Mungkinlah sebelum ini dia pernah memasang angan-angan untuk menjadi seorang penyanyi dan pemuzik, apalagi logiknya dia merupakan graduan dalam bidang Persembahan Seni dan Teknologi di Britt School, kolej muzik yang turut menyaksikan Leona Lewis dan mendiang Amy Winehouse sebagai antara alumni.

Namun untuk mencapai di kedudukan teratas kini, andai tiada tuah dan tidak punya faktor X, barangkali Adele cuma dianggap sama seperti lambakan penyanyi lain yang dilihat biasa dan hadirnya cuma sekadar memeriahkan industri muzik semata.

Bagaimanapun, wanita kelahiran Tottenham, London, England ini berjaya membuktikan kepada semua bahawa menjadi seorang penyanyi bertubuh gempal bukan satu halangan dan bukan juga kelemahan yang membataskan keinginan asalnya berkongsi muzik yang mudah diterima ramai.

Album berjudul 19 menyaksikan salam pengenalan Adele untuk serius dalam bidang muzik sekitar tahun 2008 dan tidak cuma di United Kingdom (UK), Adele juga mencuri hati peminatnya di Amerika Syarikat (AS) sehingga dia berupaya meraih Anugerah Grammy pertamanya pada tahun 2009 menerusi dua kategori Artis Baru Terbaik dan Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik.

Dilihat sudah membina jenamanya yang tersendiri, Adele bagaimanapun pernah membuat satu kenyataan dalam sebuah temu bual di Barat di mana, dia tidak suka dilihat sebagai satu jenama.

“Ketika saya dilihat berjaya meraih perhatian jutaan peminat, saya kemudiannya dianggap sudah menjadi satu jenama. Kebanyakan mereka gemar menggunakan perkataan itu, jenama.

“Tahukah anda saya sebenarnya tidak begitu gemar kerana mendengarnya sahaja seakan memperlihatkan saya ini umpama produk pelembut kain atau sepaket makanan ringan,” katanya.

Sememangnya terkenal dengan karektornya yang seringkali gemar cakap lepas, agak kasar namun suka berjenaka selamba, Adele juga andai diperhatikan dengan teliti, tidak pernah menerima sebarang tawaran untuk menjadi duta atau jurucakap untuk sebarang produk.

Berbeza dengan artis antarabangsa lain, Adele tidak mahu dianggap terlalu diva kerana baginya, apabila 'darjat’ itu menghimpit seseorang artis, ia menjadikan artis tersebut semakin teruk dari segi karektor dan personaliti.

“Sesetengah artis, apabila mereka semakin berjaya, semakin mereka teruk dan tidak disukai. Tak kisahlah andai dia pernah hasilkan album yang bagus sekali pun, tetapi kalau peminat tidak suka personaliti artis tersebut, jangan harap mereka akan membeli dan menyokong anda.

“Saya percaya, tak perlu untuk saya jadi duta mana-mana produk dan biarlah saya lebih fokus pada kecintaan saya pada bidang muzik kerana ia adalah punca mengapa saya di sini sehingga ke hari ini.

“Begitu juga dengan media sosial. Saya tidak begitu gemar mendedahkan kehidupan peribadi kepada umum dan saya terkejut mengapa begitu ramai artis berprofil tinggi begitu mudah memberikan ‘ruang’ itu kepada umum?

“Andai saya pun keterlaluan terdedah di media sosial dan menunggu sekurang-kurangnya setengah juta orang menekan butang like dan komen pada status dan gambar, bagaimana saya nak fokus menghasilkan karya muzik yang asli?” Adele meluahkan pandangan.

DNA muzik Adele

Kukuh mengekalkan prestasi rekod yang baik selepas 19 dan kemudiannya menerusi album 21, isteri kepada Simoen Konecki ini mengaku, formula yang digunakan meski kedengaran klise, ia sebenarnya tidak mudah.

Sering menjadikan dirinya sebagai subjek penceritaan dalam lagu yang dihasilkan, Adele mempunyai banyak kisah peribadi yang tidak segan silu diceritakan dan dicurahkan ke dalam acuan muzik sehingga ia menjadi koleksi karya yang hebat.

“Saya lebih selesa untuk menulis mengenai diri sendiri dan berkongsi bagaimana perkembangan saya dalam menjadi manusia yang lebih baik menerusi karya lagu berbanding saya menulis mengenai tanggapan atau perasaan orang lain terhadap diri saya.

“Sebab itu juga setiap kali saya hadir dengan album baru, ia tidak berlaku dengan cepat. Saya memang ambil masa untuk menghasilkan setiap satu kerana ia adalah antara formula bagaimana saya menjadikan setiap darinya sangat istimewa dan bermutu,” katanya.

Dalam pada itu, Adele juga mengaku tidak gemar menulis mengenai hubungannya dengan suaminya Simon lantaran beralasan sendiri.

“Saya dengan Simon, kami berdua mempunyai hubungan yang sangat dewasa dan matang. Saya akui tidak mahu menulis lagu mengenai kami dan salah satu dari alasannya adalah saya tidak mahu kami berdua saling merasa tidak selesa terhadap diri masing-masing,” katanya dalam satu temu bual bersama sebuah majalah antarabangsa.

Saya memang ambil masa untuk menghasilkan setiap satu kerana ia adalah antara formula bagaimana saya menjadikan setiap darinya sangat istimewa dan bermutu

Tuah 25

Bercakap mengenai kehebatan Adele, maka bukan sesuatu yang memeranjatkan apabila penyanyi ini dilihat menyapu bersih lima trofi kemenangan sempena majlis Anugerah Grammy 2017 yang berlangsung baru-baru ini di Los Angeles, California, AS.

Dalam majlis penuh prestij itu, Adele telah meraih kemenangan menerusi kategori Lagu Terbaik, Persembahan Solo Pop Terbaik, Rekod Terbaik (Hello), Album Vokal Pop Terbaik sekali gus menyaksikan Album 25 memenangi kategori Album Terbaik untuk Grammy kali ini.

Ternyata tuah menyebelahi Adele pada tahun ini. Malah, Adele ketika naik ke pentas untuk menerima anugerah tersebut secara spontan memberitahu bahawa separuh dirinya seakan mati apabila mendengar namanya diumumkan sebagai pemenang pada malam tersebut.

Menganggap penyanyi Beyonce lebih layak untuk memenangi anugerah tersebut, kata Adele, dia cukup mengagumi penyanyi berkenaan yang disifatkan seorang penghibur sebenar.

“Saya rasa tak layak untuk menerima anugerah ini namun saya amat bersyukur. Tetapi, artis yang saya rasa paling layak untuk anugerah ini adalah Beyonce.

“Anugerah ini adalah untuk saya, untuk album Lemonade (Beyonce) kerana ia sangat hebat. Cara anda membuatkan saya dan kawan-kawan saya rasa, semuanya begitu mengesankan dan memberi inspirasi menerusi karya-karya anda,” tambahnya.

Adele kemudiannya turut meninggalkan momen menggemparkan buat jutaan penonton di seluruh dunia apabila dia bertindak spontan mematahkan salah satu anugerah yang diraihnya di atas pentas sebagai simbolik bahawa separuh daripada anugerah itu layak dimiliki oleh Beyonce.

Selepas insiden itu yang menyaksikan Adele dalam emosi yang bercampur baur, Beyonce dilihat turut mengalirkan air mata saat mendengar kata-kata rangsangan daripada Adele yang juga amat dikagumi olehnya.