Gracia yang berkahwin dengan David pada 28 Disember 2014 mengikut agama Katolik ini berkeras menginginkan perpisahan.

Pun begitu mereka berdepan dengan perkara yang rumit apabila agama Katolik tidak memudahkan pasangan itu untuk berpisah setelah disatukan sebagai suami isteri yang sah.

Bercakap tentang perkara tersebut, peguam Gracia mengakui dia akan membawa kes tersebut ke peringkat yang lebih tinggi memandangkan dia sendiri tidak memiliki kelayakan untuk menjawab setiap persoalan yang diutarakan.

“Agama Katolik memang diketahui menentang adanya perceraian.

"Untuk perkara ini saya hanya boleh menunggu keputusan daripada pihak hakim sahaja. Masalah hukum agama bukan di bawah kuasa saya.

“Masalah agama mempunyai aturan cara yang tersendiri dan semuanya sedang dalam proses untuk dibicarakan dalam masa yang terdekat. Doakan sahaja semuanya berjalan dengan lancar sekali, “ ujar Rohman Hidayat selaku peguam Gracia.

Tiada orang ketiga

Tidak mampu diselamatkan. Pasangan yang dulu bahagia terpaksa akur dengan membawa haluan masing-masing. Mereka tidak mampu lagi mempertahankan mahligai yang dibina.

Pun begitu menurut Rohman Hidayat, perpisahan ini bukanlah disebabkan kemunculan pihak ketiga seperti yang digembar gemburkan sebelum ini.

“Gracia menginginkan perceraian setelah tiada jalan penyudah dalam kemelut ini. Gracia telah memfailkan kes ketika bulan Ramadan yang lalu lagi dan dalam masa yang sama turut diketahui oleh David. Hanya baru-baru ini sahaja ia didaftarkan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia tidak dapat memberikan keterangan yang lebih terperinci tentang sebab-sebab yang lain kerana kes masih lagi berjalan. Namun menurutnya masalah perselisihan tersebut sudah pun berlangsung sekitar satu tahun.

“Sudah terlalu lama hampir setahun mereka bergelumang dalam kemelut ini. Dan mungkin ini adalah jalan terbaik untuk penyudahnya.

Dalam masa yang sama, khabar keretakan rumah tangga pasangan selebriti ini turut mengundang rasa terkejut ayah kepada David, Didi Albert Dorfel. Dalam kenyataannya, dia tidak menyangka rumah tangga anaknya itu akan berakhir secepat ini.

“Sesuatu yang bagi saya cukup mengejutkan dan menyedihkan. Tiada orang tua yang ingin melihat anaknya berpisah. Tapi, kalau itu pilihannya anak-anak ya, what can i do?”

Menurutnya, selama ini anaknya yang merupakan penulis lagu popular itu tidak banyak menceritakan masalah rumah tangga kepada orang tuanya.

Bahkan, Didi mengaku hanya mengetahui berita tersebut setelah melihat foto surat cerai yang dilayangkan Gracia Indri terhadap David.