Namun bagi Elfira Loy, situasi tersebut bukan bermaksud dirinya kian dipinggirkan oleh pengarah atau produser dek lambakan pelakon baharu, sebaliknya adalah atas pilihannya sendiri.

Baru-baru ini ketika ditemui dalam satu majlis pelancaran produk kesihatan, pemilik nama sebenar Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri itu berkata, bidang seni bukanlah menjadi fokus utamanya buat masa ini.

“Setahun lalu, saya telah membuka sebuah kafe, Love Me Sevendays di Alam Damai, Cheras. Alhamdulillah, operasinya berjalan lancar dan mendapat sambutan yang memberangsangkan.

“Boleh katakan, hampir setiap hari saya turun padang, berada di kafe tersebut melayan pelanggan yang makan di situ,” jelasnya.

Menurut dramatis berkenaan, dia perlu memberi tumpuan lebih terhadap perniagaan makanannya itu memandangkan modal yang dilaburkan agak besar, hasil tabungannya selama 10 tahun dalam bidang lakonan.

Disebabkan itulah, Elfira rasa bersemangat dan serius menguruskan kafenya dari pagi hingga ke petang supaya pelaburan yang dibuat tidak sia-sia.

“Dalam erti kata lain, biarpun masih muda, saya mahu buktikan usia bukanlah penghalang untuk bergelar usahawan berjaya,” katanya penuh iltizam.

Tambah Elfira, faktor utama dia memilih perniagaan tersebut adalah untuk memastikan adik-beradiknya yang lain boleh bekerja di bawah satu bumbung.

Kebetulan, ibunya juga suka memasak, manakala adiknya pandai membuat kek, jadi secara tidak langsung mereka menjadi tonggak utama memikul peranan sebagai cef.

Selain kafe, aktres yang mula mencipta nama menerusi siri Tentang Bulan itu turut menjalankan bisnes pakaian bawah labelnya sendiri iaitu El by Elfira Loy.

Berbicara lanjut tentang bidang lakonan, anak kelahiran Kuala Lumpur itu memberitahu dia masih aktif berlakon, cuma dihadkan membintangi telefilem sahaja.

Mengakui dunia lakonan sekadar pentas untuknya mencurahkan bakat seninya, Elfira menetapkan pendirian agar tidak terbabit dengan drama bersiri supaya fokusnya terhadap bidang perniagaan tidak terganggu.

“Bagaimanapun, saya bukanlah menolak terus tawaran berlakon drama rantaian, tetapi terpulang kepada karakter, pasangan pelakon mahupun pasukan produksi.

“Meskipun nampak seperti terlalu cerewet, namun ia adalah ketetapan yang telah saya tetapkan setelah sedekad berada dalam bidang ini.

“Saya tidak kisah jika pelakon lain terburu-buru menerima setiap tawaran, tetapi biarlah saya membawakan lakonan yang benar-benar memberi impak untuk diri dan penonton. Tambahan pula, saya sibuk dengan perniagaan,” tegasnya.

Beralih soal cinta, Elfira menepis dakwaan liar yang mengatakan dia pernah menjalin hubungan dengan dua aktor seberang iaitu Randy Pangalila mahupun Baim Wong.

Menurutnya, kedua-dua aktor berkenaan sekadar rakan artis yang pernah bekerja dengannya dalam satu produksi dan hanya berkawan.

“Jika ada sesiapa yang serius mahukan saya, jumpa keluarga saya, hantar rombongan meminang. Mudah sahaja,” madahnya berseloroh tetapi memaksudkannya.