mahu perlu berusaha lebih,” kata Bella yang pernah berlakon dalam drama Hati Perempuan dan Tabir Zulaikha sebelum ini.

Selain itu, anak kedua daripada tiga beradik ini juga sedang sibuk menguruskan bisnes jus buah-buahan di bawah jenama Frunity di Kuala Lumpur.

Foto NOORADZRENE MOHD NOOR
Aksesori @hawaghazzalicollections, Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur (03-40510225)

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati