Hafeez Mikail

Semuanya tercetus apabila pelakon ini meminta baki bayaran yang sepatutnya diterima melalui drama Cinta Di Langit Cardiff dan Daffodil Lara namun hampa apabila pihak produksi masih lagi menangguhkan pembayaran sehingga membuatkan dia tampil kepada pihak media menjelaskan apa yang berlaku.

Namun begitu, melalui kenyataan yang keluar daripada Ziela beberapa minggu lalu, Hafeez menyanggah beberapa kenyataan yang keluar daripada mulut penerbit itu terutama soal pemilihan dirinya dan isu bising seperti mana yang didakwa.

Mengakui sudah menerima keseluruhan bayaran tertunggak berjumlah RM7,000 selepas isu ini didedahkan, walau bagaimanapun wang tersebut datang daripada pengarah kedua-dua produk berkenaan, Rahila Ali.

“Saya anggap semuanya telah selesai tapi melalui kenyataan yang keluar daripada mulut Ziela, ada yang kurang tepat. Dia kata tidak mengenali saya, itu pun pelik. Tak mengapalah saya mungkin kurang popular berbanding pelakon lain.

“Cuma saya terkilan apabila dia kata saya bising-bising membuat kenyataan di media. Tak mungkin saya buat kenyataan kalau mereka profesional mengendalikan masalah pembayaran ini.

Semuanya telah selesai - Rahila Ali

“SEGALA perselisihan yang berlaku antara pihak Pena Creative dan Hafeez sudah diselesaikan secara baik. Dia sudah mendapat jumlah bayaran seperti mana yang sepatutnya dan kami anggap tiada isu lagi yang harus diperkatakan,” ulas Rahila Ali.

Menganggap apa yang berlaku sebagai perkara biasa bagi mana-mana produksi, tentu sahaja isu kelewatan pembayaran merupakan hal yang sering kali terjadi namun dapat diselesaikan dengan cara baik.

Tambah pengarah berpengalaman ini lagi, isu kelewatan pembayaran seperti itu akan terjadi sekiranya sesebuah produksi menjalankan banyak projek dalam masa yang sama sehingga mengakibatkan hal begini.

“Dalam mana-mana perniagaan pun akan berhadapan dengan isu begini. Yang membezakan bagaimana kita menghadapi situasi itu sahaja dan dengan cara apa. Kalau cepat melatah, bagaimana nak selesaikan dengan baik?

“Tidak ada produksi yang mahu terpalit dengan isu begini. Isu lewat bayar ini sudah diberitahu kepada pelakon terlebih awal dan bukannya dilakukan secara diam-diam. Pelakon sudah tahu mereka akan menerima bayaran lewat daripada biasa.

“Tapi tak mengapa, antara syarikat dan Hafeez sudah menyelesaikan isu ini dengan baik. Tiada apa yang harus diungkit lagi. Tak elok untuk bercerita lagi hal-hal yang sudah lepas, apatah lagi kalau membabitkan soal duit seperti ini,” katanya.

Banyak kali juga saya berhubung dengan Ziela bertanyakan hal ini sehinggalah dia menyekat (block) WhatsApp saya,” dedahnya.

Tidak pernah serik dengan apa yang berlaku, Hafeez menganggap apa yang berlaku sebagai pengajaran besar buat dirinya.

Pun begitu, dia berterima kasih kepada pihak Rahila dan pihak pengurus produksi yang banyak membantu dirinya dalam menghadapi masalah ini yang bermula hampir empat bulan yang lalu.

Mengimbas kembali apa yang telah berlaku, pelakon yang berasal dari Kuala Lumpur ini mengakui sudah mengalami masalah pembayaran sejak memulakan penggambaran Cinta di Langit Cardiff pada sekitar bulan Ogos yang lalu.

Tidak menerima sebarang bayaran daripada pihak tersebut meskipun sudah berlakon hampir tiga minggu, dia hanya menerima bayaran sebelum bertolak ke Cardiff, Wales setelah beberapa kali bertanyakan hal tersebut kepada pihak produksi.

Lebih tiga minggu berada di sana pada di antara bulan September dan Oktober, pihak tersebut berjanji akan melunaskan baki bayaran berjumlah RM7,000 untuk drama dan telefilem dalam jangka masa sebulan.

Namun pembayaran masih belum diterima sehinggalah isu ini digembar-gemburkan dalam media awal bulan ini.

“Banyak kali saya bertanya­kan perkara ini secara baik kepada pihak Ziela, Rahila mahupun pengurus produksi. Tapi jawapan yang diterima sangat menghampakan. Ada yang kata syarikat tak ada duit dan macam-macam alasan lagi.

“Orang mungkin anggap jumlah tersebut kecil namun jumlah itu besar bagi saya. Mereka tahu tak berapa lama pula saya menunggu bayaran tersebut?

Macam-macam yang boleh dilakukan dan tentunya saya mahu melunaskan bayaran bil dan macam-macam hal. Bila meminta hak saya, mereka kata saya bising-bising pula, kenapa begitu?” tambahnya.

Positif

MENGANGGAP apa yang sudah berlaku adalah pelajaran paling berguna buat dirinya, Hafeez menganggap ini bukan bertujuan untuk berbalah mahupun mencari musuh dengan sesiapa. Apa yang dilakukan hanyalah untuk menuntut haknya yang sepatutnya sudah diterima lebih awal.

“Mungkin ada yang beranggapan rezeki saya akan ‘pendek’ bila saya berbalas-balas kenyataan begini. Tapi saya juga mahu memberikan gambaran yang jelas setelah Ziela memberikan kenyataan kurang tepat sebelum ini.

“Harapnya ini adalah kenyataan terakhir saya tentang isu ini dan mengakhiri segala kemelut,” katanya berterus terang.

Ditanya tentang kenyataan penerbit berkenaan yang enggan lagi bekerjasama dengan dirinya pada masa akan datang, Hafeez menganggap perkara tersebut adalah hak mutlak Ziela dalam membuat sebarang keputusan.

Sebagai pelakon, dia tidak menolak sekiranya diberikan peluang pada masa akan datang untuk bekerjasama dengan Pena Creative Sdn. Bhd.

“Rezeki Allah luas dan saya percaya rezeki ada di mana-mana asalkan kita berusaha. Tentunya saya berharap perkara sebegini tidak akan terus berpanjangan asalkan kita sama-sama mengambil iktibar dan pengajaran bersama.

“Apa sekali pun yang terjadi, saya tidak sesal. Saya melakukan segala-galanya sendiri daripada berbincang soal tawaran sehinggalah ke set penggambaran. Saya tiada pengurus dan bila jadi perkara begini tentulah saya juga harus menyelesaikannya,” kata Hafeez yang popular dengan drama Dia Semanis Honey.

Mengulas mengenai perkembangan semasa pula, dia sedang sibuk dengan beberapa produk termasuklah Kesempatan Kedua, Perang Bibir dan Kenyalang Im In Love. Selain itu Hafeez juga sedang menunggu tayangan filem Buskers yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Apa sekali pun yang terjadi, saya tidak sesal. Saya melakukan segala-galanya sendiri daripada berbincang soal tawaran sehinggalah ke set penggambaran. Saya tiada pengurus dan bila jadi perkara begini tentulah saya juga harus menyelesaikannya

Saya anggap semuanya telah selesai tapi melalui kenyataan yang keluar daripada mulut Ziela, ada yang kurang tepat. Dia kata tidak mengenali saya, itu pun pelik. Tak mengapalah saya mungkin kurang popular berbanding pelakon lain.