Pentas berprestij, Istana Budaya menjadi saksi bagaimana lapan penyanyi ini bersaing dalam medium yang sihat atas tujuan yang sama. Persaingan terbaik ini mengekalkan mereka dalam prestij yang tersendiri pada mata peminat dan pengagum.

Tanpa perlu pentas bersuluh gilang-gemilang, malah tanpa pancaran laser mahupun penari penuh pentas, persembahan lebih dua jam ini ternyata membawa penonton menyelusuri keindahan suara barisan lapan penyanyi itu.

Adibah Noor yang membuka tirai konsert Malam Nada Biru mendendangkan lagu Hujan ternyata memberi petanda bahawa malam ini, penonton bakal pulang dengan hati yang diisi dengan kepuasan semaksima mungkin.

Tiada apa yang perlu dipersoalkan, kehebatan suara serta lontaran vokal penyanyi yang sudah 17 tahun mendambakan diri dalam lembaran seni dibuktikan dengan persembahan yang benar-benar membuka mata untuk mengakui hebatnya penyanyi ini.

Membawakan lagu kedua, Caught In The Rapture, penonton dibawa berlayar membelah ombak keindahan lagu tersebut biarpun persembahannya hanya bertemankan lampu pentas yang seringkas mungkin.

Namun, kehebatan Malam Nada Biru tidak terhenti di situ, Atilia yang tampil membawakan lagu Old Love dan Aku Curiga ternyata memberi tamparan hebat kepada mereka yang meragui kemampuan penyanyi kecil molek ini.

Sorakan kuat selepas berakhirnya persembahan ternyata mengundang senyuman kepuasan kepada penyanyi yang juga merupakan produser atau ‘taukeh’ kepada konsert yang berlangsung selama dua malam berturut-turut ini.

Malah, tepukan lebih gemuruh menguasai setiap penjuru Istana Budaya apabila Atilia berduet dengan ibunya, Salamiah Hassan menerusi lagu Superstar yang disifatkan begitu peribadi kepada kedua beranak itu.

Meneruskan konsert, suara emas Salamiah terus berkumandang melalui dendangan lagu Boleh Dilihat Dipegang Jangan dengan rentak jazz yang cukup mengasyikkan telinga mereka yang mendengar.

Lagu kedua nyanyian Salamiah, A Song For You mengundang genangan air mata penonton yang benar-benar menghayati tiap bait lirik lagu tersebut sehingga ramai yang terpaku diam tanpa bersuara.

Pentas bertaraf dunia itu terus bergema dengan tepukan dan suara gemuruh penonton yang teruja apabila penyanyi bersuara emas, Datin Paduka Julie Sudiro muncul membawa aura dan karisma yang memukau.

Membawakan lagu Smoke Gets In Your Eyes dan Shadow Of Your Smile, keletah serta suaranya di atas pentas ternyata mengubat rindu peminat yang sudah lama menantikan peluang untuk menyaksikan penyanyi hebat ini beraksi di atas pentas.

Apa lagi yang mahu dibicarakan, kehebatan konsert diteruskan dengan kemunculan Najwa Mahiaddin yang mendendangkan lagu Ocean dan Jealousy dengan percikan vokal cukup mengagumkan daripada anak muda itu.

Tampil indah dengan busana menawan, Najwa berjaya membuktikan impiannya untuk bergelar penyanyi bertaraf dunia bukan sekadar cakap-cakap kosong kerana suara dan vokalnya bukan calang-calang hebatnya.

Seakan tiada noktah mulut berbicara hebatnya konsert ini, persembahan diteruskan dengan Jaclyn Victor yang membawakan lagu Moody’s Mood For Love dan Summer Time serta Masquerade.

Mungkin tidak perlu diceritakan kemampuan Jaclyn membawakan auranya di atas pentas kerana setiap daripada kita sudah cukup masak dengan kenyataan ibu kepada seorang cahaya mata ini tidak pernah menghampakan peminatnya.

Mendendangkan lagu How Come You Don’t Call Me bersama Dina Nadzir, pentas Istana Budaya sekali lagi bergema dengan paduan vokal yang disifatkan rata-rata penonton antara persembahan terbaik dekad ini.

Selepas 12 tahun, kedua-dua bekas peserta Malaysian Idol ini sekali lagi bergabung tenaga menampilkan persembahan yang tidak terbayang dan mampu digambarkan dengan hanya lontaran kata-kata.

Dina, mungkin tidak sepopular penyanyi lain namun, kehebatannya membawakan lagu One Last Cry dan Kau ternyata memberi tamparan hebat kepada semua penyanyi baharu yang sekadar menyanyi di hujung tekak sahaja.

Melengkapi keterujaan konsert Malam Nada Biru, Datuk Yusni Hamid tampil dengan lagu Mahligai Kayangan dan Cheek To Cheek yang dinyanyikan secara jazz yang merupakan ‘mainan’ penyanyi diraja ini.

Mungkin ramai yang mengenali penyanyi bersuara emas ini dengan lagu-lagu keroncong namun percayalah, Datuk Yusni Hamid ternyata berada dalam kelas yang tersendiri dan memberi persembahan penutup dengan cukup berjaya.

Mengakhiri Malam Nada Biru, kelapan-lapan penyanyi tampil mempersembahkan lagu Bintang Malam dan Pak Ketipak Ketipung dengan begitu meriah sehingga penonton turut sama berdiri menari mengikut alunan lagu dendangan mereka.

Usai konsert itu, hanya senyuman penuh puas terukir di setiap bibir penonton dan riak wajah mereka yang keluar dari Panggung Sari Istana Budaya cukup menggambarkan indahnya Malam Nada Biru ini.

Tahniah kepada Atilia kerana biarpun tanpa sebarang penaja, konsert ini berjaya membuktikan masih ada peminat muzik yang sanggup membayar ‘harga’ untuk mendengar keindahan alunan melodi muzik.

Benarlah kata penyanyi ini, konsert ini hanya untuk mereka yang tahu menghargai muzik. Bukan populariti mahupun penghargaan yang diimpikan, cukup cuma mereka dapat mendengar keindahan muzik persembahan anak tempatan.-Gambar MOHD. NAIM AZIZ/EHSAN ATILIA