Apatah lagi, kalau telah melibatkan diri dalam gelanggang seni, serba-serbi semuanya menjadi ‘mata-mata’ para peminat mahupun para pengkritik yang sengaja mencetuskan provokasi kepada sesetengah artis.

Sebab itulah, bagi mereka yang mahu ‘terjun’ ke dalam dunia hiburan perlulah bersiap siaga memastikan ketahanan fizikal dan mental berada dalam keadaan benar-benar bersedia bimbang akan meninggalkan kesan hingga merosakkan reputasi bidang cari makan ini.

Bagi penyanyi kelahiran Jakarta, Indonesia, Afgansyah Reza, dia sebenarnya bukanlah seorang yang cepat melatah biarpun acapkali dilabel sebagai seorang yang ’kekwat’ atau dengan kata lain seorang yang sombong.

Banyak pihak yang memperkatakan hal sama berikutan sikap Afgan yang agak kurang mesra dengan orang sekeliling. Mungkin itu hanyalah sifat luarannya.

Tetapi, Afgan tampil menjelaskan keadaan sebenarnya mengapa dia bersikap sedemikian.

Ini kerana sifat malu dalam dirinya terlalu menebal hingga membuatkan pergaulannya terbatas.

Kata Afgan, dia sebenarnya seorang yang ‘gila-gila’ dan suka bercakap dengan mereka yang rapat dengan dirinya.

“Sifat pemalu dalam diri ini terlalu menebal hingga buatkan saya rasa kekok untuk bergaul dengan orang ramai.

“Dakwaan yang mengatakan saya seorang yang sombong dan berlagak diva itu tidak sepatutnya timbul. Jika saya kenal rapat dengan seseorang itu, pastinya sayalah orang yang paling banyak bercakap. Saya orangnya sangat mudah diuruskan dan tidak terlalu cerewet.

“Malah, perwatakan saya yang banyak bercakap ini sama sahaja dengan Rossa. Kami sama-sama senang menjadi teman yang boleh berbicara tentang banyak hal dan kadang-kala saya antara orang yang paling banyak bercakap,” katanya sambil tersenyum manis.

Penyanyi berusia 26 tahun ini ditemui dalam satu sidang akhbar di Dome Cafe bertempat di The Curve, Mutiara Damansara bagi mengumumkan konsertnya di Malaysia baru-baru ini.

Terlanjur membicarakan soal penyanyi terkenal yang lebih senior darinya, Rossa, kesempatan itu diambil pihak media bertanyakan perihal hubungan mereka yang dilihat semakin rapat bersama.

Namun, cepat sahaja Afgan menangkis segala persoalan yang mengaitkan dirinya sedang bercinta dengan penyanyi berusia 36 tahun ini. Hubungan mereka tak lebih sebagai rakan duet dan rakan penggiat seni sahaja.

“Saya senang menganggap Rossa sebagai kakak yang tidak lokek berkongsi ilmu dunia nyanyian. Malah, kami juga ada projek lagu duet bersama selain sering menjadi penyanyi undangan dalam setiap persembahan yang kami jayakan bersama-sama.

“Perkenalan saya dan Rossa sudah masuk lima tahun, jadi saya sudah biasa berkawan dengan dia. Jujur saya katakan, saya tidak pernah rasa menjengkelkan tiap kali orang tersalah anggap tentang hubungan kami.

“Malah, ada juga peminat yang bertanya tentang hal yang sama menerusi Instagram saya dan Rossa. Kami hanya ketawa sahaja dan perkara itu hanya akan bertiup kencang untuk beberapa ketika sahaja sebelum ia berlalu sepi,” jelasnya.

Konsert Suara Hati Afgan

Mengulas lanjut keberadaannya di Malaysia, sebenarnya ada sesuatu yang cukup istimewa menanti peminat di tanah air kerana pada tanggap 18 September depan Konsert Suara Hati Afgan bakal mengambil tempat di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bakal meninggalkan kesan kepada penonton bertuah.

Jelas Afgan, konsert yang berskala besar ini bakal mempamerkan empat elemen utama yang ada dalam dirinya iaitu dinamik,romantis, bertenaga dan berjiwa riang.

“Ini konsert yang saya nantikan selama ini untuk menghiburkan peminat di Malaysia. Semua elemen ini akan disatukan dalam satu malam dan yang saya janji ia akan meninggalkan satu kenangan dalam diri penonton pada malam itu nanti.

“Saya akan menyampaikan 20 buah lagu di mana konsert ini akan dibahagikan kepada empat segmen yang bakal bawa penonton kepada kisah suka dan duka, tawa dan riang yang pastinya bakal membuai emosi dan hati penonton,” ungkapnya.

Tambah Afgan lagi, dia turut mengundang Rossa bagi menyerikan lagi konsert berkenaan dengan kemunculan penyanyi genit itu.

“Ya, kalau dahulu konsert Rossa di Istana Budaya, dia mengundang saya menjadi penyanyi undangan. Kali ini giliran saya pula mempelawa dirinya muncul dalam Konsert Suara Hati Afgan.

“Tidak hanya Rossa sahaja yang akan diundang, saya turut mengajak seorang lagi penyanyi dari Indonesia yang mana saya masih tidak boleh umumkan. Biarlah ia menjadi kejutan kepada semua,” ujarnya pemilihan Rossa adalah tepat kerana sebelum ini wanita itu pernah menjadi tetamu undangan konsertnya di Jakarta, Februari lalu.

Afgan turut akan menyampaikan beberapa lagu tribute kepada penyanyi yang banyak memberikan inspirasi dalam lagunya seperti Datuk Sheila Majid serta ramai lagi.

Harga tiket bagi menonton konsert Afgan dijual dengan harga mulai RM125 hingga RM445. Tiket sudah mulai di jual menerusi laman web www.myticket.asia atau sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 03-8080 8700.