Masih terngiang-ngiang lunak suara Krisdayanti mengalunkan lagu-lagunya pada Konsert Romansa Krisdayanti. Namun kali ini irama pop yeh yeh mengambil alih menceriakan hati.

Konsert Gegar Pop Yeh Yeh yang berlangsung tiga hari bermula 3 Mac lepas ternyata mengembalikan era muzik 60-an yang mungkin pada pandangan orang cukup sinonim bagi warga emas sahaja.

Ya, tidak dinafikan mungkin 60 peratus penonton yang hadir selayaknya digelar mak dan ayah kita. Tetapi mata ini tertancap melihat anak-anak muda yang turut hadir memeriahkan konsert.

Memulakan konsert dengan dua lagu popularnya, Mencari Sinar Bahagia dan Suratku Untukmu, J. Sham tampil dengan gaya tersendiri. Tanpa perlu bersusah-payah, suara penyanyi emas ini cukup hebat.

Meneruskan konsert, Datuk L. Ramli mengambil alih pentas. Menampilkan gaya tarian yang benar-benar unik, Panggung Sari Istana Budaya meriah dengan sorakan dan tepukan penonton.

Menyanyikan lagu kegilaan ramai, Ayahku Kahwin Lagi dan Dara Pujaan, bukan sahaja bahu penonton menari mengikut irama tetapi ada juga yang berdiri bergelek sakan mendengarkan lagu itu.

Itulah keunikan muzik pop yeh yeh. Iramanya cukup dekat di hati, mungkin kerana kita membesar mendengar lagu-lagu malar segar itu. Biarpun datang yang baharu namun yang lama tetap mencuri hati.

Tidak cukup hanya itu, Raja Pop Yeh Yeh, Datuk A. Rahman Hassan tampil menyanyikan lagu Perpaduan Hidup dan Hanya Padamu. Pastinya, pentas Istana Budaya bergema dengan sorakan peminat.

Malah persembahan A. Rahman juga turut diiringi tarian penonton yang bangun memberi tanda hormat kepada penyanyi hebat ini. Bersahaja tetapi dinamik, itulah keunikan insan seni seorang ini.

Maria Bachok kemudiannya tampil dengan lagu Alam Seni dan Harapan Baharu. Suara penyanyi ini tidak perlu dipertikai, cukup lunak sama seperti zaman mudanya!

AURA TERSENDIRI

Pastinya kemunculan Aiman Tino cukup dinanti-nantikan. Bayangkan, anak muda berusia 20 tahun itu menyanyi lagu pop yeh yeh? Memang sesuatu yang berbaloi untuk ditunggu.

Tampil menyanyikan dua buah lagu, Peracun Kalbu dan Dendang Remaja, Aiman mendapat tepukan yang cukup gemuruh daripada penonton kerana suara penyanyi muda itu cukup kena dengan lagu-lagu tersebut.

Menari sambil menyanyi, Aiman sempat berseloroh betapa Allahyarham datuknya cukup meminati lagu-lagu pop yeh yeh. Malah dia dibesarkan dengan lagu-lagu malar segar itu.

Mengambil alih pentas, A. Rozaini menyanyi dua buah lagu, Kenangan Mengusik Jiwa dan Fatimah Pujaanku. Bersahaja namun suaranya memang hebat. Biarpun masih muda, jiwanya tetap pop yeh yeh.

Meneruskan konsert, Datuk Jeffrydin menyanyikan lagu popularnya, Kenanganku dan Mas Mona. Mulut penonton terkumat-kumit ikut menyanyi lirik lagu-lagu yang cukup popular itu.

Malah penampilan Amira Othman dengan lagu I will Follow Him dan Syurga Idaman juga mengundang sorakan gemuruh penonton. Penyanyi muda ini ternyata ada aura tersendiri.

Malah uniknya konsert ini, penyanyi-penyanyi muda ini diberi peluang untuk berduet dengan ‘otai-otai’ industri muzik tempatan. Paling menarik, Jeffrydin berduet dengan Aiman menerusi lagu Ku Rela Dibenci.

Tidak cukup kata-kata rasanya untuk kita terus ‘membedah’ konsert yang berlangsung hampir tiga jam ini. Cukup hebat dan berjaya! Itu kesimpulan ikhlas yang dapat disuratkan.

Tahniah kepada seluruh kru produksi termasuk penerbit dan penganjur konsert ini. Bukan mudah namun dengan kerjasama Istana Budaya konsert ini berada dalam kelas tersendiri!