Selain mahu mencari kelainan, pastinya kerjasama ini juga berupaya mengembangkan sektor pemasaran dan memberikan pengalaman berharga kepada semua pelakon dan kru yang terlibat tentang tata cara untuk menghasilkan produksi bermutu menerusi filem My Stupid Boss.

FC yang merupakan produksi terkenal dari Indonesia mengangkat karya anak tempatan hasil tulisan [email protected] yang mengambil latar kejadian yang berlaku di Kuala Lumpur. Pastinya penyatuan karyawan dua negara ini memberikan nilai tambah kepada My Stupid Boss dan mampu menarik perhatian peminat sinema secara keseluruhannya.

Penerbit My Stupid Boss, Frederica pula menyifatkan penyatuan karyawan dua negara ini sebagai pilihan terbaik untuk memberikan manfaat kepada semua.

“Sebagai penggiat filem, sudah pasti menjadi impian setiap syarikat produksi untuk membawa produk mereka merentasi sempadan. Saya melihat industri perfileman Malaysia cukup berkembang pesat terutama ketika seluruh dunia menghadapi masalah sama iaitu kemerosotan jumlah penonton ke pawagam.

“Apatah lagi Malaysia dan Indonesia adalah negara serumpun yang hidup berjiran dan mempunyai cita rasa serta budaya yang sama. Jadi kita bawakan filem yang mampu dinikmati oleh semua penonton,” katanya.

Antara pelakon yang terlibat membintangi My Stupid Boss terdiri daripada Reza Rahadian, Atikah Suhaimie, Bront Palarae, Bunga Citra Lestari, Chew Kinwah, Alex Abbad dan Ronny P Tjandra.

Filem bergenre drama komedi ini juga diarahkan oleh pengarah berpengalaman, Upi Avianto yang menjalani penggambaran di Kuala Lumpur dan Jakarta.

Menariknya, Frederica juga pernah diangkat sebagai Produser Terbaik pada Anugerah Filem Box Office Indonesia (IBOMA) 2016 di Jakarta baru-baru ini turut memberi peluang kepada pelakon negara ini berkongsi pengalaman dalam penerbitan filem ke-19 syarikatnya itu.

“Filem yang menjalani penggambaran selama 25 hari termasuk dua minggu di negara ini mengambil latar seratus peratus lokasi luar di Kuala Lumpur. Sementara itu, penggambaran dalaman pula dilakukan di studio di Jakarta,” katanya yang turut melantik syarikat Skop Production Sdn Bhd sebagai pengedar filem ini di di Malaysia.

Santai

MENJALANI penggambaran sekitar Oktober tahun lalu, My Stupid Boss bakal ditayangkan serentak di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei bermula 19 Mei ini.

Kisah yang memaparkan kehidupan harian masyarakat yang menghabiskan masa di pejabat kerana tuntutan kerja digambarkan secara santai dan bersahaja.

Karya yang diangkat daripada empat siri novel paling laris di republik itu menggunakan judul yang sama berkisar mengenai kehidupan realiti yang dilalui pekerja ketika berhadapan dengan majikannya setiap hari.

Filem itu juga dilihat menjadi percubaan pertama kerjasama produksi FC yang pernah menerbitkan filem pecah panggung di negara seberang seperti Laskar Pelangi, Comic 8 dan Comic 8: Casino Kings.

My Stupid Boss mengisahkan Diana lakonan Bunga Citra Lestari yang harus mengikuti suaminya, (Alex Abbad) berpindah dan bekerja di negera jiran iaitu Malaysia. Diana terpaksa mencari pekerjaan untuk menampung kehidupan mereka dan bekerja di sebuah pejabat yang memiliki pekerja dari pelbagai negara.

Konflik berlaku apabila Diana terpaksa berhadapan dengan majikannya, Bossman yang juga berasal dari Indonesia (Reza Rahadian). Bossman memiliki tingkah laku yang pelik tetapi karektornya melucukan.

Bossman memiliki prinsip yang luar biasa berbeza dengan majikan lain. Ketika di pejabatnya tiada peraturan dan sistem yang jelas dalam pengurusan syarikat membuatkan urusan harian menjadi huru-hara. Bossman mempertahankan prinsip tersendiri iaitu ‘Bossman Always Right’.

Setiap keinginannya harus dituruti para pekerjanya dan di situ Diana mula mengenali rakan setugasnya iaitu Norahsikin lakonan Atikah Suhaimie, Adrian (Bront Palarae), Azhari (Iskandar Zulkarnain) dan Mr.Kho (Kinwah Chew) yang banyak memberi nasihat untuk berhadapan dengan Bossman.