Elly Arifin

Merancang mengadakan majlis pernikahan pada 9 September ini, baik Elly Arifin mahupun pasangannya, Mohammad Aizat atau lebih dikenali sebagai Jiggy, kedua-duanya mengaku ada debaran dalam hati tatkala menghitung hari bahagia.

Pada satu sesi fotografi yang diatur untuk mereka baru-baru ini, Elly yang juga penyampai radio Era FM dan Jiggy berkongsi detik perkenalan mereka yang menyaksikan pertemuan awal di konti radio akhirnya membawa kedua-duanya ke jenjang pelamin selepas empat tahun menyulam cinta.

Memulakan bicara, Jiggy yang kini menggalas tugas sebagai penyampai radio IM4U mengaku, memulakan langkah mendekati wanita berusia 27 tahun ini selepas tertawan dengan personaliti bersahajanya ketika sama-sama bertugas di radio atas talian, KL Pop.

Kata Jiggy yang juga merupakan bekas peserta program Raja Lawak musim musim ke-6, tidak mudah untuk mencuri hati Elly kerana wanita ini kerap kali 'jual mahal’.

“Enam bulan pertama saya mendekatinya sebagai kawan sebab dia sendiri tak mahu bercinta-cinta dan kata mahu berkawan sahaja.

"Tapi nak buat macam mana sudah jodoh agaknya, kalau kemana-mana pasti kami akan terserempak. Itu sesuatu yang tidak dirancang dan memang selalu terjadi.

“Saya anggap itu mungkin satu isyarat dan (saya) cuba nasib nak kenal dia lebih mendalam. Walhal pada masa yang sama, saya tahu ramai lelaki lain yang cuba mendekati dia,” kata Jiggy.

Bercakap soal memahami, kata Elly, itu juga adalah antara nilai tambah yang ada dalam diri tunangnya itu yang berjaya mencuri hati selain sikapnya yang gemar berjenaka.

Menganggap Jiggy seorang yang boleh bertoleransi dengan sikapnya yang kadangkala beremosi, kata Elly, Jiggy menerima baik kekurangannya itu selain boleh menerima sifat 'kasarnya’.

“Saya seorang yang mudah mesra dengan orang tetapi tak ramai yang boleh 'masuk’ dengan saya. Jiggy mempunyai perangai yang lebih kurang sama dengan saya malah kadang-kadang kalau dia buat lawak, boleh mendidih juga darah ini.

“Tapi itulah yang orang kata saling melengkapi. Dia terima kekurangan saya dan saya juga terima kekurangan dia. Jiggy adalah antara orang terdekat yang memahami dan mendengar masalah saya.

“Saya kalau ada masalah, memang susah sikit nak cerita kepada keluarga sebab nak elak mereka risau. Jadi Jiggylah yang sentiasa ada dalam banyak waktu susah atau senang,” katanya.

Menurut Elly, dia juga terharu selepas setahun berkenalan dengan Jiggy, lelaki itu tidak menunggu lama untuk membawanya bertemu dengan keluarga dan menyatakan hasrat untuk lebih serius dalam hubungan.

Mengaku sebenarnya sudah lama merancang untuk berkahwin, Elly enggan memaksa keadaan kerana mahu masing-masing mengukuhkan kerjaya terlebih dahulu meski kedua-dua belah keluarga sudah lama memberikan lampu hijau.

Dalam pada itu, kata Elly, sepanjang tempoh bercinta dengan Jiggy, mereka juga diduga pelbagai ujian.

“Apabila kita sudah berniat saja nak kahwin, di situ sudah bermula dugaannya. Cumanya sama ada kita boleh harungi atau tidak. Ada juga yang mempertikaikan bagaimana kami bersama, bagi saya soalan begitu tak perlu dijawab.

“Asalkan saya rasa dia boleh jadi suami yang baik dan boleh bimbing saya maka tiada yang saya perlu pedulikan sebab kami pun sama-sama mahu berubah untuk jadi individu yang lebih baik,” katanya.

Memegang status selebriti yang kebetulan sama-sama bertugas sebagai penyampai radio, Jiggy sedar barangkali ada yang berpandangan wujudnya perasaan cuba bersaing antara satu sama lain.

