Sama seperti insan lain, pelakon Mia Ahmad atau nama sebenarnya Samihah Ahmad Baderi, 29, mahu jalinan yang terpateri itu akan kekal bersama cinta hatinya, Mohd Izham Tarmizi Roslan, 26.

Karektor Izham yang bersifat soft spoken serta kejujurannya untuk membawa Mia ke fasa seterusnya sebagai pasangan suami isteri, membuka hati pelakon jelita itu untuk menjejakkan kaki ke jenjang pelamin.

“Saya nampak pada diri dia ada ciri-ciri tanggungjawab sebagai lelaki yang boleh dijadikan suami. Dia juga jujur apabila mengotakan janji untuk menjadikan saya sebagai isterinya yang sah,” katanya.

Tanggal 13 Januari 2017 pasti akan tersemat indah dalam ingatan Mia dan Izham apabila kedua-duanya disatukan sebagai pasangan hidup dengan sekali lafaz.

Majlis pernikahan yang diadakan di Villa Sentosa, Taiping, Perak itu dihadiri kira-kira 200 ahli keluarga termasuk kenalan rapat.

Memilih pernikahan berkonsepkan taman sentuhan The White Teratak Wedding, Mia sah menjadi milik Izham setelah selamat diijab kabul di hadapan Naib Kadi Masjid Nurul Islam, Aulong, Ustaz Abdul Rashid Azidin.

Kedua-dua mempelai berbalas sembilan dan tujuh dulang hantaran dengan busana pengantin direka khas oleh Lynda Rahim.

Sementara itu, majlis resepsi raja sehari tersebut pula diadakan di Taiping Golf & Country Club dengan kedua-duanya mengenakan persalinan rona merah jambu berkonsepkan tradisional Melayu sentuhan Teuku Putra Aziz dari The Cosry.

“Sewaktu akad nikah, memang rasa gementar kerana apa yang saya tunggu selama ini akhirnya menjadi kenyataan.

“Sebelum ini, saya tidak tahu apa yang akan terjadi tetapi Alhamdulillah segalanya berjalan lancar,” kata Izham.

Jauh di lubuk hati Mia pula bersarang perasaan sama yang sukar dikawal, namun, dia bersyukur selepas disahkan bergelar isteri orang.

Harapannya cuma satu agar mereka saling memahami antara satu sama lain bagi mengharungi bahtera rumah tangga biarpun kedua-duanya bertapak dalam dunia kerjaya berbeza.

“Saya akan masih berlakon dan tidak akan berhenti kerana karier lakonan saya baru hendak bermula sebelum saya mengenali Izham.

“Jadi, apabila sudah berkahwin, ia takkan menjadi halangan. Cuma di awal perkahwinan ini, saya akan perlahankan sedikit lakonan kerana ingin menghabiskan banyak masa bersama dengan Izham di Johor Bahru,” katanya.

Bagi Izham pula, dia tidak sesekali akan menghalang Mia untuk meneruskan kerjaya lakonannya kerana percaya isterinya itu tahu membawa haluan diri dalam industri seni.

“Dia sendiri tahu apa tawaran watak dan cerita yang akan diambil serta tahu apa kerja yang akan dilakukannya. Jadi, bagi saya tiada masalah kerana masing-masing sudah profesional,” katanya.

Berbicara soal anak dan berbulan madu, pasangan itu mengakui belum merancang apa-apa berikutan komitmen Izham untuk bersama pasukan (JDT) bagi meraih kejuaraan dalam Liga Super, Piala FA, Piala Sumbangsih serta layak untuk Kejohanan Piala AFC.

Namun, kata Izham, sekiranya ada cuti dan kelapangan, kemungkinan mereka berdua akan mengerjakan umrah sebagai pasangan suami isteri pada tahun ini.

“Kalau ada rezeki, Tuhan bagi berapa sekali pun anak saya tidak kisah. Tidak kira sama ada lelaki atau perempuan kerana kita hanya merancang. Lambat atau cepat itu ketentuan-Nya,” katanya.

Yang pasti, pasangan ini gemar untuk melakukan aktiviti makan bersama kerana kedua-duanya menggilai makanan laut.

Cuma perbezaan antara kami ialah saya gemar menonton filem tetapi Izham suka melayan drama termasuk lagu-lagu Melayu yang terlampau mendayu-dayu,” kata Mia sambil ketawa.