Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli pada sidang akhbar baru-baru ini, pementasan itu ialah sebahagian daripada usaha untuk memastikan kelangsungan kesenian Randai dalam masyarakat moden bagi memastikan warisan negara dipertahankan untuk generasi akan datang.

Ini juga bertujuan meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan apresiasi masyarakat terhadap kesenian klasik yang autentik dan kaya dengan nilai seni dan moral.

Randai ialah kesenian tradisional yang terkenal dalam kalangan masyarakat Minangkabau yang berasal daripada Sumatera Barat telah berkembang ke seluruh pelosok alam Melayu di nusantara. Randai juga merupakan salah satu teater tradisional yang menggabungkan elemen pencak silat, teater, tari, muzik, sastera dan falsafah adat resam yang tinggi nilai artistiknya.

Justeru, kekuatan randai adalah melangkaui sempadan geografi kerana ia berkembang dalam rumpun masyarakat Melayu berketurunan Minangkabau di Malaysia.

Melalui usaha JKKN dengan kerjasama IB, naskhah Randai kini berpeluang dipentaskan di sebuah pentas bertaraf dunia.

Namun begitu, menurut Norliza, pementasan ini masih mengekalkan struktur asal dalam persembahan randai, contohnya seperti gelombang (bulatan), kaba (unsur penceritaan), dendang (lirik lagu / berlagu) dan juga kostum yang melambangkan status sosial mengikut watak di sampeng aspek watak, nyanyian, gerak pencak serta gaya bahasa.

“Walau bagaimanapun gaya bahasa yang dituturkan dalam muzikal ini menggunakan dialek Minangkabau yang lebih mudah difahami khususnya di Malaysia,” katanya baru-baru ini.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani turut menyokong usaha JKKN ini dalam mengisi slot teater tradisional di Istana Budaya sekaligus membantu memartabatkan dan mempopularkan pementasan teater tradisi dalam skala besar.

Usahasama ini akan terus menjadi antara agenda penting dalam usaha kedua-dua jabatan memartabatkan teater tradisi di negara ini.

Muzikal Randai yang berasaskan bahasa dan loghat harian masyarakat Minang ini akan diarahkan oleh Lokman Ghani dari IB.

Dr. Indra Utama berindak sebagai koreografer dibantu oleh empat orang koreografer Kumpulan Kesenian JKKN iaitu Siti Suhailah Taman, Amran Nunet, Zaidi Karim dan Nik Azwadi. Muzikal ini turut mendapat sentuhan artistik daripada Hazize San, dari IB.

Seramai 40 orang artis budaya dan pemuzik akan terlibat dalam pementasan ini yang melibatkan gabungan Kumpulan Kesenian JKKN Negeri Sembilan, Ibu Pejabat dan Wilayah Persekutuan Kuala serta pemuzik tradisional yang terdiri dari gabungan pemuzik Istana Budaya dan Kumpulan Kesenian JKKN.

Sebanyak 15 orang pesilat dari Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia serta Kumpulan Kebudayaan dan Kesenian Kampung Gagu, Jelebu, Negeri Sembilan turut memeriahkan lagi pementasan ini.

Tiket bagi menyaksikan persembahan Randai ini berharga RM25, RM55 dan RM 85 dan boleh didapati dengan melayari www.airasiaredtix.com atau dengan membelinya di kaunter tiket box-office Istana Budaya atau outlet Rock Corner di The Gardens, Mid Valley, KLCC, Subang Parade dan The Curve, serta di outlet Victoria Music di Sungei Wang, Amcorp Mall dan Tropicana.

Pementasan Randai ini merupakan kesinambungan kepada usaha JKKN memartabatkan teater tradisional negara setelah mementaskan teater Mek Mulung di IB yang mendapat sambutan hangat tahun lepas.