Sejak awal pembabitan, Fazura tidak sepi dengan kontroversi yang adakala menggoncang kariernya. Namun, berkat kesungguhan dan kerja keras serta semangat dalam diri, Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-27 ini terus mara menggapai kegemilangan.

KUALA LUMPUR, 02 Februari 2017 - Fazura pada sidang media Universal
 

2017 adalah permulaan yang baik untuknya. Melebarkan kerjaya dalam nyanyian, Fazura membuktikan segalanya tidak mustahil asal ada keinginan dan nilai kepercayaan tinggi terhadap kemampuan sendiri.

Tanggal 2 Februari lalu, Fazura memberi kejutan apabila mengesahkan dia kini berada naungan artis 360 di bawah label terkemuka, Universal Music untuk tiga tahun. Kini, perjalanan karier Fazura sama ada sebagai pelakon, penyanyi atau duta produk diurus sepenuhnya Universal Music bagi tempoh tersebut.

“Sebelum ini, saya ada menerima tawaran untuk menjadi artis rakaman tetapi saya tolak kerana khuatir masa untuk lakonan terjejas. Namun, tawaran Universal Music menjadikan saya sebagai artis 360 mereka adalah sesuatu yang berlainan dan tidak wajar dilepaskan.

“Universal Music adalah label ternama yang komited dalam membentuk karier artis di bawah naungan mereka. Rancangan mereka adalah bertepatan dengan matlamat yang ingin saya capai dalam kerjaya sebagai pelakon dan penyanyi,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar Universal Music X Fazura di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur.

Tidak mengambil masa lama, Universal Music mengorak percaturan dengan membawa nama Fazura ke Filipina. Kerjasama diwujudkan dengan Universal Music di sana menemukan Fazura bersama pemenang The Voice Filipina musim kedua, Jason Dy dalam single terbaharu yang diberi judul Nothing Like Pag Ibig.

Tidak sekadar itu, Fazura juga bakal hadir dengan album penuh yang dijangka dipasarkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Album yang akan memuatkan lapan buah lagu itu mengetengahkan komposer dan penulis lirik tersohor Nusantara termasuk Ahmad Dhani, Rich Gimbang (Estranged), Irfan (Samsons) dan ramai lagi.

“Daripada mereka (komposer), saya belajar banyak perkara tentang nyanyian termasuk cara menyanyi dengan key yang sesuai. Selain itu, mereka turut berkongsi tip penjagaan suara menerusi pernafasan, pemakanan dan senaman,” jelas pelakon yang mempunyai peminat di Indonesia dan Filipina.

Pencapaian Fazura pastinya memberi tamparan hebat buat pengkritik dan pihak yang tidak senang melihat kejayaannya. Disoal tentang itu, dia yang juga seorang usahawan mengambil positif keadaan tersebut dan berterima kasih kepada ‘suara-suara sumbang’ yang berniat menjatuhkannya.

“Saya manusia biasa, adakalanya terkesan dengan tohmahan serta fitnah dilemparkan terhadap saya. Namun, saya tidak mahu salahkan sesiapa dan berterima kasih kepada mereka yang selama ini berniat memalukan atau melihat saya kecundang.

“Tanpa mereka, saya tidak berada pada kedudukan sekarang. Secara tidak langsung, mereka telah mendoakan yang baik dan saya reda dengan segala ketentuan Allah SWT,” ujarnya tenang.

Disoal pula tentang jodoh, Fazura jujur menyatakan dia masih belum bersedia. Katanya, dia masih belum berfikir ke arah itu dan cukup selesa dengan kehidupan kini yang sentiasa sibuk bekerja.

“Sejujurnya, saya masih belum bertemu pasangan hidup dan tidak mahu terlalu memikirkan tentang itu. Tetapi, kalau Allah SWT buka hati untuk bercinta, saya terima,” katanya yang menyimpan matlamat menamatkan zaman bujang dalam tempoh tiga tahun lagi.