Bagi Fizo, pastinya dia menyedari tentang perkara berkenaan. Apa yang dikatakan oleh kebanyakan pengguna media sosial langsung tidak mematahkan semangatnya walaupun ada kala tulisan mereka benar-benar membuatkan hatinya terusik.

“Saya tahu ada yang melontarkan kritikan mengapa saya berlebihan dalam menangani isu Fareeda. Mereka persoal mengapa tidak isteri atau ibu mertua saya ke hadapan dalam menjawab segala kontroversi.

“Sebagai suami pastinya sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mempertahankan isteri saya. Selain soal perniagaan, ini juga lebih kepada soal maruah dan harga diri. Tak mungkin saya mahu membiarkan isteri saya menghadapinya sendirian,” tegas Fizo lagi.

Selain itu, Fizo turut menambah yang dia juga merupakan Pengurus Pemasaran untuk jenama Fareeda dan pastinya tanggungjawab itu perlu digalas jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini seperti yang berlaku sebelum ini.

Pun begitu, pelakon dan pengacara ini menganggap perkara itu sebagai lumrah dalam perniagaan dan pastinya memberikan hikmah di sebalik apa yang terjadi.

“Dalam setiap kontroversi yang berlaku, saya ambil perkara berkenaan dari sudut positif walaupun orang melihatnya dalam sisi negatif. Benar orang teruk “membelasah” bila timbul sebarang isu.

“Tapi hikmahnya pula membuatkan orang yang tak mengenali jenama Fareeda mahu mengetahuinya pula. Jika mengikut pemerhatian saya, sebanyak 40 peratus pengikut baharu Fareeda muncul. Mereka bukan sahaja sekadar membeli tapi turut menjadi ejen dan sebagainya.

“Setidaknya setiap perkara yang berlaku itu mendatangkan manfaat kepada semua pihak malah memberikan rezeki pula kepada mereka,” kata Fizo lagi.

Tambah lelaki yang berusia 31 tahun ini lagi, pihaknya telah menambah baik sistem untuk mendapatkan giliran membeli tudung dan pastinya penambahbaikan yang telah dibuat bakal memberikan keselesaan kepada peminat tudung terbabit.

Selain mengubah sistem beratur di kilang dan bukannya lagi di butik, pengasingan antara lelaki dan perempuan juga sudah dilaksanakan bagi memberikan keselesaan dan mengikut syariat Islam.

Bantu bumiputera

MELIHATKAN potensi yang ada dalam bidang perniagaan, Fizo mengorak langkah untuk membantu golongan peniaga kecil-kecilan dan orang perseorangan untuk mendapatkan landasan yang betul bagi memulakan perniagaan.

Baginya, ilmu yang ada harus diberikan kepada sesiapa sahaja bagi membantu mereka memulakan perniagaan dengan kadar yang minimum sahaja. Bakal mengadakan seminar Start Your Business (SYB) bersama Prof. Muhaya dan Sifu FB Ads, pastinya perkongsian tersebut bakal memberikan manfaat kepada mereka yang hadir nanti.

“Saya terpanggil untuk membantu golongan Bumiputera dan orang Melayu yang mahu mengembangkan perniagaan mereka. Ramai yang ingin berniaga tetapi tidak tahu cara yang betul untuk memulakan perniagaan.

“Jadi seminar ini diadakan khusus untuk mereka. Tanpa mengeluarkan modal yang besar, mereka boleh mendengar perkongsian yang akan diberikan oleh tiga panel (termasuk dirinya) tentang ilmu perniagaan.

“Seminar ini bukan untuk mencari keuntungan sebaliknya untuk membantu semua pihak. Itu matlamat saya sejak dahulu lagi,” jelasnya.

Mengenakan yuran pendaftaran serendah RM100 sahaja, Prof Muhaya bakal memberikan ceramah berkaitan dengan Reset Minda dan Berniaga dari Hati.

Manakala Sifu FB Ads pula, akan mengajar cara yang betul tentang teknik pemasaran dalam media sosial serta cara penulisan pengiklanan media sosial yang betul untuk menarik minat orang ramai menyertainya.

Fizo pula bakal bercerita tentang langkah untuk memulakan perniagaan termasuklah dalam talian atau secara konvensional yang betul.

Bakal mengadakan seminar di Dewan Perdana MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Kuala Lumpur, pastinya tarikh 22 Mei ini akan menjadi medan untuk mereka menaikkan semangat peniaga baharu untuk terus ke hadapan.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut boleh melayari www.fizoomar.com/syb2016.