Sejak berpecah dengan kumpulan Klangit, Haris yang merupakan pemain gitar dan vokalis bersepakat dengan Ijoy Fikri dan Peakay Farhan menggerakkan Eureka sebagai sebuah band sekali gus memasang hajat untuk melebarkan perjuangan seni muzik mereka.

Berkongsi mengenai progres band setakat ini, kata Haris, meskipun masih baru ditubuhkan, Eureka kini semakin mendapat sambutan yang positif daripada peminat muzik khususnya mereka yang setia dengan muzik genre rock alternatif.

Bagaimanapun menurut Haris, Eureka tidak bergerak atas satu haluan muzik semata-mata kerana sebagai pemuzik, mereka lebih gemar bermain dengan nuansa yang pelbagai tanpa meletakkan spesifikasi terhadap satu genre sahaja.

“Di sinilah terletaknya keunikan dan kelainan yang dimiliki oleh Eureka yang membezakan kami dengan band-band lain. Kami tidak ada spesifikasi dalam muzik yang kami bawa meskipun akarnya masih tetap rock alternatif.

“Kami selesa untuk melihat muzik itu sebagai sesuatu yang universal. Secara dasarnya, kami sendiri datang daripada latar belakang yang berbeza.

“Saya dan Ijoy punya citarasa yang lain dalam muzik manakala Peakay pula ke arah punk rock atau muzik yang lebih berat. Apabila digabungkan, kami dapati lebih menarik dan melahirkan muzik yang lebih segar.

“Tak perlu bergantung kepada satu muzik sahaja sedangkan kita boleh meneroka lebih banyak lagi karya yang lebih luas dan bersifat universal,” katanya.

Berkongsi lanjut, kata Haris, dia dan dua teman baiknya itu berbesar hati untuk melihat Eureka pergi lebih jauh dalam industri sekali gus mengelak daripada dilabel sebagai sebuah band yang hadirnya sekadar menempel dalam dunia hiburan tempatan.

“Kami serius dalam muzik dan menjadikannya sebagai karier. Kami bukannya hadir untuk menempel semata-mata dalam industri kerana harapan kami ialah mahu melihat Eureka mampu bertahan selama yang boleh.

“Kami benar-benar mahu muzik dan karya kami diterima baik oleh pendengar dan dinilai dari segi mutu yang kami hasilkan,” katanya.

Mengenai persaingan, kata Haris, Eureka sedar mereka bukanlah satu-satunya band yang mahu meneroka dan meraih keuntungan dunia seni.

Maklumlah, pada masa yang sama, berapa banyak band yang diwujudkan setiap masa dan semuanya memasang hajat yang sama - mahu melakar nama dalam dunia seni dan dikenali ramai.

“Kami sedar akan wujudnya persaingan dan kita memang tak boleh menafikannya. Tetapi kami lebih senang untuk melihat persaingan sebagai sesuatu yang sihat.

“Pada masa yang sama perkara itu mencabar kami untuk menjadi lebih bagus dan hasilkan karya yang lebih berkualiti dan berpotensi untuk pendengar.

“Kalau mahu kekal lama dan diterima baik oleh pendengar dan peminat, salah satunya ialah menerusi penghasilan karya yang berkualiti,” katanya.

Terima karya orang

Buat masa ini dilihat lebih senang membawa karya ciptaan sendiri dengan pengenalan pertama menerusi single Kejari Pelangi, kata Haris, itu tidak bermaksud Eureka menutup peluang untuk komposer atau pihak lain menawarkan karya mereka untuk band ini.

Kata Haris, mereka tidak mahu ada yang tersalah anggap mengenai hal itu kerana secara jujurnya Eureka mengamalkan sikap terbuka untuk menerima karya yang dinilai bersesuaian dengan imej dan konsep yang dibawakan.

“Untuk single pengenalan ini kami selesa biarkan pendengar untuk mendengar karya sentuhan kami. Pada masa yang sama kami juga ada perancangan untuk terus hasilkan karya-karya lain memandangkan lebih mudah untuk kami mengenal pasti mana yang lebih serasi dengan kami.

“Bagaimanapun kami tak kata kami tidak menerima langsung karya orang lain. Terus-terang, setakat ini kami tak pernah terima lagi. Mungkin mereka tak tahu yang kami terbuka untuk terima karya orang andai sesuai.

“Pendek kata tak ada limitasi mengenai hal ini. Kami juga ada menghasilkan lagu untuk band lain antaranya untuk band Pandora,” katanya.

Eureka yang kini dalam rangka promosi Kejari Pelangi turut mengelak untuk meniru aliran muzik band lain sebagai salah satu cara untuk mereka tampil berbeza.