“Saya hanya bersederhana sejak dahulu. Saya selalu fikir itu merupakan jalan terbaik untuk meneruskan karier seni. Tapi sebenarnya banyak juga dugaan yang perlu dilalui yang akhirnya membuatkan saya perlu mencari jalan baharu untuk meneruskan karier seni,” katanya pelakon yang berusia 25 tahun ini lagi.

Tentu sahaja untuk bergelar pelakon memerlukan ramuan yang lengkap. Adunan antara bakat, karisma dan populariti benar-benar membuatkan Fadlan terfikir tentang banyak perkara saat meniti hari-hari mendatang. Paling membuatkan dia terkesan apabila kebanyakan tawaran yang datang lebih mementingkan populariti berbanding dengan bakat.

Pernah mengalami pengalaman yang kurang manis saat namanya ditolak oleh stesen televisyen, dia tidak mampu untuk duduk diam lagi. Keadaan semasa benar-benar membuatkan dadanya sesak dan harus mencari jalan untuk kekal relevan di dalam industri.

“Kalau bercakap tentang hal itu, saya pernah beberapa kali melaluinya. Walaupun nama dicadangkan oleh pihak produksi tapi akhirnya ditolak oleh pihak lain. Mereka ada meletakkan kehendak lain seperti jumlah pengikut Instagram dan sebagainya.

“Untuk yang biasa-biasa macam saya, mungkin kurang sesuai. Tapi alhamdulillah rezeki saya masih ada di tempat lain. Asalkan rajin berusaha rasanya tiada masalah,” katanya meluahkan rasa.

Isu yang diperkatakan oleh Fadlan bukan lagi perkara baharu dalam industri. Beberapa nama besar yang lain pernah juga menjadi perhatian kerana lantang bersuara dek ‘syarat tambahan’ yang hanya memberikan kelebihan kepada mereka yang popular semata-mata.

Jika ukuran populariti dan jumlah pengikut Instagram menjadi keutamaan, pasti kebanyakan pelakon yang sekadar bersandarkan kepada mutu lakonan akan tertinggal jauh dan akhirnya menutup peluang mereka untuk menyumbangkan sesuatu kepada industri secara keseluruhannya.

“Dahulu saya pernah bersedih bila nama digugurkan dan digantikan dengan mereka yang lebih komersial. Orang mahukan mereka yang lebih komersial agar senang mendapat perhatian. Ini sebenarnya yang industri mahukan dan saya perlu akur.

“Sebab itu sekarang saya cuba sedaya upaya untuk keluar daripada kepompong yang membelenggu diri. Dulu saya fikir lebih baik nampak seperti pelakon misteri yang tak terlalu terdedah dengan populariti, orang kata lebih eksklusif. Tapi sekarang sebaliknya pula berlaku. Setidaknya biarlah seiring, itu lebih baik,” kata pelakon yang popular dengan drama Cinta Si Wedding Planner ini lagi.

Semangat

TIDAK mahu terus larut dalam emosi sendiri, Fadlan beruntung kerana namanya masih lagi menjadi perhatian banyak pihak yang mempercayai bakat yang ada dalam dirinya. Tentu sekali dia teruja menantikan tayangan filem Jibam yang bakal ditayangkan pada 7 Disember hadapan.

Membawakan watak Fakir yang juga merupakan anak kepada Suman, karektor yang dibawa kali ini begitu lain dan sangat memuaskan hatinya yang turut berlakon bersama beberapa nama besar yang lain.

“Watak Fakir bukan seperti watak yang sudah biasa dibawa sebelum ini. Membawakan watak pemuda yang tamak haloba dan penuh dengan kebencian, dia juga sering mencari alasan untuk menjual tanah milik keluarganya bagi mendapatkan kekayaan segera.

“Dalam filem berkenaan juga saya ada beberapa babak yang menyaksikan saya mendera Jibam (lakonan Ariff Abdullah). Memang apa yang ditawarkan begitu lain daripada kebiasaan dan saya sendiri teruja dapat menjadi sebahagian daripada pelakon filem ini,” ujar Fadlan lagi.

Selain Fadlan dan Ariff Abdullah, filem ini turut dibintangi oleh Syafie Naswip, A Galak, Isma Daniel, Bohari Ibrahim, Kamarool Yusuf dan ramai lagi.

Jibam merupakan filem yang diadaptasi daripada novel hasil tulisan kartunis Ujang yang popular sekitar tahun 1990-an. Menjalani penggambaran di Sungai Lembing, Pahang selama dua bulan, tentunya banyak pengalaman ditimba oleh Fadlan melalui produksi kali ini.

Menariknya, mereka membina semula perkampungan baharu di sana mengikut latar cerita asal. Tentu sahaja dia bertuah dapat bekerjasama dengan Che Mie yang juga merupakan pengarah untuk filem ini.

“Che Mie merupakan jurukamera yang berpengalaman dan ini merupakan kali pertama dia mengarahkan filem. Tentu sahaja pengalaman yang ada dalam bidang ini memudahkan kesemua pihak memandangkan dia sudah nampak apa yang perlu dilakukan. Ujang sendiri pun ada turun padang bagi memantau proses penggambaran,” katanya lagi.