Pun begitu, Fattah seakan sudah lali dengan pertanyaan tersebut dan ibarat sudah bosan setiap kali diajukan dengan soalan yang sama apabila isu tersebut dibangkitkan dan mengatakan kini mutu lakonannya bertambah baik selepas membintangi beberapa drama.

Dalam pada isu panas itu dibangkitkan, diam tak diam, Fattah turut dikaitkan sedang intim dengan aktres Sherry Ibrahim.

Biarpun jurang usia mereka berbeza tujuh tahun,namun itu bukanlah halangan.

Ikuti perbualan Fattah kepada Hits yang ditemui di majlis pelancaran fesyen Rafflesia bersempena sambutan Hari Deepavali di Hotel Park Royal, baru-baru ini.

HITS: Benarkah Fattah rasa kurang senang apabila menerima kritikan pedas mengenai lakonan yang tampak kaku dan ibarat ‘kayu’ itu?

FATTAH: Itu sebenarnya cerita lama dan semua itu saya tak boleh nak komen apa-apa. Itu hak penonton untuk mengkritik serta memberikan pendapat mereka.

Adakah Fattah seolah-olah sudah bosan tiap kali diajukan soalan yang sama?

Jika saya terus menjawab, media akan terus bertanyakan isu yang sama dan ia tidak akan berkesudahan. Waktu itu saya memang tiada pengalaman berlakon, jadi memanglah banyak buat silap. Kalau boleh saya tak nak dikaitkan lagi dengan isu ini.

Adakah sewaktu dikaitkan dengan lakonan yang tampak kaku itu, Fattah ada terasa hati?

Ya. Tak dinafikan waktu itu saya masih lagi mengikuti penggambaran Playboy Itu Suami Aku dan bila dikatakan lakonan saya nampak macam kayu dan kaku, memang saya rasa kurang keyakinan sedikit masa itu. Tapi lama-kelamaan bila dah berlakon banyak drama, saya sudah rasa sedikit selesa dan yakin.

Bagaimana cara Fattah mengasah kemahiran berlakon bagi memberikan yang terbaik dalam lakonan?

Alhamdulillah, saya kini banyak diberikan peluang berlakon dan kini merupakan ruang untuk saya baiki mutu lakonan. Banyak projek drama yang saya dapat dan saya pasti ada peningkatan. Saya pun banyak belajar dengan pengarah dan pelakon senior yang lain. Itu salah satu cara saya serius dalam bidang lakonan.

Dalam perkembangan lain, Fattah ada tak menerima mana-mana tawaran dari produksi luar?

Saya baru sahaja habis penggambaran telemovie terbitan produksi Indonesia berjudul Ku Kejar Cintaku Ke Malaysia. Saya rasa ini satu platform terbaik buat diri saya dan negara,sebab ia antara kerjasama dengan produksi Malaysia dan Indonesia.

Baru-baru ini nama Fattah dikaitkan semakin intim dengan Sherry Ibrahim. Boleh ceritakan sejauh manakah kesahihan berita tersebut?

Saya tidak pernah ada rakan artis wanita. Jadi bila bertemu dengan Sherry saya rasa sangat selesa dan rapat. Kami berdua bertegur sejak menjalani sesi penggambaran drama Cinta Ibadah. Semua itu berlaku tanpa dirancang dan kami masih berkawan hingga hari ini.

Apa yang membuatkan Fattah begitu menyenangi berkawan dengan Sherry?

Memang dia lebih berusia daripada saya, tapi itu tidak menjadi jurang kepada kami berdua untuk berkawan. Dia sangat matang dan banyak pengalaman dalam dunia hiburan. Dia juga sering beri nasihat serta pandangan dalam apa jua masalah yang saya kongsikan padanya. Walaupun dia senior tapi dia tidak pernah pandang rendah pada pelakon baharu macam saya. Dia seorang yang peramah dan tak sombong. Itulah sebab saya selesa kawan dengan dia.

Jadi, adakah Fattah menjadi Sherry sebagai tempat untuk menumpang popularitinya? Mungkin akan ke peringkat yang lebih serius?

Saya ikhlas berkawan dengan dia dan semua orang. Tiada istilah menumpang populariti dan isu itu tak patut timbul. Saya ada peminat saya sendiri dan begitu juga Sherry. Saya menyenangi sifat matang yang ada dalam dirinya. Untuk bercinta, itu terlalu awal sebab kami baru sahaja mengenali apatah lagi mahu berkahwin dalam usia 24 tahun. Masih banyak lagi yang perlu saya belajar dalam industri seni.