Anak kelahiran Sitiawan, Perak ini juga tidak pernah menjadikan dirinya yang tinggal jauh dari bandar sebagai alasan untuk tidak menyerlah dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Malah Hafiz membuktikan dirinya seorang yang aktif dengan menyertai semua pertandingan anjuran pihak sekolah.

Sehinggakan dia umpama ‘muka’ utama yang kerap kali menjadi perhatian warga sekolah apabila bergelar juara pada setiap pertandingan yang disertainya.

“Kalau ada pertandingan bahas, syarahan, deklamasi puisi dalam bahasa Melayu dan Inggeris di sekolah, saya awal-awal lagi angkat tangan untuk menyertainya.

“Itu belum lagi penyertaan secara berkumpulan seperti pertandingan koir, nasyid dan kebudayaan, saya antara peserta terawal yang menghantar nama ke guru kelas.

“Sehinggakan pada satu ketika, dek terlalu banyak penyertaan dan menjadi johan, saya menjadi orang yang acapkali menaiki pentas untuk menerima hadiah.

“Itu belum lagi naik ke pentas untuk menerima hadiah pelajar terbaik dalam subjek-subjek tertentu,” kata bekas murid Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan ini mengimbas kenangan zaman kanak-kanaknya.

Meskipun aktif dalam setiap pertandingan, Hafiz bijak membahagikan masa kerana tidak mahu tertinggal dalam pelajaran.

Sebagai anak cikgu yang turut mengajar di sekolah yang sama sudah pastilah Hafiz mahu membuktikan dirinya dengan mempamerkan keputusan akademi yang cemerlang kepada ibu, Laila Sarji, 62.

Untuk itu, menurut Hafiz, dia pasti berada di sekolah selepas tamat kelas untuk menelaah pelajaran.

Lagipun hanya pada waktu itu saja dia berpeluang untuk mengulang kaji pelajaran atau membuat tugasan yang diberikan cikgu.

Paling penting, dia menyiapkan nota ringkas bagi memudahkan ingatannya untuk subjek-subjek tertentu supaya difahami.

“Saya memang jenis yang tak boleh duduk diam masa di sekolah. Keaktifan saya itu membuatkan saya dilantik sebagai pengawas sekolah dan ketua dalam persatuan-persatuan tertentu.

“Kehidupan serba aktif di sekolah rendah itu membuatkan saya terbawa-bawa sikap itu ketika menjejakkan kaki ke sekolah menengah.

“Masa itu memang tiada istilah malu. Saya juga semakin menunjukkan taring sama ada dalam berpersatuan dan penyertaan dalam pertandingan yang dianjurkan di sekolah.

“Yang buat lagi seronok apabila kerap mendapat hadiah kemenangan,” kata bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kulim, Kedah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perak, Teluk Intan ini.

Situasi yang sama itu juga menyebabkan Hafiz semakin matang dalam merancang perjalanan kehidupan selari dengan keinginannya pada waktu itu.

Bercita-cita menjadi pengamal undang-undang Syariah, Hafiz tidak pernah berlengah-lengah untuk melengkapkan diri bagi merealisasikan impiannya itu.

Demi mengejar cita-citanya yang satu itu juga, Hafiz sanggup merayu kepada bapanya, Hamidun Mat Rasul, 64, agar membenarkan dia berpindah dari MRSM Kulim ke SMK Seri Perak ketika di tingkatan empat.

Ini kerana pada waktu itu tiada aliran agama Islam termasuk subjek Bahasa Arab ditawarkan di MRSM Kulim berbanding di SMK Seri Perak.

“Saya memang suka berpidato di sekolah. Malah pada waktu itu, saya merancang untuk menjadi peguam Syariah apabila sudah dewasa.

“Sebab itu saya perlukan pengajian agama Islam untuk melengkapkan syarat untuk menjadi peguam Syariah. Saya nak masuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Jadi selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya mengikuti matrikulasi undang-undang di kampus UIAM yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.

“Selepas tamat matrikulasi, ada pula cerita lain berlaku,” katanya yang pernah bekerja sebagai pembantu jualan di pusat membeli-belah selepas SPM.

Jadi penyanyi

JADUAL aktiviti seni yang padat selepas menyertai kumpulan nasyid UNIC ketika berada di kampus UIAM menyebabkan Hafiz terpaksa memadamkan impian untuk menjadi peguam Syariah.

