Kuala Lumpur 4 Oktober 2018 FOTOGRAFI bersama Ayu di studio Utusan.Gambar:
 

Berbekal wajah rupawan semula jadi, tidak hairan empunya nama Afiqah Diyana Mohd. Fadzli amat popular dalam kalangan pengguna media sosial.

Mesra disapa sebagai Fiqah, gadis berusia 21 tahun ini tidak hanya memiliki kecantikan tersendiri, malah kebijaksanaan lebih-lebih lagi dalam hal ehwal fesyen.

Anak kedua daripada empat beradik ini mengakui terlalu obses berfesyen dan tidak akan memakai pakaian yang sama berulang kali.

“Saya gemar bergaya tetapi bukan seorang yang hanya memilih pakaian berjenama. Selagi tidak ketinggalan dan nampak menarik, saya akan beli.

“Saya tidak akan pakai pakaian yang sama dan kerana itu, jika tidak berikan kepada adik beradik yang lain, saya akan jual baju-baju milik saya di Instagram,” katanya yang turut mengakui berbelanja RM500 sebulan untuk membeli pakaian baharu.

Bagi sesetengah pengikut di laman sosial, Fiqah dianggap inspirasi buat mereka kerana anak gadis ini sentiasa kelihatan cantik, bergaya dan tidak berpura-pura.

“Saya selesa berkongsi tentang kehidupan dan minat di Instagram. Apa yang anda tengok, itulah diri saya sebenarnya.

“Saya gembira apabila ada pengikut yang memberitahu mereka suka melihat cara saya berfesyen sekali gus menjadikan saya sebagai inspirasi,” ujarnya.

Disoal tentang cita-cita dan impian, Fiqah menyimpan hasrat untuk berjaya dalam bidang perniagaan satu hari nanti.

Itu sebabnya anak kelahiran Selangor ini memilih untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan perniagaan antarabangsa di universiti tersebut.

Dalam pada itu, Fiqah berkata, dia mahu menjadi contoh yang baik kepada pengikut Instagramnya lebih-lebih lagi mereka yang masih di bawah umur.

“Apa yang menyedihkan, ramai remaja pada masa kini yang mengabaikan pelajaran hanya kerana terlalu obses dengan media sosial.

“Dek kerana selesa dengan populariti dan pendapatan lumayan sebagai instafamous atau selebriti, ramai yang menganggap pendidikan tidak lagi penting untuk mereka.

“Kalau boleh saya nak berkongsi nasihat dengan golongan seumur saya dan yang lebih muda agar tidak memandang ringan soal pelajaran demi masa hadapan yang cerah,” jelasnya.