Dijadualkan berlangsung di Menara Kuala Lumpur bermula pukul 10 pagi hingga 8 malam, program dinamakan Radio Aktif 2016 itu merupakan sebuah acara yang dianjurkan untuk mengukuhkan ukhwah antara kakitangan termasuk penyampai radio RTM dengan pendengar setia mereka.

Stesen radio yang terlibat ialah Nasional FM, Radio Klasik, KL FM, Traxx FM, Ai FM, Minnal FM dan Asyik FM. Secara signifikan, setiap stesen radio akan silih berganti setiap hari sepanjang tujuh hari program tersebut diadakan.

Pengarahnya, Dr. Nawiyah Che Lah berkata, setiap hari ditetapkan atur cara berbeza mengikut susunan yang telah dibuat oleh stesen-stesen radio terbabit. Hari pertama dimulakan Nasional FM, diikuti pula Radio Klasik sehinggalah diakhiri oleh Asyik FM.

“Setiap stesen diberi selama 10 jam untuk menganjurkan pelbagai aktiviti di perkarangan Menara Kuala Lumpur bersama para pendengar mereka. Ini adalah salah satu cara kami di unit radio menunjukkan penghargaan buat pendengar yang selama ini kekal setia bersama 33 buah stesen radio milik RTM di seluruh tanah air.

“Mencecah usia 70 tahun, kami berjanji akan berusaha menyajikan rancangan-rancangan terbaik, sesuai dengan konsep atau tema setiap radio-radio RTM. Ini termasuklah kandungan siaran berkualiti tinggi dengan penampilan penyampai yang segar serta memenuhi cita rasa pendengar masa kini,” katanya.

Nawiyah menambah, antara aktiviti khas diadakan oleh setiap stesen ialah Peraduan Selfie Hebat Bergaya (Nasional FM), Pertandingan Ronggeng Klasik (Radio Klasik), Buskers In Town (KL FM), Bikers On Traxx (Traxx FM), Accapella Show (Ai FM), Pencarian Harta Karun (Minnal FM) dan Sewang Santai (Asyik FM).

Selain itu, pada 3 April bersamaan hari Ahad ini, rakaman khas program radio bertajuk Teh Tarik 1 turut diadakan oleh KL FM untuk memeriahkan acara. Lebih menarik, beberapa selebriti popular seperti Forteen, Ronnie Hussein, Wanie Kayrie, Ezad Lazim, Indah Ruhaila dan Azian Mazwan Sapuwan.-Gambar FAIRUZ IZYANA