Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Hafiz Suip kerja keras demi anak

SAMA seperti bakal bapa lain, Hafiz Suip tidak menolak rasa teruja apabila mengetahui isterinya sedang mengandung zuriat pertama.

Hafiz Suip

Berkongsi kisah kehamilan isterinya baru-baru ini, jelas Hafiz, ketika ini kandungan isterinya baru sahaja empat bulan. Menjangkakan isterinya bakal melahirkan anak sulung mereka pada penghujung tahun ini, Hafiz berkata, kehadiran ahli baharu dalam keluarganya itu tidak sekadar membawa khabar gembira memandangkan tanggungjawab sebagai ayah itu lebih berat.

“Memang satu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata dengan rezeki ini malah boleh mengundang air mata kalau mahu bercakap mengenainya. Memang saya bersyukur apabila isteri mengandung.

“Alhamdulillah semuanya baik. Soal alahan memang isteri tidak alaminya cuma pada awalnya itu dia ada muntah-muntah, mujur tidak lama,” katanya gembira.

Sukar mahu digambarkan perasaannya ketika ini, namun bagi Hafiz bakal bergelar ayah memberikannya satu tanggungjawab baharu sebagai ketua keluarga. Dalam keadaan sekarang dia yakin kerja keras adalah jawapan untuk kehidupan yang lebih terjamin.

“Seronok-seronok juga tapi sebagai lelaki yang sudah bergelar suami dan bakal bergelar ayah, saya perlu kerja kuat. Memang itu sahaja yang menjadi fokus saya kini. Mahu kerja lebih kuat daripada sebelum ini.

“Dalam keadaan sekarang saya juga perlu membahagikan masa untuk keluarga dan kerja. Mujur isteri memahami jadual kerja saya,” katanya.

Jika bakal ibu bapa lain tidak sabar untuk mengetahui jantina anak mereka, lain pula dengan Hafiz dan isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah yang lebih selesa sekiranya jantina bayi mereka terus menjadi rahsia sehingga dilahirkan.

“Saya memang tidak mahu tahu jantina anak saya, kalau boleh biarlah rahsia sehingga dia dilahirkan nanti. Sebab itu kami tidak beli sebarang kelengkapan bayi lagi. Kalau beli pun bila usia kandungan sudah masuk tujuh bulan, itupun beli yang penting sahaja dahulu.

“Tidak kisah lelaki atau perempuan kami akan menerimanya dengan gembira. Yang penting saya tahu keadaan fizikalnya lengkap dan sihat. Itu sahaja yang penting buat kami suami isteri,” katanya.

Tidak melihat perlu dia merahsiakan bayinya daripada peminat, Hafiz, 27, berjanji laman sosial miliknya akan menjadi medan buat dia berkongsi kisah kelahiran anaknya kelak.

“Soal tunjuk anak saya tidak ada masalah. Bagi saya apa salahnya untuk kita berkongsi kisah gembira dengan khalayak dan peminat. Bagaimanapun untuk buat Instagram sendiri untuk anak yang bakal lahir ini saya tidak fikirkan lagi,” katanya.

Bruno Mars Malaysia 

Hampir dua tahun sepi tanpa single baharu, kini dia muncul dengan lagu Kejar. Menjelaskan sebab kehilangannya, kata Hafiz, dunia nyanyian sebenarnya tidak pernah jauh daripada dirinya.

“Bukan hilangkan diri tetapi saya akui selepas berkahwin memang fokus saya kepada kehidupan peribadi saya terlebih dahulu. Tambahan pula saya masih perlu membuat rawatan untuk tulang belakang saya yang sehingga kini masih belum sembuh sepenuhnya.

“Alhamdulillah tidak lama lagi peminat boleh dengar single terkini daripada saya berjudul Kejar,” katanya.

Mendengar muzik yang dibawakan dalam single baharunya itu, tidak dinafikan ada unsur yang cukup dekat dengan muzik pilihan penyanyi antarabangsa, Bruno Mars.

Mengakui perkara itu, kata Hafiz, ini adalah permulaan untuk dia menguji tahap kebolehan suaranya.

“Memang orang kenal saya melalui lagu-lagu balada tetapi kali ini saya bawa sesuatu yang berbeza. Muzik funk yang akan peminat dengar melalui lagu Kejar ini diharap menepati cita rasa semua. Ini masanya untuk saya buktikan yang Hafiz Suip tidak sekadar mampu bawa lagu balada sahaja,” katanya.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan