Walaupun ada yang melihat perkara itu sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan namun ada segelintir peminat masih menyokong tindakan pelakon berdarah campuran itu.

Bagi mereka Uqasha mempunyai hak untuk membuat keputusan tanpa perlu merujuk sesiapa.

Mahu atau tidak, ternyata pilihan Uqasha untuk membuka tudung akan kekal dikaitkan dengan dirinya sampai bila-bila. Tidak terhenti di situ, rakan artis yang baik dengannya juga turut dipersoal perkara yang sama.

Kini keakraban Fathia Latiff dengan adik-beradik Senrose juga dilihat menjadi punca buat pelakon yang baru setahun bertudung ini diaju soalan yang serupa.

Adakah Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latiff, 30, juga akan mengikut jejak langkah kawan baiknya itu suatu hari nanti.

Mempertahan Uqasha, Fathia yakin sepatutnya wanita itu tidak terus dihukum. Sebagai rakan, Fathia mempunyai pandangan berbeza.

“Uqasha adalah kawan baik saya, mereka yang bercakap tentang dia tidak pernah kenal siapa dia.

“Mereka tidak pernah bercakap dengan dia, jadi apa yang mereka tahu tentang Uqasha?

“Saya kenal Uqasha, seorang yang baik dan sebagai rakan saya selesa untuk mendampingi dirinya.

“Soal dia bertudung atau tidak itu bukan masalah sebab saya tahu dia seorang yang ikhlas ketika (berkawan) dengan saya,” katanya yang tercalon dalam kategori Fesyen Meletop pada Anugerah MeleTOP Era (AME) baru-baru ini.

Menolak dirinya juga bakal terpengaruh dengan keputusan Uqasha untuk tidak bertudung, Fathia melihat perkara ini dari perspektif yang cukup matang.

Baginya setiap keputusan yang dibuat tidak pernah melibatkan pandangan orang lain terutama dari segi kekuatan hatinya.

“Kenapa saya perlu terpengaruh dengan dia? Bagi saya walaupun kami adalah kawan baik namun dia dan saya adalah dua individu yang berbeza.

“Bagi saya soal terpengaruh bukan isu. Saya berkawan dengan Uqasha kerana dia seorang rakan yang baik.

“Saya tidak pernah nampak dia akan memberi kesan negatif kepada saya,” katanya jujur.

Tambahnya: “Berkawan dengan Uqasha membuatkan saya belajar banyak perkara malah ada yang kita tidak tahu tentang kebaikan dirinya.

“Pada masa yang sama saya juga terikut dengan kebaikan yang dilakukan Uqasha. Itu yang orang tidak dapat lihat dan saya rasa sangat bertuah.”

Turut dikritik gara-gara mengenakan fesyen Muslimah yang agak berani, dalam soal ini Fathia tidak mampu menolak ketidaksempurnaan dirinya.

Apa pun dia tidak pernah marah dengan mereka yang berterusan menghentam cara pemakaian dan keterampilannya.

“Saya tidak marah. Memang ada benarnya teguran mereka itu. Pada mulanya mengenakan tudung saya sangat berhati-hati berpakaian.

“Itu imej yang saya bawa tapi lama-kelamaan saya takut timbul sikap memberontak kerana saya faham islam itu adalah mudah.

“Jadi saya ambil jalan untuk melakukan perubahan itu secara perlahan-lahan,” jelasnya menyatakan pendirian.

Sibuk dengan perniagaan

Mempunyai tiga produk yang memberi peluang untuk dia mendalami dunia perniagaan, tentunya Fathia tidak mahu mensia-siakan yang dimilikinya itu.

“Baru sahaja selesai penggambaran video promosi untuk tudung Dara by Fathia Latif, video ini tidak sekadar elemen untuk promosi tudung tetapi saya juga menggunakan pengalaman sebagai pelakon dalam pembikinan video ini.

“Saya mengambil tanggungjawab untuk berkongsi idea dengan pengarah. Sebab ada mesej yang mahu saya kongsi. Video ini akan dapat ditonton melalui laman sosial tidak lama lagi,” tambahnya.

Memberitahu kehidupannya semakin bahagia kini, bagi Fathia yang dicari dalam dirinya mudah. Selain mahukan kebahagiaan dunia dan akhirat dia juga mendoakan perkara yang sama buat semua orang.

“Saya yakin dengan percaturan Allah dan buat masa ini saya bahagia dengan semua yang saya ada,” katanya.

Solo tanpa cinta

SELEPAS putus cinta masih tiada cinta yang bertandang dalam hatinya. Bukan tidak mahu tetapi dia yakin dengan kekuasaan Allah yang mempunyai hak ke atas perasaan yang wujud.

“Ada yang cuba mendekati tetapi hati saya belum terbuka untuk menerimanya. Jadi sekarang saya lebih senang berkawan sahaja dahulu.

“Yang saya cari dalam diri seorang lelaki itu mudah, yang diberikan Allah dan apabila saya yakin itu jodoh, maka saya terbuka menerimanya. Soal perkahwinan jujurnya saya belum terfikir lagi buat masa sekarang,” kongsinya.

Dilihat semakin rapat dengan Afiq Muiz, Fathia terus ditanya mengenai hubungan sebenarnya dengan pelakon tersebut.

Menolak ada hubungan cinta yang terjalin, jelasnya, hubungan mereka tidak lebih daripada rakan sahaja.

“Kami tiada hubungan, memang rapat sebagai rakan artis sahaja. Tidak lebih daripada itu,” katanya.