Sekitar pukul 12 lebih, baharulah wajah Shuib berseri-seri apabila wang pendahuluan sebuah filem seperti yang dijanjikan bertukar tangan. Majlis akad nikah Shuib dan Siti Sarah yang tertera pada tarikh 26 Februari 2011 berlangsung dalam keadaan meriah tanpa seorang pun mengetahui rahsia yang disimpan ketat oleh Shuib.

Demikianlah perjalanan hidup Shuib dan Siti Sarah saat awal mengikat janji sebagai suami isteri. Tidak ada majlis persandingan selepas itu lantaran kekangan kewangan.

Justeru selepas melayari bahtera perkahwinan dan dikurniakan tiga cahaya mata, dengan rezeki yang berlipat ganda murah, barulah Shuib merancang majlis persandingan sebagai hadiah istimewa untuk Siti Sarah.

Majlis persandingan kali pertama pasangan artis ini dibuat serentak dengan ulang tahun perkahwinan mereka yang keenam yang jatuh pada 26 Februari ini di Bora Ombak Marina, Putrajaya.

“Ketika saya mula-mula mencipta nama dalam bidang seni, Sarah menerima saya seadanya dalam keadaan saya tidak ada harta, tiada kereta malah duit pun tidak cukup nak kahwin. Ada juga orang nak kahwin dengan saya kan! Haha…

“Tetapi dia sanggup melalui kesusahan bersama-sama dengan saya dan tidak memandang harta benda sebagai ukuran kebahagiaan.

“Mujur waktu nak berkahwin, bapa mentua saya Raisudin Hamzah sangat baik hati dan tidak berkira soal duit hantaran. Katanya, yang penting majlis akad nikah dapat disempurnakan terlebih dahulu sudah memadai.

“Saya hanya dapat melangsaikan duit hantaran selepas lebih setahun berkahwin. Itu pun nasib baik masih teringat nak bayar. Haha….

“Jadi, selepas enam tahun dengan rezeki yang ada ketika ini, saya hadiahkan sebuah persandingan yang memang saya tahu menjadi idaman Sarah sejak hari pertama kami bergelar suami dan isteri.

“Saya hargai segala pengorbanan dia sepanjang tempoh ini yang sentiasa ada bersama saya dalam keadaan susah dan senang.

“Dan perkara paling terkesan ialah dia menghadiahkan tiga orang anak kepada saya. Itu yang lebih utama,” kata Shuib yang tidak kisah sekiranya bakal dikecam oleh orang ramai kerana bersanding selepas enam tahun menikah.

“Nak kecam pun kecamlah. Mulut orang bukan kita boleh tutup. Bagi saya mudah, apa salahnya menghargai orang rumah saya? Mereka tidak tahu apa yang kami lalui dahulu, berkahwin dalam keadaan duit tidak cukup dan bagaimana berdebarnya saya menunggu duit pendahuluan berlakon.

“Orang tak tahu semua itu dan muka saya yang pucat lesi menunggu duit tiba. Berdebar nak berkahwin satu hal, berdebar tungggu duit nak bayar majlis kahwin pun satu hal juga,” kata Shuib membuka cerita lama.