Masakan tidak, desakan hidup untuk meneruskan kehidupan seharian membuatkan mereka sanggup berbuat apa sahaja termasuk penderitaan pelarian Syria yang terpaksa merebut rumput sebagai makanan harian mereka.

Malah ada berebut kotak untuk digunakan sebagai bahan dalam sup mereka.

Jika kehidupan seharian pun sudah begitu sukar, apalah ertinya bagi mereka untuk meraikan hari yang sepatutnya menjadi detik kemenangan buat semua umah Islam selepas sebulan berpuasa.

Penyanyi Faizal Tahir dan Aizat Amdan antara artis yang giat dalam meneruskan aktiviti kemanusiaan di luar negara. Kedua-dua mereka menyatakan rasa luluh hati selepas melihat kesengsaraan dan kesukaran yang dihadapi pelarian Syria.

Rasa syukur dapat menyambut Syawal dititipkan oleh dua penyanyi ini kerana di sebalik kesusahan yang dihadapi, masyarakat masih lagi boleh meraikan Syawal secara bebas dan membantu mereka yang memerlukan untuk sama-sama menikmati kemeriahan berhari raya.

Teringin beraya dengan pelarian

Ketika ditanya mengenai pengertian Syawal selepas menyaksikan apa yang berlaku di Syria, dahinya berkerut seperti ada sesuatu yang dikenangkan.

Faizal menganggap yang dilalui di negara bergolak itu sebagai peluang yang tidak boleh dirasai semua orang.

“Apabila saya terlibat dengan misi kemanusiaan di Syria, saya rasa bersyukur kerana tidak semua berpeluang untuk dijemput ke sana.

“Itu yang apabila kita lihat situasi mereka di sana, kita mula sedar. Secara tidak langsung, diri kita akan berubah untuk lebih bersyukur,” jelasnya.

Tambah Faizal, rasa syukur perlu ada dalam setiap insan tidak kira sama ada kita berada dalam suasana raya atau tidak.

Jangan pula hanya kerana Ramadan kita mula bersikap rendah hati dan memberi sumbangan sedangkan perkara itu sepatutnya dilakukan setiap hari tanpa mengira bulan.

“Di sana, mereka tidak ada apa-apa. Mereka tidak ada kerja atau sumber yang boleh membantu kehidupan mereka seharian. Mujur sumbangan daripada pihak luar sentiasa datang. Hanya dengan cara itu mereka mampu meneruskan dan membina kehidupan baru.

“Sebab itu bila saya balik ke Malaysia, perasaan untuk memberi lebih banyak kepada yang memerlukan timbul.

“Sekurang-kurangnya yang kita berikan walaupun sedikit dapat menggembirakan sambutan Syawal mereka,” jelasnya.

Tambah Faizal, dia sangat teringin untuk meraikan Syawal dengan golongan pelarian.

Belum berpeluang melakukan perkara itu, dia yakin, berdasarkan pengamatan semasa di sana, pasti sambutan Syawal mereka tidaklah semeriah umat Islam di sini.

“Mereka hanya menyambut Syawal dengan sederhana dan meraikan apa yang patut sahaja sedangkan dari segi mentaliti mereka sebenarnya sangat lemah.

“Bayangkan melihat ahli keluarga sendiri dibom, dibunuh depan mata dan ada yang terpaksa melarikan diri ke negara jiran.

“Semua itu memberi kesan kepada sambutan Syawal mereka. Itu yang saya teringin sangat mahu beraya di sana dan beri semangat baharu buat mereka,” jelasnya.

Perkara sama turut dikongsikan oleh Aizat yang mengakui peluang ke Syria telah mengubah persepsi dirinya terhadap persekitarannya kini.

“Dahulu saya selalu memberi komen tentang itu dan ini. Ada sahaja yang tidak cukup dan tidak kena pada mata saya. Tetapi apabila melihat keadaan di sana, saya sedar tentang erti kesyukuran.

“Mereka tidak mempunyai keperluan asas yang lengkap. Sistem pembelajaran juga tiada sedangkan itu adalah perkara yang sangat penting. Perkara sebegitu yang sangat menyentuh hati saya,” jelasnya.

Melihat kepada sambutan Aidilfitri yang sinonim disebut sebagai hari kemenangan, jelas Aizat, pengertian itu yang perlu diubah. Jika sebelum ini, Syawal sering dikaitkan dengan baju baharu, makanan yang lazat dan lain-lain aktiviti, jangan lupa untuk memberi semula.

“Pada Ramadan kita belajar pelbagai perkara tentang ibadah, sedekah dan sebagainya tetapi kita lupa tentang itu selepas tibanya Syawal. Sebab itu saya sentiasa berfikir bahawa Syawal yang sempurna datangnya dari Ramadan. Bagaimana kita kekalkan momentum bulan mulia itu ke bulan yang seterusnya,” katanya.

Semua perkara ini menurut Aizat mula disedari ketika dia melihat kesengsaraan umat Islam di Syria.

“Yang berlaku ketika saya di Syria adalah petunjuk daripada Tuhan terhadap peranan diri saya di muka bumi. Saya mula sedar mengenai tanggungjawab saya di dunia ini dan apa gunanya apabila diri saya dikurniakan bakat untuk menyanyi.

“Sebab itu saya cuba menyebarkan unsur positif menggunakan bakat saya kepada semua manusia tanpa mengira bangsa,” jelasnya.