Enggan diperbodoh

Bantu artis supaya tidak jadi mangsa

Photoshoot kumpulan band Radja pada 4
RADJA tidak mahu terus diperbodohkan.

Sekitar 2004, lagu Jujur dendangan kumpulan rock Indonesia, Radja cukup popular dan menjadi siulan peminatnya di sini.

Kini, selepas 15 tahun bergelar pemuzik, Radja tampil semula ke sini tetapi menggunakan syarikat label rekod mereka sendiri iaitu Istana Musik.

Dianggotai oleh Ian Kasela selaku vokalis, Moldy (gitaris), Indra (bass) dan Seno (drum), ada sebab mengapa mereka memilih bergerak sendiri sejak 2009.

“Sebenarnya, penubuhan label ini bermula selepas kita tamat kontrak dengan EMI membuatkan kita fikir untuk bergerak sendiri. Lagipun, ketika itu hadir perasaan pada diri bahawa daripada kita mempercayai orang lain, lebih baik percaya pada diri sendiri,” jelas Ian.

Melihat keadaan industri di Indonesia sedikit goyah sekarang, apatah lagi dengan keterbukaan Malaysia untuk menerima artis luar membuatkan mereka berfikir, sudah masa untuk mengorak langkah dalam dunia perniagaan muzik.

Berbekalkan pengalaman juga selama 15 tahun itu menjadi kekuatan buat Radja menubuhkan label rakaman sendiri dan kini sudah memiliki beberapa orang artis antara Cinderella Band, Galuh dan Ratu Bidadari.

Berkongsi pengalaman selepas terlibat dengan dunia perniagaan muzik, jelas Ian, masih banyak yang masih perlu mereka pelajari dan itu bukanlah sesuatu yang mudah.

Cuma seperkara yang menjadi ingatan bila disebut Ian ialah, semakin mereka pintar dalam dunia perniagaan muzik, semakin itulah mereka rasa diperbodoh-bodohkan.

“Baru-baru ini kita belajar mengenai kontrak dan barulah kita tahu bagaimana kontrak itu sebenarnya mampu menipu seseorang artis,” jelasnya.

Semakin banyak mereka belajar selok belok perniagaan muzik, barulah mereka tahu helah dan muslihat disebaliknya semasa mereka bergelar artis.

Akui perkara itu sesuatu yang menyedihkan, jelas Ian, perkara itu memberi kesedaran kepada mereka untuk membantu penyanyi lain yang baru menjejak ke industri muzik.

“Kita tidak mahu ada penipuan. Sebaliknya, Istana Musik akan cuba untuk membantu mereka dalam industri ini,” ujarnya.

Dia tidak menafikan, urusan perniagaan menjadi keutamaan tetapi janganlah sampai menafikan hak bagi seseorang penyanyi itu.

Radja banyak songeh

Ada yang mengatakan kumpulan Radja terlalu banyak songeh hingga menyukarkan penganjur berurusan dengan mereka.

Terkejut dengan perkara itu, jelas Ian, itu adalah tidak benar sama sekali dan menyifatkan kemungkinan salah faham.

“Media Malaysia dan peminat di sini adalah antara yang mengangkat dan membantu Radja bertapak. Kalau hendak kata kami begitu memang tidak benar. Tetapi, kami akui ada syarat dan terma yang tetapkan,” jelasnya.

Berkenaan dengan terma itu, jelas ian, itu hanyalah prosedur untuk mengelak perkara tidak elok berlaku.

Lagipun, prosedur itu masih boleh dibincangkan jika ada yang tidak bersetuju atau sebagainya.

“Perbincangan antara dua pihak itu penting dan mungkin ada salah faham yang berlaku menyebabkan kami dikatakan berperangai sebegitu,” kata Ian.- Gambar AZLAN HADI ABU BAKAR

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati