“Syukur kepada Allah, kedua­-­dua belah keluarga sudah pun bersetuju dan memberi restu kepada niat baik kami untuk berkahwin.

“Saya sendiri sudah bertemu dengan ahli keluarga Ayu (Farisha Irwayu). Semuanya berjalan baik yang mana kami akan bernikah selewat-lewatnya pada Disember tahun ini juga,” kata Tuan Asmawi kepada Ming­guan Malaysia hari ini.

Menurut Tuan Asmawi, 41, beliau dan bakal isteri sudah sa­ling mengenali sejak tujuh tahun lalu.

Namun ketika itu, hubungan mereka sekadar saling mengenali antara satu sama lain di laman sosial dan tidak akrab.

Pada 13 Ogos lalu, bapa kepada empat anak itu yang kini dalam proses perceraian, akhir­nya melamar pelakon tersebut se­telah beberapa kali melakukan solat hajat untuk memohon petunjuk daripada Allah S.W.T.

“Allah membuka jalan kepada saya dalam hubungan ini. Allah menjawab doa-doa dan per­­tanyaan saya apakah Farisha Ir­wayu ini wanita yang se­suai un­tuk saya jadikan isteri," katanya.

Menurut pengasas Program Imam Muda terbitan Astro Oasis itu, meskipun bakal isteri­nya seorang artis, beliau langsung tidak mempunyai masalah dengan status pekerjaan wanita berkenaan.

“Saya memilih Ayu bukan kera­na statusnya sebagai artis. Sama dengan dia, dia sendiri memilih saya bukan kerana saya seorang ustaz atau selebriti agama.

“Saya berharap agar hubung­an kami tidak menimbulkan sebarang spekulasi pihak lain kerana niat saya baik iaitu untuk menjadikan dia sebagai isteri yang sah,” katanya.

“Saya tertarik dengan penghij­rahan Ayu. Daripada tidak bertudung, sekarang sudah bertudung dan saya melihat penghijrahannya ke arah mencari agama,” katanya.

Selain penceramah bebas, Tuan Asmawi juga penya­mpai suara latar profesio­nal, konsul­tan produksi TV dan Radio, selain menubuhkan Pusat Perubatan Alternatif Baitul­wa­fi.

Farisha Irwayu pula agak popular sekitar tahun 1990-an melalui drama slot Spectra terbitan HVD, seangkatan dengan nama-nama seperti Liza Abdullah, Maria Farida dan Noniswara. Beliau juga masih aktif berlakon, antaranya dalam drama Cucu Bentong, Cik Bunga Encik Sombong dan Nenek Ranggi.