Adik kepada pelakon terkenal, Fasha Sandha ini tentunya tidak mampu lari daripada tanggapan umum yang melontar pandangan, mengaitkan perjalanan seninya sebagai satu laluan mudah kerana menjadi ahli keluarga kepada pelakon cukup prolifik itu.

Tetapi pelakon yang ramah disapa sebagai Elisya Sandha ini menolak persepsi tersebut, menegaskan penglibatannya dalam dunia seni banyak berlandaskan kepada usaha sendiri tanpa sedikitpun mengambil kesempatan terhadap populariti kakaknya.

“Dia (Fasha) sentiasa mengingatkan untuk berusaha sendiri tanpa bergantung kepada jalan mudah. Oleh itu, saya rajinkan diri untuk hadir sesi uji bakat dan lakukan sehabis baik dalam setiap tawaran lakonan yang diperoleh.

“Kakak adalah inspirasi kepada saya. Disiplin dan komitmennya ketika berada di set penggambaran mempengaruhi cara kerja saya. Paling penting, dia sering menasihatkan saya agar menepati masa dan jaga tingkah laku untuk disenangi ramai,” katanya.

Mengecapi populariti pada usia muda menjanjikan kehidupan selesa dan seronok. Ini adalah hakikat dialami ramai pelakon baharu yang kadangkala hanyut dalam populariti jika tidak diurus dengan bijaksana.

Namun Elisya tidak membenarkan semua itu mempengaruhi dirinya. Dia yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini memberitahu cukup berhati-hati dalam mengimbangi antara kerjaya dan pelajaran.

“Pendidikan adalah keutamaan walaupun aktif berlakon. Saya pastikan ulang kaji tidak ditinggalkan waima terpaksa mematuhi jadual penggambaran yang ketat. Perkara ini turut ditekankan ibu dan kakak.

“Selain itu, saya juga melatih diri agar tidak boros berbelanja. Wang yang diperoleh hasil berlakon sebahagiannya disimpan untuk kegunaan pada hari mendatang,” ujarnya.

Elisya yang pernah mengacarakan program Misi Kita yang ditayangkan di saluran RTM beberapa tahun lalu akan tampil dalam dua filem berskala besar, Perjanjian Syaitan dan Anak Mami Nasi Kandar yang masing-masing diarahkan sutradara ternama, M. Subash dan Prof. Madya A. Razak Mohaideen.

“Bekerja dengan dua pengarah tersebut adalah satu pengalaman cukup menyeronokkan. Tambahan pula, kedua-dua mereka memahami dan berterusan memberi tunjuk ajar khususnya dalam mendalami watak dilakonkan.

“Watak dibawakan bukan mudah dan cukup menguji kebolehan lakonan. Namun, kerjasama dan nasihat diberi mereka memudahkan saya untuk memberi sehabis baik ketika berada di set penggambaran,” jelasnya.

Bergelar pelakon baharu tentunya tidak berjauhan dengan tohmahan dan kritikan yang kadangkala membunuh keyakinan. Paling menyakitkan, apabila ada pelakon yang dikritik lakonan mereka dan diklasifikasikan sebagai ‘pelakon kayu’.

Bagi Elisya, perkara itu tidak sedikitpun menakutkan malah dia sedia berdepan dengan pelbagai pandangan dan kritikan untuk diguna pakai sebagai cara memperbaiki diri agar menjadi lebih baik.

“Jika ada yang mengatakan lakonan saya kayu, saya terima. Semua pelakon bermula dari bawah, dan itu adalah perkara biasa ditempuhi pelakon junior mahupun senior.

“Bidang seni adalah satu proses pembelajaran yang akan membentuk kebolehan dan potensi seseorang pelakon. Saya akan membenarkan diri untuk membuat kesilapan dan memperbaiki mutu lakonan dari semasa ke semasa,” tambahnya.