Mendukung tiga watak yang mengundang rasa benci dalam kalangan peminat drama Melayu tempatan, Elmy atau nama sebenarnya Abdullah Helmy Abdul Moin bagaimanapun gembira atas maklum balas positif tersebut.

Katanya, ketiga-tiga watak iaitu Marzuki yang didukung dalam drama Nur, Farouk (Monalisa) dan Loqman (Rahsia Hati Perempuan) ternyata memberi impak besar terhadap karier lakonannya kini.

“Meskipun dibenci, tetapi dari sudut positif, sekurang-kurangnya peminat perasan kehadiran saya dalam industri setelah bergiat aktif hampir empat tahun lamanya,” ujar Elmy yang mula dikenali menerusi Girlfriend Aku Dari Neraka.

Ditanya sama ada dia khuatir atau tidak dilabel pelakon stereotaip dek pembawaan watak skeptikal, Elmy berpendapat senario dilaluinya itu sebagai satu kelebihan kepadanya untuk meneroka keupayaan sendiri.

“Karakter Marzuki, Farouk dan Loqman di atas kertas memang nampak serupa, namun saya cuba persembahkan dengan gaya berbeza demi menyerlahkan variasi dalam lakonan.
 
“Tidak salah kiranya untuk kembangkan peranan yang diberi, asalkan tidak melampaui batas dan masih mengikut kehendak pengarah,” jelasnya yang merupakan bekas penuntut Aswara itu. 

Pada masa sama, dia yang baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan Irsa AF 2016 menzahirkan rasa rimas apabila sering diajukan soalan mengenai zuriat.

“Mula-mula saya anggap itu perkara normal, tetapi lama kelamaan pertanyaan tersebut agak menjengkelkan.

“Apatah lagi, perkahwinan kami baru saja memasuki usia dua bulan setengah,” luahnya. - UTUSAN ONLINE