Namun kata Jiggy yang kini sudah dua tahun bertugas di stesen radio IM4U mengendalikan Goodnight All Stars, tidak pernah menjadi isu antara mereka walaupun dia mengakui, pada awalnya dia pernah merasai tekanan itu apabila melihat kerjaya Elly lebih menyerlah berbanding dirinya terutama ketika mula perkenalan daulu.

“Masa itu dia lebih banyak mendapat tawaran sama ada untuk pengacaraan dan sebagainya manakala saya masih terlalu baharu. Adakala saya rasa dia lebih ke depan daripada saya namun Elly banyak memberi suntikan positif agar jangan cepat putus asa dan tak perlu rasa tergugat.

“Lama-kelamaan baru saya sedar mengenai perkara itu dan ternyata betul yang dia katakan. Sekarang apabila saya juga jadi penyampai radio, bukan lagi satu sebab untuk bersaing dengan dia.

“Malah disebabkan kami punya kerjaya yang sama, jadi satu kelebihan buat kami untuk bertukar-tukar idea dan perbaiki kelemahan masing-masing,” katanya yang pernah dicalonkan dalam kategori Penyampai Radio Lelaki Terbaik untuk Anugerah Seri Angkasa, Anugerah MeleTop dan Anugerah Pilihan Online (APO) baru-baru ini.

Bercakap mengenai isu persaingan, Elly juga memberitahu bahawa dia tidak pernah membangkitkan isu siapa lebih bagus antara mereka selama empat tahun berkenalan.

Menurut penyendali segmen #HitsEra di Era FM ini, dia percaya hubungan yang sihat memerlukan pasangan itu untuk saling menyokong antara satu sama lain dalam apa juga perkara apalagi soal kerjaya.

“Memang benar kami sama-sama mengacara dan jadi penyampai radio tetapi tidak pernah wujud soal nak bersaing sebab yang kami tahu, kami perlu mendokong antara satu sama lain. Perkara itu tidak menjadi satu masalah atau beban kepada kami sebaliknya memberikan kelebihan buat kami sebagai pasangan.

“Kami memahami tugas masing-masing. Mungkin kalau saya dengan orang yang di luar bidang, mereka tak akan faham kerja saya. Kadang-kadang boleh jadi punca pergaduhan antara pasangan.

“Saya bertuah kerana Jiggy faham tugas saya sebab dia sendiri pun bekerja dalam bidang yang sama,” kata Elly.

Sekepala

Berkongsi lanjut, kata jejaka berusia 27 tahun ini, antara ciri yang disukai kepada diri Elly yang juga pengacara HLive itu adalah sikap spontan dan gila-gilanya yang nyata mencuri perhatiannya selama ini.

“Dia memang sekepala dengan saya, jenis yang kelakar dan tak hipokrit atau cuba 'control ayu’ bak kata orang. Kalau perempuan jenis 'control ayu’ ini memang bukan pilihan saya sebab saya lebih suka kenal yang buruk dulu daripada yang baik sebab kelakuan baik ini biasanya orang boleh berlakon.

“Satu lagi, Elly juga banyak mengubah diri saya. Daripada seorang yang agak pendiam, saya sudah semakin terbuka untuk bertemu orang. Tak macam dulu, kalau lepas habis kerja di konti, saya kurang bertemu dengan orang walaupun sekadar nak lepak-lepak.

“Tapi selepas kenal Elly, dia yang ajar saya supaya pergi menjengah ke acara atau majlis tertentu, bina hubungan dan komunikasi dengan banyak pihak dan sebagainya.

“Pendek kata, dia banyak ubah saya menjadi seorang yang lebih baik,” katanya.

Tambah Jiggy, sikap Elly yang kadangkala manja tapi garang juga menyebabkan wanita itu berbeza daripada wanita yang dikenalinya.

“Mula-mula dulu terfikir juga, betulkah (saya) nak kahwin dengan dia ini? Dulu saya tak suka perempuan manja sangat tapi Elly lain, dia manja tapi 'ganas’. Bila lama-lama kenal barulah tahu macam mana dirinya,” kata Jiggy sambil tertawa.

Saya kalau ada masalah, memang susah sikit nak cerita kepada keluarga sebab nak elak mereka risau. Jadi Jiggylah yang sentiasa ada dalam banyak waktu susah atau senang.

Kami memahami tugas masing-masing dan mungkin kalau saya dengan orang yang di luar bidang, mereka tak akan faham kerja saya. Kadang-kadang boleh jadi punca pergaduhan antara pasangan.