Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Haiza naik pangkat

- 2

GEMBIRA semakin diterima, itu antara pengakuan yang dibuat oleh Haiza tatkala melihatkan perjalanan dirinya yang semakin memuncak naik sejak akhir-akhir ini. Jika satu masa dahulu dia hanya dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu dangdut, kini dia diberikan kepercayaan mengendalikan acara besar berstatus perdana.

Bagai seorang pekerja yang dinaikkan pangkat, mungkin itulah gambaran yang sesuai untuk menggambarkan perjalanan seninya yang dilihat semakin diterima ramai.

Bagi Haiza, perkara berkenaan sama sekali tidak pernah membuatkan dia bangga diri jauh sekali mahu bermegah sebaliknya perkara tersebut perlu disulam dengan kerja keras untuk lebih berjaya di masa hadapan.

“Dalam apa juga kerjaya, semua orang mahukan peningkatan dari satu tahap ke tahap yang lain. Sama juga dengan saya yang selalu mengimpikan untuk melangkah setapak ke hadapan sejak dahulu.

“Apa yang saya lakukan adalah berusaha untuk itu dan Alhamdulillah nampaknya semakin ramai yang memberikan kepercayaan dan meletakkan keyakinan kepada hasil kerja saya,” katanya berterus terang.

Bagi penyanyi yang popular dengan lagu Dag Dig Dug ini, pastinya sudah merasai sendiri pengalaman puluhan tahun dalam industri seni tanah air. Jika satu ketika dahulu dia pernah melalui zaman suram, pastinya perkara berkenaan memberikan pelajaran berguna buatnya.

Mengakui namanya naik mendadak sejak menyertai pertandingan Gegar Vaganza musim kedua, pastinya populariti yang dimiliki olehnya ketika itu membuka rezeki yang lebih luas termasuklah ditawarkan menjadi penyampai di stesen radio Kool FM.

“Dalam apa sahaja pekerjaan perlu ikhlas dan perkara itu yang saya amalkan sejak dahulu lagi. Orang tak tahu saya bekerja keras untuk ‘periuk nasi’ keluarga sejak dahulu. Semua pekerjaan saya cuba termasuklah menyanyi dan mengacara.

“Saya sendiri tidak pernah mengejar kontroversi semata-mata untuk menaikkan nama. Jadi apa yang berlaku sepanjang bergelar artis hanyalah usaha dan kerja keras sahaja dan hasilnya baru dinikmati hari ini,”


Serasi

BERGANDINGAN dengan AG menerusi slot pagi di Kool FM merupakan peluang yang besar buat dirinya. Menganggap gandingan mereka semakin serasi dari sehari ke sehari, pastinya Haiza perlu bekerja keras untuk dilihat setara dengan penyampai berpengalaman tersebut.

Tambah ibu kepada seorang cahaya mata ini lagi, meskipun pada awalnya berasa kekok dan gementar jika ada yang membandingkan dirinya dengan gandingan terdahulu AG, namun perkara tersebut tidak berlaku.

“Sudah dua bulan kami bergandingan dan nampaknya keserasian itu semakin dirasai antara kami. Saya tahu AG merupakan penyampai yang berpengalaman dan pastinya dia juga banyak menurunkan ilmu berguna buat saya.

“Setiap hari saya belajar banyak benda baharu. Walaupun ada kalanya saya dibuli oleh mereka, tapi itu perkara biasa untuk orang baharu seperti saya. Tak mengapalah, asalkan masing-masing dapat mewujudkan suasana kerja yang harmoni pun sudah cukup baik,” jelasnya lagi.

Pun begitu Haiza tidak menafikan yang dia gembira dengan penerimaan peminat terhadap stesen radio Kool FM sejak dilancarkan awal Mac yang lalu.

Melalui pengamatan dan maklum balas yang diterima daripada peminatnya, perkara berkenaan benar-benar membuatkan dia bertambah semangat untuk memberikan yang terbaik kepada stesen yang baharu beroperasi itu.

Dalam pada itu, Haiza tidak menganggap kesibukan tugas di konti membuatkan dia melupakan terus bidang nyanyian. Terbaharu, dia baru sahaja merakamkan lagu baharu berjudul Tentang Cinta yang dicipta oleh Asfan.

Ketika ditanya adakah dia sudah bersedia bermain dengan ‘politik’ stesen radio lain sekiranya lagu tersebut tidak diputarkan oleh radio pesaing, Haiza sedia maklum tentang perkara berkenaan.

“Saya tahu kebanyakan penyampai radio yang menyanyi pasti mengalami masalah yang sama. Sebab itu awal-awal lagi saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan dan tahu laluannya sedikit sukar berbanding dahulu.

“Sepatutnya isu begini tidak timbul tetapi saya tetap menghormati polisi setiap stesen sama ada mahu memutarkan lagu itu atau tidak,” katanya lagi.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan