Berlainan dengan kebanyakan filem yang pernah dihasilkan oleh industri sebelum ini, tentunya Desolasi berjaya menarik minat khayalak yang begitu teruja menyaksikan Kuala Lumpur yang kosong serta lain-lain garapan yang dibuat pengarahnya, Syafiq Yusof.

Mengadun beberapa elemen yang bersesuaian dengan tema filem ini, tentu sahaja buah tangan ke-35 Skop Production Sdn. Bhd. ini bakal memberikan dimensi baharu kepada dunia sinema tanah air.

Syafiq sekali lagi mengambil inisiatif menghasilkan sebuah karya genre psycho thriller tapi penuh dengan perisian yang lebih berteknologi tinggi dalam penggunaan kesan khas visual.

“Sebenarnya filem ini sudah dua tahun berlalu. Memang banyak masa dihabiskan untuk proses CGI (imej janaan komputer) yang mengambil masa yang panjang. Tidak mudah untuk menghilangkan subjek yang tidak dikehendaki sehingga membuatkan Kuala Lumpur menjadi kosong.

“Cabaran inilah yang membuatkan saya yakin Desolasi mempunyai keistimewaan dan ditambah dengan jalan cerita yang baik. Tentu sahaja banyak pembaharuan yang saya lakukan berbanding dengan beberapa filem lain arahan saya sebelum ini,” kata Syafiq.

Mempertaruhkan Syamsul Yusof, Bella Daly, Pekin Ibrahim, Datuk Jalaludin Hassan dan Aida Khalida, Desolasi berjalan menerusi watak Aiman yang mencari jawapan terhadap persoalan hidupnya.

Aiman yang merupakan seorang pelukis melalui pelbagai ujian dan dugaan dalam kehidupan sehariannya sehingga membuatkan dirinya hilang arah.

Dirinya ditimpa masalah demi masalah sehingga berlaku pertengkaran besar antara dia dan ayahnya. Pada satu pagi, Aiman mendapati dirinya keseorangan di dalam dunia tanpa manusia lain.

Aiman terkejut dengan kejadian tersebut dan mula mencari jawapan dalam persoalan yang di berikan kepadanya.

Ini adalah filem keempat lakonan Syamsul di bawah arahan adiknya itu selepas Sam

(2012), Abang Long Fadil (2014) dan Mat Moto (2016).

Dengan tenaga produksi seramai 25, tentu sahaja kepakaran mereka ditagih bagi memberikan CGI yang baik kepada filem ini.

“Jangan bandingkan CGI filem ini dengan filem Hollywood! Mereka mempunyai bajet yang tinggi dan sanggup melabur puluhan juta ringgit untuk itu.

"Kita pula bergerak sebaik mungkin dengan bajet yang sudah diperuntukkan.

“Apa-apa pun saya gembira dengan hasil mereka. Ini menandakan yang filem tempatan juga mampu melakukan sesuatu yang baharu dan lari daripada kebiasaan,” katanya.

Menjalani penggambaran selama 55 hari di sekitar Kuala Lumpur dan Cyberjaya, Desolasi menelan belanja hampir RM4 juta.

Puas Hati

BAGI Datuk Yusof Haslam yang juga penerbit Skop Production, tentu sekali dia berpuas hati dengan hasil yang ditunjukkan oleh anak bongsunya ini. Menganggap sentuhan Syafiq berbeza daripada produk terdahulu tentu sahaja membuatkan dia teruja.

“Zaman sudah berubah dan saya kena menerima perkara berkenaan. Saya beri Syafiq kebebasan kepadanya untuk melakukan yang terbaik walaupun ada beberapa perkara yang berlawanan dengan cara kerja saya.

“Dia masih datang meminta pandangan tapi keputusan tetap dibuat sendiri. Tapi apabila sudah melihat keseluruhan cerita, saya tahu ini adalah filem semasa yang disukai ramai,” tambahnya.

Pun begitu Yusof tidak menafikan yang kuasa viral membuatkan filem ini menjadi sebutan. Semuanya bermula apabila mereka memuat naik trailer filem berkenaan lebih sebulan yang lalu dan mendapat perhatian ramai.

Tambah Yusof, ramai yang menyatakan rasa teruja dan tidak sabar ke panggung untuk menonton sementelah tayangannya juga jatuh semasa musim cuti sekolah.

“Dalam berkarya saya tidak boleh menyekat kebebasan mereka. Generasi hari ini mahukan kelainan dan Skop Production juga bersedia mengikut aliran itu.

"Saya berharap Desolasi akan diterima ramai bila ditayangkan nanti,” kata Yusof.