Baik Emma Maembong mahupun kekasihnya, Kamal Adli, masing-masing yakin sudah bersedia untuk bergelar suami isteri.

Bagaimanapun, jika ditanya bila mahligai bahagianya akan dibina, Emma hanya mampu tersenyum.

Kata Emma, dia tiada kuasa untuk menentukan bila akan bersatu dengan Kamil, kerana sehingga kini dia masih yakin dengan jodoh yang sudah ditentukan Allah SWT.

“Belajar daripada kesilapan lalu, saya tidak berani lagi mahu kongsi perkara seperti ini terlalu terbuka. Soalnya saya serah kepada jodoh sahaja.

“Kalau tanya bersedia untuk bergelar isteri, memang dari dahulu lagi saya cakap yang tidak ada masalah. Tapi dari segi logiknya soal bersedia atau tidak ini bukan isu memandangkan kalau seseorang itu sudah melaluinya pasti secara automatiknya dia akan bersedia,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaharu produk My Sketchbook Shawl By Emma Maembong di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Melihat tempoh hubungan yang sudah mencecah tiga tahun, Emma memberitahu, jika benar Kamal jodohnya, maka mereka bersetuju hanya untuk meneruskan urusan hari bahagia ke majlis akad nikah tanpa ikatan pertunangan.

“Ikutkan kami sudah berkawan lama, jadi tidak perlu majlis pertunangan, lebih senang kalau berkahwin terus. Tetapi dalam soal ini saya tidak boleh pastikan apa-apa lagi. Sebab kita tahu jodoh dan pertemuan itu pada tangan Allah SWT. Jadi ini hanya perancangan sahaja,” katanya tanpa berselindung.

Tidak perlu berahsia apa-apa berhubung statusnya dengan Kamal, Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 24, berjanji akan berkongsi dengan peminat dan media apabila sampai masanya kelak.

“Saya tidak akan berahsia soal ini, jika saya akan berkahwin kelak saya akan kongsi dengan semua.

“Soal majlis saya tidak boleh beritahu apa-apa, sebabnya kita tidak tahu sama ada saya akan anjurkan majlis yang besar atau kecil-kecilan sahaja,” katanya lagi.

My Sketchbook Shawl By Emma

Cinta terhadap dunia lukisan tidak pernah terpadam dalam dirinya, malah sehingga kini juga hasil seni indahnya itu akan diabadikan di dalam sebuah buku lukisan yang sentiasa menemaninya.

Kata Emma, sudah lama dia berhasrat ingin berkongsi hasil seninya dengan mereka di luar sana, maka melalui penghasilan My Sketchbook Shawl By Emma, dia yakin koleksi tudung ini adalah hadiah buat mereka yang mahu menghargai hasil seninya.

“Saya memang seorang pelukis sebelum bergelar pelakon, timbul idea bila saya tahu tidak semua mampu membeli hasil seni saya yang kita tahu harganya bukan puluhan ringgit. Jadi adik beradik saya yang lain muncul dengan idea untuk memperkenal My Sketchbook Shawl By Emma Maembong.

“Jadi saya terjemahkan hasil seni saya di atas tudung. Bagaimanapun, bukanlah bermakna ini hanya untuk mereka yang bertudung di luar sana sahaja. Sebab saya mahu ini dijadikan koleksi buat mereka yang ingin menghargai nilai seni saya juga,” katanya.

Menolak niatnya untuk mengikut trend artis lain di luar sana yang turut berpusu-pusu mengeluarkan tudung bawah jenama sendiri, kata Emma, niatnya semata-mata untuk berkongsi nilai seni, malah jika ini tidak berjaya, itu bukan bermakna dia akan berhenti melukis.

“Saya keluarkan My Sketchbook Shawl By Emma Maembong bukan dengan niat untuk berlawan dengan sesiapa. Niat saya untuk berkongsi hasil lukisan saya dengan semua orang.

“Jika ini tidak ke mana, saya masih akan melukis seperti biasa. Sebab saya memang suka melukis dan ini adalah sebahagian daripada diri saya,” jelasnya.

Kamal serius

Kamal ADLI menegaskan, dia merupakan seorang lelaki yang serius apabila membicarakan soal hubungan kasih.

Kata Kamal, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mempermain hati sang kekasih.

“Saya tidak pernah main-main dalam soal ini, memang menjadi niat saya untuk berumah tangga. Tetapi dalam soal ini saya serahkan kepada jodoh.

“Bukan saya tidak mahu terlalu terbuka bercakap soal ini, tetapi kalau selalu bercakap mengenai perkara ini takut ada pihak yang tidak selesa,” katanya.

Sekali lagi menegaskan, dia menyerahkan soal kahwin kepada jodoh, kata Kamal, 31, ada perkara yang mahu dibuktikan dirinya dahulu sebelum mampu meneruskan hubungan ini ke fasa yang berbeza.

“Kalau boleh saya mahu buktikan sesuatu dahulu. Sebenarnya saya seronok untuk melihat Emma terlebih dahulu membina empayar perniagaan, tetapi saya juga dalam usaha ke arah itu.

“Sebab itu saya minta agar peminat boleh doakan kami, agar dipermudah,” katanya lagi.