Ini kerana pada waktu itu, fokus utamanya tiba-tiba cenderung dalam bidang seni selepas melihat banyak peluang untuk maju dalam bidang tersebut.

Biarpun keadaan itu agak mengejutkan orang tuanya yang awal-awal lagi sudah memberi restu kepadanya dalam bidang guaman Syariah namun Hafiz tidak pernah berputus asa.

Sebaliknya Hafiz membuktikan kemampuannya dalam bidang berkenaan benar-benar serius selepas tamat menduduki pengajian muzik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

“Tidak dinafikan saya berdepan dengan dilema lantaran pada waktu itu saya menerima terlalu banyak tawaran menyanyi sewaktu dengan UNIC.

“Saya tahu komitmen untuk menjadi peguam Syariah itu banyak. Kena baca banyak jurnal dan ulang kaji kes yang berkaitan yang memakan masa yang lama.

“Sedangkan saya tak ada masa untuk itu. Selepas berfikir semasak-masaknya, saya lepaskan bidang tersebut . Saya juga perlu merancang masa depan yang lain ketika tidak lagi dengan UNIC.

“Kena fikir sesuatu yang lebih bermanfaat,” kata Hafiz yang kemudiannya menubuhkan syarikat produksi sendiri, Artifacts Production pada 2006 sebelum mengembangkan perniagaannya kepada Arteffects International lima tahun kemudian.

Sepanjang tempoh bergerak solo juga, Hafiz mencuba nasib dengan merakamkan album sulungnya berjudul Hafiz Hamidun pada 2007.

Berkonsepkan pop nasyid, Hafiz bersyukur kerana pada waktu itu peminat industri hiburan memberi perhatian kepada genre lagu sebegitu.

Populariti Hafiz semakin memuncak apabila memperkenalkan album ketiga berjudul Zikir Terapi Diri yang mendapat tempat dalam kalangan peminat.

Hafiz juga membuktikan kemampuannya untuk bersaing dalam bidang perniagaan apabila turut menguruskan penyanyi luar negara termasuk Sami Yusof dari Iran, Opick dan kumpulan Meydina yang merupakan gabungan penyanyi berasal dari Indonesia.

Bukan ‘penjual’ agama

MENGULAS tentang dakwaan Hafiz yang dikatakan mengaut keuntungan dengan menjual lagu-lagu berasaskan agama, penyanyi lagu Jodoh Berdua ini ada pendirian tersendiri.

Tegas Hafiz, dia tidak pernah berniat sebegitu kerana sememangnya yang dilakukan adalah sebahagian daripada dakwah untuk mengajak khalayak ke arah kebaikan.

Menafikan seorang yang mementingkan keuntungan, Hafiz menegaskan dia tidak pernah memikirkan perkara yang disifatkan keterlaluan sebegitu.

“Selain menyanyi, saya juga mempunyai perniagaan butik Mikraj Concept yang menjual koleksi jubah lelaki. Maknanya, saya sendiri ada sumber kewangan yang kukuh.

“Akal saya juga masih waras. Jadi apabila timbul dakwaan sebegini, saya terkilan kerana yang bercakap itu seolah-olah tidak faham dengan membuat tuduhan yang tidak berasas.

“Keutamaan saya adalah menerbitkan rasa cinta dan kasih kepada Maha Pencipta dan rasul-rasul-Nya. Lagipun orang kita sudah lama dahagakan lagu-lagu kerohanian sebegini,” tegas Hafiz.

Terkini, Hafiz sedang sibuk menjalani latihan untuk persembahan Malam Khalimah Cinta sempena Maulidur Rasul di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Bermula dari 23 hingga 25 Disember ini, persembahan Hafiz itu bakal menampilkan Opick dalam komposisi muzikal penuh yang diselang seli dengan alunan zikir dan selawat.

Bakal menyanyikan 20 lagu popularnya, persembahan Malam Khalimah Cinta juga diserikan dengan artis undangan termasuk Nazrey Johani dan kumpulan Meydina.

“Malam Khalimah Cinta adalah persembahan kedua saya selepas terlibat dengan Konsert Zikir Terapi pada 2012.

“Sudah pastilah saya teruja untuk melakukan persembahan yang terbaik buat penggemar-penggemar lagu industri nasyid tempatan,” katanya lagi.