Seakan-akan sudah menjadi topik basi namun hakikatnya tetap diperkatakan oleh warga industri yang kononnya prihatin terhadap nasib yang menimpa mereka apabila muncul bakat baharu daripada program sama.

Bertemu dengan dua penyandang juara iaitu Faizul Sany (AF2013) dan Firman Bansir (AF2014), HITS cuba mendapatkan gambaran sebenar yang sedang mereka alami sementelah melihat karier masing-masing yang seolah-olah tenggelam timbul.

HITS: Selepas tamat AF dan bergelar juara, ke mana hala tuju karier nyanyian anda berdua?


FAIZUL: Jujurnya ketika itu saya masih terlalu baharu, langsung tidak tahu selok-belok industri dan hanya mengikut seratus peratus perancangan yang telah diatur pihak pengurusan. Jadi saya tidak membuat sebarang perancangan peribadi, sekadar memberi komitmen penuh terhadap jadual yang telah disusun.

FIRMAN: Sama seperti Faizul, saya juga menyerahkan segala-galanya kepada pihak pengurusan dalam menentukan hala tuju karier nyanyian ketika itu. Oleh sebab masa itu baru sahaja hadir dengan single, Di Pintumu jadi fokus saya adalah mempromosikan karya tersebut demi mengukuhkan tapak sebagai seorang penyanyi.

Selain menjadi penyanyi, mungkin anda ada matlamat lain dalam bidang seni tempatan. Boleh cerita lanjut?

FAIZUL: Saya masih mahu aktif menyanyi. Namun pada masa yang sama saya merancang pelbagai aturan untuk karier masa depan terutama dalam menyumbang jasa terhadap industri muzik tempatan. Saya bersyukur rezeki di belakang tabir dalam menulis lagu dan lirik tidak pernah putus. Saya sukakan kerja-kerja produksi dalam menghasilkan sesebuah karya. Terkini, single nyanyian Elizad Sharifuddin berjudul Hai Ya Ya adalah hasil tulisan saya.

 

FIRMAN: Setakat ini karier nyanyian saya berjalan dengan lancar. Jadual seni saya masih penuh dengan undangan persembahan. Bagaimanapun alang-alang masuk dalam bidang seni, sejujurnya saya mahu cuba melebarkan sayap ke cabang yang lain seperti lakonan. Harap-harap ada penerbit mahupun produser yang sudi mengambil saya berlakon. Sebelum ini saya pernah membintangi telefilem Ketupat Jantung Hati yang disiarkan di Astro Ria.

Adakah anda masih terikat dengan Astro? Jika ya, adakah masih relevan berada di bawah pengurusan mereka?

FAIZUL: Pada 2016, tamatlah kontrak saya dan beberapa artis AF2013 yang lain dengan Astro. Bagaimanapun dalam tempoh beberapa bulan selepas ikatan itu terlerai, kami terikat dengan satu klausa yang diistilahkan sebagai cooling period. Ini bermaksud kami tidak boleh melakukan sebarang aktiviti yang melanggar persetujuan dalam kontrak yang telah ditandatangani sebelum ini. Senang cerita, digantung tak bertali.

FIRMAN: Saya masih lagi mempunyai baki kontrak dengan Astro untuk beberapa bulan sebelum tamat. Walau apapun yang berlaku antara saya dengan pihak pengurusan saya tetap berasa syukur kerana merekalah yang memberikan platform untuk saya berada dalam industri pada hari ini. Banyak yang saya pelajari daripada pegawai-pegawai yang ditugaskan untuk menjaga kami.