Elyana kurus bukan kecewa

-

PENGALAMAN keguguran sekitar tiga bulan lalu tidak membuatkan penyanyi yang popular dengan lagu Kalis Rindu, Elyana kecewa biarpun ada beranggapan tubuhnya yang kelihatan sedikit susut berpunca daripada musibah itu.

Menurut Elyana, dia reda dengan ketentuan Yang Maha Kuasa dan menganggap kegagalan mempertahankan kehamilan keduanya itu tiada kena mengena dengan susut tubuhnya itu.

Dalam senyuman, kata Elyana, tiada yang perlu diperdebatkan mengenai berat badannya yang turun mendadak kerana dia sendiri mahu kelihatan langsing demi keselesaan diri selain perancangan untuk membuat kemunculan semula dalam bidang seni.

Bercakap mengenai soal perancangan, penyanyi berusia 29 tahun ini mengakui, sejak keguguran tempoh hari, dia tidak terburu-buru untuk hamil lagi.

“Sebenarnya dalam hidup saya, konsep merancang itu tidak pernah wujud. Sebagai contoh, saya tidak pernah menetapkan bila untuk berkahwin atau menjadikan bidang nyanyian sebagai karier dan lain-lain lagi.

“Tetapi saya kemudiannya berkahwin dan menimang cahaya mata. Saya hamil anak kedua sebelum keguguran itu juga bukan sesuatu yang dirancang.

"Namun saya terima semua itu sebagai sesuatu rezeki yang diberikan oleh Tuhan kepada saya. Saya bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan-Nya kepada saya selama ini.

“Mungkin selepas ini, jika ada rezeki untuk saya hamil lagi, saya terima dengan tangan terbuka,”katanya.

Menurut ibu kepada Cinta Sumayyah ini, dia tidak mahu bersedih dengan yang terjadi sebaliknya mahu menjalani hidup seperti biasa bersama suami dan puteri kesayangannya itu yang kini sudah mencecah usia 5 tahun.

Pada masa yang sama, kata Elyana, dia juga enggan ada yang mengaitkan punca berat badannya susut dengan keguguran yang dialaminya itu.

“Ini (susut tubuh badan) tiada kaitan dengan pengalaman itu. Saya hairan juga dengan orang kita ini. Dulu saya gemuk selepas bersalin, ramai yang merungut kata saya gemuk sangat.

“Sekarang saya ambil inisiatif untuk turunkan berat badan, mereka kata saya kurus sangat pula,” katanya yang kini memiliki berat badan sebanyak 54 kilogram.


Kemunculan semula

SIBUK merancang untuk membuat kemunculan semula, kata Elyana, ada rasa gementar dan keterujaan dalam dirinya untuk projek terkininya itu selepas 10 tahun tidak aktif dalam bidang nyanyian.

Menurut Elyana, dalam senggang tempoh itu, pernah dia merancang untuk hadir dengan single namun keadaan tidak sesuai dan dia memilih untuk menunggu masa yang terbaik untuk mengubat kerinduan peminatnya.

Bakal mengeluarkan album dengan 10 buah lagu, kata Elyana, produk baharu itu juga dianggap istimewa kerana mengubat kerinduannya terhadap dunia nyanyian setelah lama berehat dan tidak terlibat dengan projek baharu.

“Saya sendiri tak sabar untuk menanti reaksi peminat kerana selama saya berehat, ramai yang tanya bila saya nak keluarkan album baharu. Saya tahu kalau mengikut peredaran zaman, sekarang adalah zaman kebanyakan artis memilih untuk menghasilkan single.

“Tetapi selepas berbincang dengan pengurusan FMC, rasanya saya lebih sesuai hadir dengan album penuh kerana sudah terlalu lama saya tiada buah tangan untuk peminat,” katanya.

Masih mengekalkan konsep pop rock, Elyana menaruh harapan untuk menarik minat generasi baharu untuk mendengar karyanya kelak.

Dalam pada itu kata Elyana, dia juga kini agak selektif dalam bidang lakonan kerana mahu memberi tumpuan kepada penghasilan album yang melibatkan komposer terkenal Aidit Alfian dan Tam Spider.

Tidak cuma itu, katanya, lakonan juga bukan cabang seni utama yang dikejar kerana dia lebih mengutamakan nyanyian yang sudah sebati dengan jiwanya sejak kecil.

“Saya cuma akan berlakon sesekali sahaja iaitu bila saya rasa rindu dengan suasana di set penggambaran. Tambahan pula sejak ada anak, saya menguruskan anak yang sedang bersekolah dan sebagainya, masa untuk berlakon saya kurangkan.

“Saya susah nak terima tawaran lakonan untuk drama berepisod panjang atau melibatkan penggambaran di luar kawasan. Keutamaan saya adalah suami dan anak,”katanya yang mengaku pernah menolak tawaran berlakon untuk filem kerana faktor masa yang tidak sesuai.

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati